warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

Tuhan Ajarlah Aku Mengenali Diriku







Tuhan Ajarlah Aku Mengenali Diriku





Tuhan Ajarlah Aku Mengenali Diriku

 

Tuhan, aku ingin belajar dengan diriku sendiri

Ajarkanlah aku agar aku dapat ilmu dari kejadianku ini

Aku kaji diri lahirku, aku renung diri batinku

Aku nilai akal fikiranku, kekuatannya, bagaimana ia mendapatkan ilmu,

bagaimana ia memproses ilmu

Cara mana dia menyimpan ilmu dan maklumat yang didapati

dan bagaimana ia mengeluarkan ilmu dan maklumat itu

Waktu bila ia terangsang menerima ilmu dan maklumat dari yang dilihat,

didengar, disentuh dan dirasa

Ketika bila pula ia terangsang mengeluarkan ilmu dan maklumat yang tersimpan itu

Kemudian aku belajar perjalanan nafsu dan peranannya, kehendak-kehendaknya

bila ia merangsang, akibatnya, baik buruknya dan kesannya

Aku kaji juga hatiku atau jiwaku, perasaan yang mendatang silih berganti selalu peranannya dan kesannya

Aku kaji jasad lahirku, keadaannya, peranannya, waktu sakit, waktu sihat

Tuhanku rupanya setiap kejadian yang berlaku pada diriku lahir dan batin,

ada hikmah yang tersembunyi

Segala-galanya yang terjadi adalah didikan bagiku

Samada yang berlaku itu nampaknya positif mahupun negatif

ada rahsia yang tersirat  ia sungguh seni

Aku nilai dengan basirahku secara halus dan teliti semuanya baik bagiku

Lantas aku faham dan mengerti mengapa Engkau lakukan kepadaku

Adakalanya aku senang, adakalanya aku susah

Ada ketikanya aku sihat ada waktunya aku sakit

Adakalanya badanku letih ada waktu badanku gagah dan cergas

Aku kaji perjalanan hatiku selalu, perasaannya silih berganti

Ada masa aku miskin ada masa tiba-tiba aku kaya

Dan berbagai-bagai lagi keadaan yang berlaku pada silih berganti terutama perasaan hati

Adakalanya aku sedih adakalanya aku gembira

Adakalanya aku benci adakalanya aku suka

Adakalanya hatiku resah gelisah, adakalanya hatiku tenang dan senang

Adakalanya hatiku rasa marah adakalanya hatiku rasa lapang dada

Adakalanya hatiku rasa jijik, adakalanya hatiku rasa biasa sahaja

Adakalanya hatiku pilu adakalanya hatiku riang dan ceria

Adakalanya hatiku rasa malu adakalanya biasa sahaja

Adakalanya aku rasa takut ada ketikanya aku rasa berani

Adakalanya hatiku rasa curiga adakalanya hatiku rasa percaya

Di sini sungguh banyak ilmu yang aku dapat, di sini sungguh banyak rahsia diriku

dari-Mu yang aku gali

Rupanya sifat yang sering berubah pada diriku itu menyedarkan aku,

bahawa aku adalah hamba-Mu

Kerana sifat hamba atau makhluk adalah berubah selalu

Di sini aku faham lagi bahawa sifat hamba itu tidak sempurna sentiasa baru

Rupanya aku hamba-Mu menerima ketentuan dari-Mu

Sungguh Engkau Maha Pentadbir termasuk diriku

Aku faham lagi bahawa aku lemah, hamba memanglah lemah,

agar aku selalu bergantung dengan-Mu

Dan seterusnya aku faham apa yang berlaku kepada diriku bukan kehendak aku

Rupanya segala-galanya yang berlaku pada diriku adalah kehendak-Mu

Di sini menunjukkan kelemahanku lagi bahawa sedikit pun aku tidak ada kuasa pada diriku walaupun sebesar habuk atau sebesar debu

Kuasa-Mulah sepenuhnya yang berlaku pada diriku tidak campurtangan sedikit dariku

Kehendak-Mulah yang terjadi ke atas diriku

Menjadikan aku takut kepada-Mu, rupanya takut aku itu kepada-Mu

itulah yang Engkau mahu

Aku renung lagi kejadian yang berlaku kepada diriku apakah rahsianya kejadian ini

Rupanya di waktu susah dan berlaku bala, agar aku sabar supaya aku dapat pahala sabar

Di masa-masa yang lain aku senang, sihat, kaya, agar aku bersyukur

supaya aku dapat pahala syukur

Itulah yang Engkau mahu dariku

Supaya aku dapat kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan

Hikmah yang lain aku dapat faham supaya aku tidak sombong, tidak riyak,

tidak megah, tidak bakhil, tidak tamak

Sifat-sifat itu adalah Engkau benci

Aku faham agar aku tidak di dalam kemurkaan-Mu

Begitulah yang aku faham, terima kasih Tuhan Engkau beri aku faham tentang diriku

Setelah aku kaji, renung, analisa diriku lahir dan batinnya

sungguh banyak ilmu yang aku dapat dari diriku

Sungguh ajaib dan menghairankanku

Di dalam diriku ada berbagai ilmu, bahkan lautan ilmu, ada ilmu hikmah,

ada ilmu tauhid, ada ilmu syariat, ada ilmu tasawuf, ada ilmu akhlak

Ada ilmu yang tersurat, ada ilmu yang tersirat, ada ilmu falsafah, ada ilmu manusia,

ada ilmu saikologi, ada ilmu biologi

Ada benih baik, ada benih buruk, terpulang kepada kita yang mana kita hendak suburkan

Patutlah Tuhan mengingatkan kita di dalam satu ayat Al Quran yang berbunyi:

“Di dalam diri kamu apakah kamu tidak menganalisanya.”

Hadis juga ada berkata: “Barangsiapa mengenal dirinya nescaya dia mengenal Tuhannya.”

Ertinya kalau kita perhatikan tentang diri kita

Kita akan mendapat berbagai-bagai ilmu, kita akan takut Tuhan,

kita akan cinta kepada-Nya, kita akan sentiasa rasa bertuhan, kita akan rasa kehambaan

Kita akan mendapat sifat taqwa

Sifat taqwa adalah bekalan kita ke Akhirat

Itulah dia keselamatan kita dunia Akhirat

Rupanya di dalam diri kita penuh dengan lautan ilmu kalau kita perhatikan

Maha Suci Engkau Tuhan, Maha Besar Engkau, sungguh berkuasa Engkau

 

21.7.2004 – 1

Menjelang Maghrib

Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer