Unsur- Unsur Yang Mencorak Manusia(i)

Kuliah Umum


26/07/2006

Dunia ini atau kehidupan manusia dicorak samada baik atau buruk, memberi manfaat atau mudharat, yang boleh mendatangkan kasih sayang atau mengharu-birukan, ada tiga maksud Tuhan yang kita tidak nampak yang ada dalam diri manusia yang sangat memainkan peranan dan mendorong lahiriah manusia ini. Mendorongkan kaki, tangan, mata, telinga, tindakan dan sebagainya membentuk kehidupan manusia. Tiga maksud Tuhan itu ialah akal , nafsu dan roh.

Jadi, yang tiga inilah menentukan hidup manusia baik atau buruk. Makhluk yang tidak nampak. Bersifat rohani atau maknawi. Yang tiga inilah yang memperalatkan kaki, tangan, mulut, mata, telinga dan lain-lain untuk bertindak. Anggota lahir ini tidak faham apa-apa hanya menjadi alat semata-mata. Diperalatkan oleh akal, nafsu dan roh.

Begitulah dunia ini dan begitulah kehidupan manusia. Ada orang terlalu yakin dengan ilmu dan akal fikirannya. Ini adalah fahaman falsafah. Apa saja yang hendak dibuat, ditanyakan kepada akal. Maksudnya, ditanyakan ilmunya dulu. Kalau akalnya mengatakan sesuatu itu baik, dia akan buat. Kalau akal kata tidak baik, dia tidak buat. Dia tidak bersandar dengan nafsu atau roh.

Cuma, oleh kerana akal ini lemah, walaupun dia berniat baik tetapi kadang-kadang dia tidak sedar yang dia didorong atau dikudakan oleh nafsu. Sebab dia tidak bersandar dengan Tuhan. Kebaikan itu berdasarkan akal atau logik sahaja. Jadi, akal ini tidak dapat melihat semua kebaikan atau kejahatan. Yang mudah-mudah itu memang dapat dilihat dan dinilai. Yakni yang lahir-lahir. Tetapi benda-benda yang tersirat dan yang batin, akal sudah tidak mampu untuk melihat. Tetapi oleh kerana orang akal yakin dengan akalnya, seperti ahli-ahli falsafah, maka dia menggunakan akalnya untuk bertindak. Baik buruknya sesuatu perkara itu dinilai oleh akalnya semata-mata.

Jadi manusia yang benar-benar bersandar dengan akal, inilah manusia yang dikatakan bersifat kemanusiaan. Orang yang kemanusiaannya tinggi hasil dia bersandar kepada akalnya semata-mata. Saya buat beberapa contoh yang mana kadang-kadang dia tidak sedar yang dia tersilap juga. Dia tidak sedar dia telah dikudakan oleh nafsunya. Sebab dia tidak dapat kekuatan dari Tuhan. Contoh, orang yang sangat menggunakan akal, Kalau bergaul dengan masyarakat, nampaknya baik. Waktu bergaul dengan masyarakat dia kata, Saya tidak mahu mengumpat orang kerana saya fikir, risikonya besar. Orang marah. Kalau orang marah, nanti jadi bergaduh. Oleh kerana risikonya berat maka dia tidak mengumpat. Kelihatannya baik. Sengaja saya bawa perkataan kelihatan baik. Saya tidak kata dia baik. Kalau orang kampung memang sudah puji dia. Baiknya dia. Tidak pernah mengata orang. Itu otak kampung. Bagi orang kampung, sudah cantik. Tetapi itu dilihat oleh otak kampung. Sebab itu pemimpin jahat pun boleh naik.

Contoh lain, seseorang tidak mahu minum arak. Dia bukan takutkan Tuhan. Dia tidak minum arak kerana hasil fikir-fikir, kalau minum arak ini besar akibatnya. Otak yang memandu. Kelihatan baik. Bagi orang bodoh, dia akan kata, Baik orang ini. Tidak pernah minum arak.

Begitu juga, orang yang bergantung dengan akal ini, dia tidak tipu orang. Sebab bila dia fikir-fikirkan, menipu ini memang tidak baik dan risikonya besar. Akalnya memang melihat menipu itu tidak baik dan ada akibat buruk tetapi akal ini dalam sesetengah hal ia tidak dapat membaca baik atau buruknya sesuatu hal itu.

Contoh lain, seseorang pergi belajar ke luar negeri. Di sana, sama-sama belajar dengan seorang perempuan, yang samada satu bangsa atau negara. Kerana hendak menunaikan tuntutan fitrah naluri manusia dia fikir, kalau aku tidak kahwin, aku manusia juga. Perlu menunaikan tuntutan biologi ku. Yang perempuan pun berfikir begitu juga. Tetapi kalau aku kahwin, hendak menunaikan tanggungjawab, belum mampu lagi. Kalau kahwin, perlu menunaikan tanggungjawab. Oleh itu mereka berpakat tidak mahu berkahwin. Bila tidak berkahwin, tidak perlu bertanggungjawab. Hasil gunakan akal, mereka memutuskan untuk tidak berkahwin supaya tidak perlu bertanggungjawab. Namun mereka melakukan zina. Mereka anggap zina dan kahwin sama sahaja. Cuma kahwin itu kerana faktor hukum. Di situ dia tersasar. Tidak nampak baik buruknya. Baik buruk itu sangat tersirat. Terutama tentang keturunan pada jangkamasa panjang. Terutama bila ada anak. Siapa yang hendak bertanggungjawab. Dia tersasar di situ.

Begitu juga seorang yang sama-sama mengembara. Dia perlukan kawan-kawan untuk bantu membantu dan bekerjasama. Jadi dia duduk bersama dengan seorang kawan perempuan tetapi tidak berzina. Atas dasar baik, akal kata, bolehlah saling tengok-menengok. Dia gunakan akal. Kalau ada masalah boleh bincang-bincang untuk selesai masalah. Dia tidak berzina. Ikut orang akal, ini baik kerana dia dapat banyak faedah di situ. Sebab itu, orang yang guna akal ini, sikapnya kelihatan baik, tetapi kerana tidak bertunjangkan Tuhan, dia dapat dikudakan oleh syaitan dan nafsu. Ini bolehlah dikatakan manusia yang peri kemanusiaannya tinggi. Ini dikatakan manusia berupa manusia.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer