Manusia Yang Kehilangan Tuhan
Manusia Yang Kehilangan Tuhan
Apabila seseorang, Tuhan tidak ada di dalam kamus hidupnya
Tuhan ada atau tidak, ia tidak penting kepadanya
Manusia yang kehilangan Tuhan ini,
hilang pedoman hidup yang hakiki
Lebih-lebih lagi muda-mudi
Matlamatnya hanya makan, minum, pakaian, duit,
angan-angan, kahwin, beranak
Kalau dia lelaki angan-angannya perempuan,
kalau dia perempuan angan-angannya laki-laki
Jika berbual-bual sesama sejenis,
kalau laki-laki berbual tentang betina pilihan hati
Kalau perempuan, berbual-bual tentang jejaka idaman selera
Perbualan mereka terbatas tentang kerja, pakaian, makan, kahwin sahaja
Hal agama, bangsa dan negara bukan perbincangan mereka
Duit habis dibelanjakan untuk persolekan dan hiasan
Tukar pakaian setiap bulan, kalau boleh pakaian yang terkini
Gembiranya keterlaluan
dukacitanya, membawa kecewa bahkan ada yang putus asa
Ketawanya tidak dapat dikawal, berdekah-dekah dan terbahak-bahak
Katanya hendak lepas tension dan perasaan
Berfoya-foya jadi budaya, melepak-lepak tradisi hidup mereka
Masa terbuang, hilang begitu sahaja tanpa pengisian yang berfaedah
Bagaimanalah hendak menjadi bangsa yang besar dan gagah?!
Para pemimpin harap perhati bangsa yang tabiat begini
Kekuatan sesuatu bangsa bukan seperti tabiat mereka
11.11.2002 - 3
Selepas Tarawikh
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 863 reads
Post new comment