Kalau Terasa Kebesaran Tuhan
Kalau Terasa Kebesaran Tuhan
Kalau seseorang itu terasa kebesaran Tuhannya
Nescaya lebur kebesarannya di dalam kebesaran Tuhannya
Fana di dalam kehebatan-Nya
Terasa kerdilnya diri ini dan terlalu hinanya
Tenggelam di dalam keagungan-Nya
Jika seseorang terasa Maha Kuasa-Nya Tuhan
Bagaimana besarnya kuasa seseorang itu tidak terasa lagi ada kuasa pada dirinya
Terasa sangat dirinya itu tertakluk di dalam kekuasaan Tuhannya
Kalau seseorang itu terlalu kenal kemurahan Tuhannya
Setiap detik sentiasa menerima anugerah-Nya dan kasih sayang-Nya
Aduh! Malunya dia kepada Tuhannya
Menjadikan dia seorang pemurah, kerana mengikut Pemurah-Nya Tuhan-Nya
Jika seseorang itu sedar sangat bahawa kehendak Tuhan itu lulus
Apa sahaja boleh berlaku kepada seseorang itu
Tuhan boleh buat apa sahaja terhadap dirinya
Aduh kecut perutnya, menggeletar sendi-sendinya
Cemas selalu, rusuh hatinya
Kalau seseorang sentiasa sedar bahawa Tuhan Tahu, Tuhan Melihat, Tuhan Mendengar
Tidak pernah lekang sekalipun sekelip mata
Sudah tentu rasa bertuhan menyelubungi rasa hatinya
Dia rasa tidak tentu arah, serba salah
Betapalah hendak membuat salah dengan sengaja
Tidak tergamak dia hendak melakukannya
Malu yang amat sangat hendak mengerjakannya
4.1.2000 = 27 Ramadhan 1421
Menjelang tidur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 792 reads
Post new comment