warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

Mari Kita Mengenal Tuhan Kita







Mari kita mengenal Tuhan




Mari kita mengenal Tuhan

 

Mari kita mengenal Tuhan

Tuhan kita ialah Allah,

Nama-Nya yang paling agung yang dikatakan Lafzul Jalalah

Dia adalah zat yang Maha Suci lagi Maha Tinggi

Suci daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk-Nya di dalam semua hal

Kerana itulah Dia tidak dapat hendak dibayangkan,

Kalau dibayangkan satu pendustaan yang maha besar

Wujud-Nya sediakala, tidak ada permulaan, tidak ada kesudahan

Kerana Dia bukan jenis ciptaan, bahkan Pencipta seluruh alam

Menjadi Pentadbir, Pendidik dan Penyelamat

Takkan Pencipta dengan yang dicipta ada persamaannya

Zat-Nya Maha Esa, satu atau tunggal

Tapi Esa-Nya tidak boleh dibelah bagi

Yang boleh dibelah bagi itu adalah benda atau barang ciptaan,

atau sesuatu yang kena cipta atau diwujudkan

Maha Suci dan Maha Tinggi Tuhan daripada perlu kepada tempat,

tidak mengambil ruang

Tidak ada di dalam pihak, atau di luar pihak,

kerana di luar pihak juga adalah pihak

Tidak terlibat dengan masa

Tidak terlibat dengan malam dan siang

Tidak terlibat dengan musim yang empat

Kerana semuanya itu adalah makhluk dan ciptaan-Nya

Tuhan tidak berhajat kepada ciptaan-Nya

Tapi makhluk-Nya berhajat kepada Tuhan

Kudrat-Nya adalah mutlak dan tidak terbatas

Kerana kudrat-Nya bukan dari tenaga,

Ia dari zat-Nya yang Maha Kuasa dan Maha Daya dan Upaya

Iradah-Nya atau kehendak-Nya bukan daripada dorongan nafsu-Nya

Tuhan tidak ada nafsu seperti haiwan dan manusia

Setiap yang terjadi dan yang akan terjadi kemudian adalah dengan kehendak-Nya

Ciptaannya kecil dan besar sama sahaja,

Dia kata 'Jadi', jadilah benda itu

Dia mentadbir, mengawal dan menjaga bukan hasil berfikir-fikir dan meneliti

Kerana berfikir dan meneliti adalah dari akal

Dia memang sudah sedia tahu dan bijaksana

Tuhan tidak ada akal seperti malaikat dan manusia

Setiap yang dicipta-Nya tidak ada yang sia-sia

Sekalipun debu yang halus ada hikmahnya

Sama ada kita dapat fikirkan mahupun yang tersembunyi hikmahnya

Ilmu-Nya maha luas tidak terbatas dan tidak berkesudahan

Mengetahui yang ada dahulu, yang sedang ada mahupun yang akan ada,

Sekalipun yang tiada Tuhan tahu

Tidak ada sebesar habuk pun yang dilupakan

Hidup-Nya tidak ada berkesudahan, kerana Dia hidup bukan dengan nyawa

Dan tidak ada yang menamatkan kerana Dia adalah Tuhan, tiada Tuhan selain-Nya

Ertinya tiada siapa yang berkuasa ke atas zat-Nya yang hendak mematikan

Dia mendengar bukan dengan telinga,

Tapi daripada zat-Nya yang bersifat mendengar

Dia melihat tapi bukan dengan mata,

tapi daripada zat-Nya yang bersifat melihat

Sifat mendengar dan melihat-Nya Esa tidak berperingkat-peringkat

Jauh dan dekat sama sahaja

Tuhan bercakap atau mempunyai bahasa yang tersendiri

Yang tiada siapa yang mengetahui sekalipun para malaikat

Bahasa-Nya tiada yang dahulu dan tiada yang kemudian,

tiada berlafaz dan tiada berhuruf, tiada perkataan

Tiada bunyi dan suara, tiada koma dan full-stop

Tiada permulaan dan tiada berkesudahan

Tiada tanda tanya dan tiada tanda seruan

Al Quran adalah bahasa malaikat dan bahasa rasul

maksud dan mafhum daripada bahasa Tuhan

Jadi bahasa juga tidak ada penyerupaan

Maha Suci Tuhan

Dia menghukum dengan keadilan-Nya,

Memberi nikmat dengan rahmat-Nya

Kasih sayang kepada hamba-hamba-Nya mengatasi segala sifat-sifat-Nya yang lain

Nikmat dan rahmat-Nya terus mengalir tidak pernah berhenti-henti

sekalipun sedetik atau sekelip mata

Kerana itulah nikmat-Nya tidak mampu untuk dihitung

Nikmat nafas turun naik pun kita tidak dapat mengiranya

Betapalah nikmat-nikmat yang lain lagilah terlalu banyaknya

Dia adalah Pemberi rezeki, Pentadbir, Penjaga, Penyelamat, Pengawal,

Dan menentukan segala nasib makhluk-makhluk-Nya

Kalau satu detik pun kita terlepas daripada Tuhan pasti binasa.

Aduh siapa Tuhan?!

Dia adalah Maha Besar, Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Perkasa

Maha Gagah, Maha Hebat, Maha Pengasih

Kasih-Nya kepada hamba-hamba-Nya

lebih kasih daripada seorang ibu kepada anak-anaknya

Patut kita jatuh hati kepada-Nya

Bahkan cinta kepada-Nya

Patut kita membesarkan, memuja, mengagungkan,

menyanjung dan menyembah dan menakuti-Nya

Dia adalah idola daripada segala idola yang ada di dunia

Kita sangat perlu kepada Tuhan

Kerana itulah kita mesti memperjuangkannya

Hingga seluruh manusia mengenal-Nya dan mencintai-Nya dan menyembah-Nya.

 

18.7.2000

Selepas Asar - 2

Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer