warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

Surat Kedua Untuk Anak Anakku







Surat kedua untuk anak-anakku




Surat kedua untuk anak-anakku

 

Anak-anakku yang dicintai!

Ingin aku memberitahu lagi kalian sebagai nasihat dariku

tanda kasih sayangku kepadamu

Anak-anakku kalau aku tidak memberitahu kamu pun tahu,

cuma kamu tidak mahu ambil tahu

Aku pun tidak tahu mengapa kamu tidak mahu ambil tahu

sesuatu yang kamu yakin dan tahu, buat-buat tidak tahu

Anak-anakku bahawa dunia ini adalah sementara waktu, bukankah kamu pun tahu,

tapi tidak ambil peduli

Dunia bukan destinasi yang dituju wahai anak-anakku

Destinasi tempat yang dituju adalah Akhirat yang kekal abadi

Dunia dikatakan negara yang dekat, Akhirat negara yang akhir yang jauh

Tuhan hantar kita ke dunia sebagai musafir untuk menguji manusia

Di suatu hari akan ke Akhirat juga negara yang abadi tidak diukur dengan masa lagi

Tuhan hantar kita ke dunia, untuk berkebun dan berladang

Makan hasilnya bukan di sini, tapi di sana negara yang abadi

Di dunia bukan tempat berehat, tapi untuk berladang sebagai ujian kepada manusia

siapa di kalangan manusia yang baik amalannya itulah perjuangan namanya

Berladang di dunia ini bersifat maknawi dan rohani, sedikit bersifat fizikal

Siapa yang berehat-rehat di dunia, di Akhirat rugi, menderita, sengsara

Orang yang rugi tempatnya di Neraka

Maksud berladang di sini ialah mengenal Tuhan, rasa bertuhan, mencintai-Nya, dan takut kepada-Nya, ikhlas untuk-Nya semata-mata

Ladang itu termasuk juga adalah menegakkan syariat Tuhan di dalam kehidupan di dunia di semua aspeknya

Sebagai ketaatan dan pengabdian kita kepada Allah Taala Tuhan pencipta kita

Bersyukur kepada-Nya , sabar dengan derita, tawadhuk sebagai hamba, pemurah, tawakkal, redha, qanaah, zuhud dengan dunia, mujahadah penentunya

Itulah dia wahai anak-anakku menanam yang dimaksudkan di dunia

Hasilnya kita dapat di Akhirat sana

Wahai anak-anakku kalau kita tidak menanam di dunia,

kita akan menjadi orang yang papa-kedana, Nerakalah tempatnya

Wahai anak-anakku yang tercinta !

Kerja-kerja untuk dunia dan Akhirat selain aqidah dan ibadah khususnya dan akhlak

tidak ada bezanya di segi lahirnya

Ia merupakan benda yang sama dan perbuatan yang serupa

Yang membezakannya sama ada ia akan  jadi ibadah atau dunia semata-mata

ialah niat kita dan disiplinnya

Seperti tenaga kita, harta kita, perniagaan, pertanian, masa yang digunakan, rumah

yang didiami, kereta yang dipakai, cara mencari harta atau kemajuan dan lain-lain lagi

Perkara yang disebutkan tadi kalau diniatkan kerana Allah, perlaksanaannya mengikut syariat, kemudian digunakan untuk Allah maka jadilah ibadah

Kalau niat untuk untung atau maju atau megah, cara perlaksanaannya tidak ikut syariat, digunakan pula bukan untuk Allah maka jadilah adat

Pahalanya tidak ada bahkan berdosa pula, maka Nerakalah tempatnya

Anak-anakku alangkah indahnya perkara yang sama tadi niatnya betul,

syariat menjadi disiplinnya, digunakan untuk Allah, ia juga ibadah, ia juga kemajuan

Selama ini kebanyakan  orang perkara yang dibuat hanya jadi kemajuan sahaja,

tidak jadi ibadah sama

Jadi di sini kita faham sesuatu perkara itu hendak jadi ibadah atau sebaliknya

adalah perkara yang sama juga

Rugi sekalilah orang yang berusaha, bekerja, berjuang hanya jadi satu peranan sahaja iaitu semata-mata kemajuan tidak jadi ibadah

Mengapa kemajuan tadi tidak dijadikan ibadah sama kerana ia benda yang sama

Mengapa usaha kita itu tidak dijadikan dua keuntungan?

Anak-anakku yang disayangi!

Oleh itu jadikanlah usaha kita itu, ia juga ibadah dan ia juga kemajuan,

jangan jadi setakat kemajuan sahaja

Anak-anakku aqidah, ibadah khusus, akhlak yang mulia, kerja dan usaha kita yang jadi ibadah tadi itulah amal soleh atau sifat taqwa

Itulah yang dimaksudkan oleh Tuhan “Hendaklah kamu mencari bekal dan sebaik-baik bekal adalah sifat taqwa”

Anak-anakku yang dikasihi!

Hidup di dunia ini perlu ilmu syariat, perlu ilmu dunia di dalam semua perkara

Syariat sebagai disiplin kerja, ilmu dunia sebagai teknik dan cara bekerja

Alangkah indahnya wahai anak-anakku kemajuan dunia itu jadi ibadah,

ibadah itu jadi kemajuan dunia

Akhirat kita utamakan, dunia tidak diabaikan

Dunia kita maju, Akhirat pula kita dapat kebahagiaan dan keselamatan kekal abadi

Wahai anak-anakku yang dicintai!

Perlu diingatkan di sini orang yang lebih malang lagi ialah di dunia tidak maju,

usaha itu pula tidak jadi ibadah

Hendak buru kemajuan dan kekayaan di dunia sudah gagal, usaha itu tidak diberi pahala pula kerana ia tidak jadi ibadah kerana ternafi syarat-syaratnya

Kalau orang yang mengusahanya tidak maju, tapi usahanya itu disiplin syariat masih untung iaitu mendapat pahala di Akhirat kerana usahanya itu jadi ibadah

Wahai anak-anak buah hatiku!

Hidup di dunia ini tidak lama, sementara waktu kerana hendak mencari keredhaan Tuhan tidak mengapa sedikit mendapat kesusahan

Ia tidak berkekalan, sementara sahaja, demi untuk kesenangan dan kebahagiaan berkekalan dan berpanjangan

Kalaupun kita mendapat kesenangan di dunia tapi bukan keredhaan Tuhan,   

berapa lama sangatlah kesenangan itu?

Paling lama 50 tahun selepas itu mati masuk Neraka penderitaannya selama-lamanya apalah ertinya?!

Wahai anak-anakku berhati-hatilah hidup di dunia ini yang sementara waktu ini

jangan sampai tertipu

Janganlah hidup yang sementara ini melalaikan kita, di Akhirat masuk Neraka

Nanti di sana penyesalannya tidak berkesudahan

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Janganlah korbankan kepentingan Akhirat kerana kepentingan dunia yang sedikit,

yang sementara, yang tidak lama

Nisbah hidup di dunia dengan Akhirat hanya sekadar setengah jam, satu jam

atau 20 minit

Apakah hendak pertahankan hidup 1 jam kemudian masuk Neraka yang begitu lama, sepanjang masa?

Fikirlah  baik-baik anak-anakku

Jangan pula kerana nafsu, kita jadi bodoh hingga tidak boleh berfikir secara normal, melulu, dungu

Utamakanlah hidup yang kekal abadi dan hakiki!

Berpandangan jauhlah kita, jangan berfikiran sempit sekadar dunia sahaja

yang  sementara waktu

Anak-anakku, buah hatiku, asetku, aset agama, bangsa dan negara!

Kalau kita tahu betapa berharganya diri kita, jika dijaga,

maka faedahnya merata seluruh dunia

Betapa besar pahalanya jika kita gunakan untuk Tuhan

sekaligus berguna kepada manusia

Jika kita sia-siakan hanya untuk diri kita semata-mata, amat malangnya

Itu pun belum pasti lagi, boleh jadi merosakkan dan membahayakan diri kita

dan semuanya

Kerana ukuran kita adalah nafsu yang melulu, buta, masa depan tidak diambil kira

Pepatah Melayu kan ada  berkata: “Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.”

Anak-anakku!

Mengapa kita tidak jadikan pengajaran apa yang berlaku kepada manusia yang mengikut nafsu setiap masa?

Ikut nafsu inginkan bahagia, yang terjadi celaka

Lihatlah media-massa memaparkan macam-macam kejadian yang mengerikan dan mencelakan, padahal asalnya hendakkan bahagia

Kalau tidak sempat melihat Al Quran dan Hadis cerita penderitaan Neraka orang yang ikut nafsu,

melihat kejadian setiap hari pun sudah menginsafkan kita kalau mahu mengambil pelajaran

Mengapa setiap kejadian setiap hari tidak dijadikan pengajaran?!

Apakah setelah kita mendapat kecelakaan baru menerima pengajaran?

Setelah patah kaki, sesudah lumpuh, setelah cacat, baru insaf!

Apakah setelah diri tidak ada harga, setelah manusia benci,

setelah diri tidak berguna baru mahu sedar?

Betul insaf secara itu ada juga baiknya dari tidak insaf, tapi di dunia sudah tidak ada harga dan berguna, orang sudah tidak percaya, badan sudah merana

Bukankah lebih baik diri kita berguna di dunia dan di Akhirat bahagia?!

Mungkin ada di kalangan anak-anakku berfikir mati lambat lagi, ke Akhirat jauh lagi, masa muda ini enjoy-enjoy dahululah

Setelah tua barulah kita bertaubat!

Anak-anakku jangan menipu diri, bila kita berjanji dengan Tuhan setelah tua baru mati?!

Mati bila-bila masa berlaku, bila-bila masa terjadi, di waktu bayi, kanak-kanak,

di masa muda dan dewasa, tua atau tua bangka

Alangkah malangnya jika mati di waktu muda sedang lalai dan lupa, bila hendak taubat?

Alangkah celakanya mati di dalam dosa, Nerakalah tempatnya

Wahai anak-anakku adakalanya kita tertipu oleh angan-angan kita

Apakah angan-angan kita itu? Hingga kita tertipu, di dalam tertipu itu kita mati,

terbeliak biji mata, lain yang dikehendaki lain pula yang dijumpa

Kita mahu bebas terutama di waktu muda, itu angan-angan kita

Di dalam kebebasan itu ada bahagia begitulah kehendak kita

Di mana kita belajar yang kita ada kebebasan, mana kita ada kebebasan?

Adakalanya kita berkata, “Jangan ganggu aku, aku mahu bebas, ini adalah kebahagiaanku.”

Tapi apa yang telah berlaku di dalam pengalaman kita, dan juga orang lain,

cita-cita belum tercapai, sakit menimpa, siapa mahu sakit?

Sakit bukankah penghalang kebebasan kita, bahkan menghilangkan kebahagiaan kita?

Tidak kurang juga cita-cita kita sampai, kita hendak kaya, kaya kita dapat,

orang pula hasad dengki, ramai yang benci dan sakit hati, bahkan orang hendak membunuh kita pula

Cita-cita sampai kebebasan kita pula tidak tercapai, bahkan datang perkara yang menakutkan menggugat kebahagiaan kita

Bukankah sering juga berlaku apa yang kita citakan tidak kesampaian,

yang menggugat kebebasan dan kebahagiaan kita pula yang menimpa kita

Terjadi miskin papa, kemudian accident kereta pula, isteri atau kawan tidak ambil peduli pada kita

Berlakulah derita di dalam derita, halangan di dalam halangan, dukacita di dalam dukacita,

Sengsara di dalam sengsara,

Wahai anak-anakku apa yang aku ceritakan ini, ia adalah satu hakikat yang sering berlaku kepada manusia setiap hari

Sesuatu hakikat tidak ada sesiapa yang boleh menafi!

Kalau kita berfikir seperti yang diceritakan tadi, kita akan menempuh jalan yang sama, kerana kita adalah manusia seperti mereka juga

Ertinya mana ada kebebasan kepada manusia, mana ada kebahagiaan yang mutlak

di dunia, takkan anak-anakku tidak faham soal ini ?

Anak-anakku  kalau kita faham hakikat hidup di dunia  tidak ada kebebasan sebenarnya kerana ada ujian, tidak ada kebahagian yang mutlak kerana kelemahan kita

Orang yang cerdik orang yang mengambil pengajaran, lebih baik dia bersedia menerima hakikat ini daripada hendak lari dari hakikat ini

Mana ada manusia yang boleh lari darinya?

Wahai anak-anakku!

Ada orang berfikir aku tidak peduli siapa, aku mahu bebas, mahu bahagia, kerana kebebasan dan bahagia aku akan buat apa sahaja

Kalau kerana  bahagia, terpaksa merempuh hak asasi manusia aku akan buat apa  sahaja aku peduli apa

Kalau cara itu kita mahu bebas dan mahu bahagia, itu mengundang tindakbalas manusia terhadap kita

Tindak balas manusia itu bukankah kita mengundang ketidakbebasan kita dan memusnahkan kebahagiaan kita

Niat asal kita tidak kesampaian, yang datang bala pula

Kalau bala  bukan bahagia namanya

Jika bala yang datang itu bukan kebebasan bahkan sekatan dan keterbatasan

Wahai anak-anakku, betulkan fikiran ubahlah sikap kita!

Kalau salah-salah fikir dan salah tindakan , ia akan menyusahkan kita padahal kehendak kita bukan begitu, ia berlaku sebaliknya pula

Wahai anak-anakku terimalah hakikat ini!

Bahawa hidup kita di dunia adalah hamba,  kita ada Tuhan yang mencipta kita, mengawas hidup kita, sikap Tuhan adakalanya disenangkan-Nya kita,

adakalanya disusahkan-Nya kita

Di waktu senang disuruh-Nya kita bersyukur untuk diberi-Nya kita pahala syukur

Di ketika kehendak kita tidak tercapai, supaya kita redha, agar kita mendapat pahala redha

Di masa dibala-Nya kita, supaya kita sabar agar kita diberi-Nya pahala sabar.

Tuhan lakukan itu semuanya kepada kita kerana Dia mengajak kita mengutamakan Akhirat, di sana tempat kita kekal abadi, itulah kash-sayang-Nya kepada kita

Tapi kita tidak ada ilmu tentangnya, maka kita tidak faham

Wahai anak-anakku:

Daripada kita hendak bebas, lebih baik kita terima hakikat bahawa kita tidak ada kebebasan agar kita tidak kecewa

Sewaktu datang bala hadapilah dengan sabar atau redha bahawa Tuhan hendak beri kita pahala agar senang hati kita, kita tidak kecewa

Meringankan sedikit penderitaan kita kerana ada busyro di Akhirat sana

Ketika mendapat kesenangan marilah kita bersyukur, jangan sombong, jangan bangga, jangan megah, tujuan Tuhan supaya kita dapat mengagih-agihkan kebaikan itu dapat pula pahala syukur

Kalau kita faham hakikat hidup ini, mengapa Tuhan lakukan kepada kita silih berganti, sekali-sekala senang, sekali-sekala susah

Kita faham menerimanya, boleh bersikap seperti yang sepatutnya

kita akan hidup secara normal, tenang di dalam sebarang keadaan

Wahai anak-anakku yang tersayang!

Janganlah kita cuba ubah sunnatullah, kita tidak akan mampu

Terimalah sunnatullah itu dengan baik, kerana tujuan Tuhan pun adalah baik untuk kita, kita akan tenang di dunia, dan akan selamat dan bahagia di Akhirat kelak

Wahai anak-anakku yang disayangi:

Mungkin ada orang berkeyakinan demi kebebasan dan kebahagiaan kita di dunia,

kita buat apa sahaja, kalau ada pun azab di Akhirat lambat lagi

Wahai anak-anakku buah hatiku!

Apabila manusia berhadapan dengan kematian ingatlah empat peringkat azab dan penderitaan yang akan diterimanya jika taqwa tidak ada

Azab mati dahsyatnya macam pukulan 300 pedang,

Azab kubur setiap kali pertanyaan Munkar dan Nakir tidak dapat menjawabnya

Dipukul oleh malaikat masuk ke tanah 70 hasta, kejahatan kita dilembagakan macam manusia busuknya, kalau dibau oleh makhluk di dunia mati semua yang bernyawa,

tidak dahsyatkah?!

Diazablah di dalam kubur selama mana dunia belum dikiamatkan,

tahankah kita menerima seksa dan penderitaannya?

Wahai anak-anakku yang tercinta!

Azab dan penderitaan itu, tidak cukup di situ sahaja selepas dunia Kiamat seluruh manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar amat sempitnya

Di Mahsyar betis bertemu betis berhimpit-himpit, matahari di atas ubun-ubun kepala amat panasnya, dibiarkan beratus-ratus tahun lamanya

Mampukah kita menerima penderitaannya?

Peluh mengalir hingga Mahsyar banjir, manusia tenggelam di dalam kebanjiran peluh mereka,

di dalam keadaan telanjang pula, tidak ada siapa yang membela, mampukah kita?!

Di Mahsyar itu masing-masing membawa diri sendiri tidak ada siapa yang membela sekalipun kekasih kita di dunia

Setelah di Mahsyar beratus tahun apa pula yang berlaku lagi selepas itu?

Manusia dihalau meniti Siratal Mustaqim yang direntangkan di atas Neraka

Halusnya titian itu lebih halus daripada mata pedang, kemudian manusia berguguranlah ke dalam Neraka

Di Neraka manusia hidup sangat lamanya

Ada yang kekal abadi sepanjang masa aduh seksanya!!!

Makanan di dalam Neraka adalah buah zaqqum yang dibuat daripada bara api,

kayu apinya manusia, disebat setiap masa, air yang diminum adalah cairan tembaga yang amat panasnya

Tangan dan kaki manusia dibelenggu di tengkuknya sepanjang masa

Riuh rendah bunyi pekikan manusia kerana tidak tahan menderita

Kemudian manusia di Neraka bergaduh sesama sendiri

Begitulah sepintas lalu penderitaan selepas mati wahai anak-anakku,

mampukah kita menangggungnya, tidak kecutkah perut kita mendengarnya?

Wahai anak-anakku yang disayangi!

Ada orang kerana sombongnya walaupun dia mendengar penderitaan itu dan percaya

tapi sahaja buat tidak tahu

Wahai anak-anakku janganlah tipu diri sendiri, janganlah sombong sampai makan diri, janganlah bodoh hingga merugikan diri!

Wahai anak-anakku kamu kena marah oleh ummu atau ayah di dunia ini pun sudah tidak tahan! Sakit hati, mahu lari

Kena tengking ummu pun hilang bahagia, menderita

Lambat makan pun sudah rasa tidak tahan, merungut-rungut, bersakap-cakap di belakang, tidak senang hati

Ibumu dan ayahmu tidak bawa makan, atau berhibur-hibur di luar sudah hilang bahagia, jiwa derita

Wahai anak-anakku kalau begitu sahaja jiwa kamu, mudah derita, mudah sengsara, mudah kecewa

Apakah hendak masuk Neraka mampu menanggungnya?!

Kesusahan sedikit di dunia sudah tidak tahan, apakah kesusahan di Akhirat

kamu mampu menerimanya?!

Wahai anak-anakku!

Berfikir panjanglah sebelum derhaka, hendak bebas konon biar derhaka tidak mengapa?

Manalah di dunia ada kebebasan?

Kita kan hamba Tuhan, kita dikuasai oleh Tuhan sepenuhnya macam mana hendak bebas, bagaimana hendak bahagia mengikut kita

Carilah bahagia mengikut Tuhan, kalau mendapat susah pun diberi pahala,

di Akhirat bahagia

Kalau hendak mencari bahagia mengikut kita, tidak akan bahagia, berdosa pula,

di Akhirat masuk Neraka

Wahai anak-anakku yang dicinta!

Di dunia tidak lama, di Akhirat hidup sepanjang masa, tersilap di dunia menderita selama-lamanya di sana

Susah di dunia masih ada usaha ikhtiar, boleh mengadu, mungkin ada orang yang simpati

Susah di Akhirat tidak ada usaha lagi, kerana di sana makan hasil apa yang kita buat di sini di mana tidak ada siapa yang peduli dan simpati

Wahai anak-anakku berhati-hatilah kita hidup di dunia, tidak mengapa sedikit susah kerana hendak mengelak kesusahan yang lebih dahsyat lagi

Tidak mengapa korbankan sedikit kesenangan, kerana hendak menerima kesenangan yang kekal abadi lagi hakiki

Anak-anakku nasihat Abuya ini tolonglah ambil ingatan kalau mahu selamat!

Untuk keselamatan dan kebahagiaan di Akhirat yang kekal abadi memang terpaksa melalui kesusahan di dunia lebih dahulu

Agar kita selamat daripada azab mati, azab kubur, Padang Mahsyar kemuncaknya Neraka kenalah korbankan kesenangan di dunia

Bukankah kebanyakan manusia lebih memikirkan masa depannya, sanggup bersusah-susah lebih dahulu?!

Masa depan yang patut sangat kita fikirkan adalah masa depan selepas mati yang amat menggerunkan lagi kekal abadi

Susah di dunia bukankah tidak kekal, seperti mana juga kesenangan di dunia tidak kekal

Anak-anakku mengapa fikirkan sangat kesusahan yang tidak kekal

dan kesenangan yang tidak kekal, begitukah yang dikatakan orang cerdik?

Orang yang cerdik tentulah memikirkan memikir penderitaan yang kekal dan kesenangan yang kekal abadi

Fikirlah baik-baik, renungkan dengan hati yang terbuka nasihat ini wahai anak-anakku!

Moga-moga kamu mendapat pimpinan Allah

 

16.1.2004

Selepas Subuh

 

Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer