warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

Kehidupan Sebelum Dan Selepas Merdeka







Kehidupan sebelum dan selepas merdeka




Kehidupan Sebelum Dan Selepas Merdeka

 

Aku hidup sempat berada di dalam empat kerajaan

Dua kali kerajaan British, sekali pemerintahan  Jepun,

sekali kerajaan Malaysia yang merdeka

Semasa penjajahan terutama penjajahan Jepun di antara kesusahan dan penderitaan

secara umum akan diceritakan sebagai pengetahuan

Miskin dan papa merata-rata tempat berlaku sangat ketara

Kemudahan kehidupan seperti alat-alat perhubungan, jalan raya,

tempat tinggal dan pakaian amat susahnya

Berbagai-bagai penyakit tidak ada orang yang tidak diserangnya,

ubat-ubatan sangat terbatas, hanya ubat tradisi sahaja,

harimau mengganas, kerbau, lembu, kambing jadi sasaran bahamannya

Tempat belajar sangat terbatas terutama di zaman Jepun,

kerana itulah cerdik pandai Melayu terlalu kurang

Merata di kalangan orang Melayu buta huruf terutama kaum ibu

Rata-rata orang Melayu mundur

Pekerjaan sangat terbatas

Ramai yang bekerja sendiri

Di kalangan orang Melayu hanya berjawatan polis, askar, cikgu,

peringkat kerani hanya bilangan jari, pendapatan rakyat tidak menentu

Untuk menziarahi keluarga sekadar  sejauh 20 dan 30 batu jarang berlaku

terasa sangat jauhnya

Kalau lebih jauh dari itu terputus terus tidak tahu ke mana hendak dicari sampai mati

Kemajuan boleh dikatakan tidak ada pembangunan hanya ala kadar sahaja

Pembangunan sangat terbatas sekali hanya di bandar-bandar sahaja

Bangunan yang paling tinggi di waktu itu hanya 7 tingkat

Hutan merata-rata tempat kerana belum diserang oleh pembangunan dan kemajuan

Jalan raya amat dhaifnya

Perjalanan di antara satu tempat ke satu tempat terasa amat jauhnya

Tapi di celah-celah kesusahan dan kepayahan itu ada yang indahnya

Kasih sayang masih berbunga, ia berbuah sekalipun tidak lebat,

lebih-lebih lagi sesama keluarga

Bekerjasama tanpa digesa sangat ketara sebagai contoh yang ia jadi budaya

Membuat rumah bergotong-royong bersama, membuat bendang berderau

sesama sekampung

Kalau kenduri-kendara kenduri bersama, masing-masing membawa bahan mentahnya untuk dimasak dan makan bersama

Di musim buah, buah-buahan di kebun siapa pun boleh diambil bersama

Siapa yang mengambilnya sekalipun  tidak ada keizinan tuannya tidak dianggap mencuri

Siapa yang menangkap ikan dapat lebih diagih-agihkan sekampung

Perempuan-perempuan muda terutama anak dara dijaga bersama

tidak ada yang berani menodainya

Kalau berlaku sekali-sekala incident riuh-rendah sekampung,

yang melakukannya sangat malunya adakalanya berpindah dari kampung

Jarang mendengar kecurian, rompak, samun, pergaduhan, apatah lagi pembunuhan

Berzina, sumbang muhram, buang anak, rogol  hampir tidak kedengaran

Perceraian susah berlaku dan jarang terjadi

Anak-anak masih menghormati ibu bapanya, murid-murid masih kasih

dengan guru-gurunya apatah lagi guru agama dan ulamak sangat dihormati

Guru-guru agama dan ulamak tempat rujuk orang kampung

hingga hendak nikah kahwin pun bertanya tuk guru

Ziarah-menziarahi masih jadi budaya terutama sesama keluarga

Mencari jodoh adalah urusan orang tua bukan urusan peribadi, kekal sampai mati

Orang miskin tidak terbiar ada sahaja orang yang memberi

Orang-orang tua atau pemimpin dihormati dan dimuliakan,

orang segan dengan mereka

Krisis di antara puak terlalu sedikit

Apatah lagi kerana politik tidak terjadi

Setelah merdeka apa sudah terjadi?

Setelah merdeka memang tidak dapat dinafi banyak perkara positif terjadi

Semua orang terasa hal itu, tidak boleh dinafi

Ramai orang Melayu yang pandai dan berjawatan tinggi buta huruf sudah tidak ada lagi

Kemajuan dan pembangunan merata negara dan negeri

Kemewahan di kalangan orang Melayu sudah wujud agak merata

Ramai di kalangan orang Melayu menjadi jutawan dan biliowan segera

Kemiskinan semakin berkurangan

Tapi yang malangnya bahkan sangat menyedihkan budaya lama yang positif

bahkan yang diperlukan setiap masa hilang begitu sahaja tidak dipertahankan

Lahir pula perkara positif yang baru menggantikan perkara positif yang lama yang sangat disayangkan

Kemajuan pesat berlaku tapi budi bahasa yang indah layu bahkan hilang ditiup bayu

Orang Melayu sudah pandai-pandai yang berjawatan tinggi sudah ramai,

hidup nafsi-nafsi pula jadi budaya

Gotong-royong, bekerjasama, rasa bersama hilang,

kecuali digesa-gesa dan terpaksa atau pura-pura

Hidup agak selesa, alat perhubungan mudah, tapi ziarah-menziarahi kurang sekali,

kalau ada terpaksa aja

Selepas merdeka orang Melayu boleh melancong seluruh dunia,

tapi tidak pula membawa identiti Islam Melayu

Di waktu itu orang Melayu sudah berfikiran terbuka, maka terbuka pula krisis merata

Orang Melayu terima demokrasi, boleh memilih pemimpin sendiri

tapi perbalahan, perpecahan menjadi-jadi

Wujud sekolah di mana-mana belajar mudah tapi kasih sayang pecah,

ibu bapa, guru-guru tidak dihormati lagi

Peluang pekerjaan terbuka luas, tapi jenayah merata-rata terjadi,

perkelahian, pergaduhan, pembunuhan, zina, rogol, sumbang muhram

menjadi berita akhbar setiap hari

Mudah pergi ke mana-mana, tapi ketakutan juga berlaku di mana-mana

Dahulu masjid tempat ibadah, lambang perpaduan,

sekarang tempat berbalah dan berpecah-belah

Sepatutnya orang Melayu rakyat atau pemimpin setelah merdeka bebas menambah perkara-perkara yang positif di atas perkara positif yang sudah ada

Tapi mengapa melahirkan perkara positif yang baru

korbankan pula perkara positif yang lama

Padahal yang lama sangat diperlukan yang baru juga diperlu

Seolah-olah orang Melayu terpaksa membuat pilihan di antara dua

Kalau hendakkan perkara yang baru yang sangat berguna

terpaksa korbankan perkara yang lama yang juga berguna

Mengapa ia terjadi begitu?

Di mana salah silapnya? Apa yang tidak kena?

Mengapa membuat yang baik korbankan yang baik

Mengapa membuat perkara yang perlu korbankan pula yang perlu

Sepatutnya yang lama yang baik perlu pertahankan

tambah lagi dengan yang baru yang perlu

Begitulah satu bangsa yang hendak menjadi satu bangsa yang baik dan maju

Satu bangsa yang boleh berdiri sendiri yang dihormati oleh dunia

Kita akui yang baru banyak yang baik

Tapi mengapa yang lama yang baik itu diganti dengan yang negatif atau yang tidak baik

Itu tentulah salah sistem, atau pemimpin tidak pandai menilai

dan tidak pandai mendidik rakyat

Bukan senang yang lama yang baik itu hendak dikembalikan semula?!

Dan juga tidak semudahnya yang baru yang negatif itu hendak ditumpaskan pula

Kalau bukan Tuhan campur tangan dengan secara didatangkan pemimpin

yang Dia tunjuk mungkin seratus tahun lagi tidak akan selesai

Marilah kita berdoa dan berusaha agar pemimpin yang Tuhan tunjuk itu datang segera

Semoga yang lama dapat dihidupkan semula, yang baru dikekalkan juga,

di samping dimantapkan lagi iman dan taqwa

Maka lahirlah negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan

itulah cita-cita kita

 

12.7.2003 2

Menjelang Asar/Zuhur/Asar

Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer