Yatim Piatu Yang Hakiki


03/02/2006

 

 

Bukanlah yatim piatu itu tiada berayah tiada beribu. Yatim piatu yang hakiki itu yang tidak ada iman dan ilmu.

Tiada ibu dan bapa tidak mengapa, ia bukan satu kesalahan. Itu sudah takdir Tuhan yang satu, tiada siapa yang mahu. Tetapi iman dan ilmu wajib dicari kerana perintah Tuhan yang Esa. Siapa yang tidak melakukannya adalah berdosa. Tidak ada ilmu dan adab, manusia terhina.

Tiada ibu dan bapa bukanlah aib, kalau pun susah hanya di dunia, tetapi kalau tidak ada iman dan ilmu, Tuhan murka, di Akhirat masuk Neraka.

Tetapi kebanyakan orang, tidak ada ayah ibu, tidak suka kerana mereka tidak ada tempat mengadu dan bermanja. Manusia sudah salah menilai, kalau tidak ada iman dan ilmu tidak ada orang yang dukacita, padahal tidak ada iman dan ilmu Tuhan murka dan masuk Neraka. Sungguh salah tanggapan manusia, yang tidak bahaya dianggap bahaya, yang bahaya dianggap tidak bahaya.

Itulah akibat dunia dikenali, Akhirat tidak dikenali bahkan dilupa, padahal Akhirat destinasi yang akhir sekali, dunia hanya sementara. Bila tiada ilmu dan akhlak tidak ada nilai dirinya. Ilmu dan akhlak adalah nilai diri manusia.

Wahai anak-anak yang tiada ayah dan ibu, jangan hati susah ketiadaan mereka. Pentingkanlah ilmu dan akhlak mulia, lebih-lebih lagi iman dan taqwa. Ada ibu dan ayah tiada apa-apa erti jika iman, ilmu, akhlak tiada diperolehi. Mereka akan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya juga kepada dua ibu bapa mereka.

Berapa banyak manusia yang masih ada ibu bapa tetapi derhaka kepada kedua-duanya kerana iman dan ilmu tiada di dada. Akhlak yang mulia tidak lahir dari mereka.

Janganlah sedih ketiadaan ibu dan bapa, nasib kita bukan ditentukan oleh keduanya. Carilah iman pentingkan ilmu, hiasilah diri dengan akhlak, Tuhan cintakan kita. Sedihkanlah kalau kita tidak ada itu semua.

Oleh itu janganlah takut tidak ada ayah dan ibu tetapi takutlah tidak ada iman dan ilmu kerana ia merupakan yatim piatu yang hakiki, di Akhirat malang sekali.

 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer