Perasaanku Dalam Mengerjakan Ibadah
Perasaanku Dalam Mengerjakan Ibadah
Tuhan! Engkau tahu tentang diriku
Kelemahan dan kekuranganku
Setiap kali aku bersembahyang menyembah-Mu, hatiku sering cemas dan berdebar-debar
Aku rasa takbiratul ihramku batal dan tidak sempurna
Kerana itulah aku mengangkat takbiratul ihram banyak kali
Aku rasa malu bila dilihat orang
Itu adalah satu bala bagiku
Kalaulah itu adalah satu kesalahan, dengan rahmat-Mu ampunkanlah aku
Di dalam sembahyang aku sering diganggu oleh rasa bacaan tidak kena
selalu sahaja aku ulang-ulangkan
Lantaran itulah setiap hendak berhadapan dengan sembahyang fikiranku terganggu kerana susahnya berhadapan dengan sembahyang, rasa serba tidak kena
Selepas sembahyang hatiku susah memikirkan sembahyangku yang tidak sempurna
Aku sering meminta ampun dengan-Mu kerana serba kurangnya sembahyangku itu
Aku rasa tidak beradab dengan-Mu, aku sering istigfar dengan-Mu kerana kelemahan itu
Kerana itu aku tidak dapat hendak melakukan sembahyang sunat yang banyak
Kerana memikirkan susahnya aku hendak sembahyang
Kerana sembahyang yang sedikit itu hendak dikhusyukkan agak lama
Kalau banyak sembahyang terpaksa pula berlama-lama aku tidak mampu
Adakalanya bila bersama orang lama pula orang menunggu-nungguku
Aku tidak mahu menyusahkan orang
Aku hendak banyakkan sembahyang tapi hendak cepat-cepat,
apalah ertinya sembahyang tidak ada penghayatan
Aku pun buat sedikit sahaja sembahyang sunat
tapi agak lama daripada orang agar khusyuk
Kerana itulah wahai Tuhanku sembahyang sunatku
telah aku sedikitkan yang memang sedikit pun
Aku memohon ampun kerana kelemahanku itu Tuhan
Begitulah seterusnya bila berhadapan dengan Ramadhan susahnya rasa hatiku
Puasaku aku rasa terbatal
Macam-macam datang perasaanku terhadap ibadahku
Belum lagi mengenangkan dosa-dosaku yang dahulu sebelum ada pimpinan
Mengingatkan ibadah-ibadah yang dahulu sebelum ada ilmu pengetahuan
Sering jugalah mengganggu fikiranku walaupun tidak sekuat Sahabat-Sahabat Nabi-Mu
Susahnya hatiku itu aku harap itulah hukuman-Mu di dunia
Janganlah lagi aku dihukum kedua kali di Akhirat sana
Begitulah harapanku Tuhan
31.10.2004 – 4
Menjelang tidur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 730 reads
Post new comment