Berjuanglah Atas Dasar Cintakan Tuhan
Berjuanglah atas dasar cintakan Tuhan
Berjuanglah atas dasar cintakan Tuhan
Atau berjuanglah atas dasar takutkan yang Maha Pencipta
Membangunlah atas dasar tuntutan Tuhan
Berekonomilah atas dasar perintah Tuhan yang Maha Esa
Berpendidikanlah atas dasar cintakan Tuhan
Bahkan buatlah apa sahaja tapi untuk Tuhan dan kerana Tuhan
Barulah segala apa yang dihasilkan selamat menyelamatkan
Bahagia dan membahagiakan sesama manusia
Bahkan segala yang dihasilkan itu akan menjadi lambang kebesaran Tuhan
Ia akan menjadi 'ayat min ayatillah'
Dari buah usaha dan perjuangan itu nampak kebesaran Allah Taala
Manusia akan malu dan bersyukur kepada-Nya
Dan manusia akan merendah diri di hadapan kebesaran Tuhan
Di waktu itu yang terasa Allahlah yang Maha Kuasa, Maha Besar dan Maha Agung
Tapi apabila manusia itu berusaha dan berjuang tidak ada hubung kait dengan Tuhan
Maka akan berlakulah nanti hasil dari usaha dan perjuangan itu sebagai tuhan
Walaupun manusia tidak mengatakan itu tuhan
Matlamat yang telah dicapai itu, manusia mentuhankan benda itu
Jadi manusia itu sama ada disedari atau tidak telah mentuhankan benda
Kerana itulah apabila benda itu sudah tidak boleh menyelamat manusia lagi
Manusia akan jemu, resah dan gelisah bahkan kecewa dan putus asa
Menjelang tidur
28.1.2000 (21 Syawal 1420)
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 873 reads
Post new comment