Tidak Mesti Seorang Pakar Al Quran Dan Al Hadis Bersikap Al Quran Dan Al Hadis(1)

Kuliah Umum


01/11/2006

Orang yang menyandarkan dirinya kepada Al Quran dan Al Hadis boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian atau golongan.
1. PAKAR KEDUA-DUANYA
Orang yang benar-benar belajar tentang Al Quran dan Al Hadis serta pakar dengan kedua-duanya. Golongan ini yakin dengan Al Quran dan Al Hadis. Amalan, perbuatan, perjuangan dan akhlak mereka benar-benar mencerminkan Al Quran dan Al Hadis itu. Kalau diminta dalil-dalil atau nas-nasnya dari sumber keduanya, apa yang mereka lakukan dan laksanakan atau apa sahaja yang ditanyakan, nescaya mereka dapat mendatangkan dalil-dalilnya. Golongan ini sangat sedikit di akhir zaman ini. Mencari mereka ibarat mencari gagak putih atau hendak mencari belerang merah. Golongan ini adalah manusia luar biasa. Golongan ini kalau ada orang yang suka, terlalu suka dan kasih tetapi ramai yang benci terhadap mereka. Yang benci terlalu benci pula.

2. PELAJARINYA TAPI LEMAH MUJAHADAH
Golongan ini benar-benar mempelajari Al Quran dan Al Hadistetapi lemah bermujahadah. Mereka mempelajari Al Quran dan Al Hadis hingga mereka pakar di bidang ini. Apa yang mereka pelajari itu memang mereka yakini. Namun kerana lemah mujahadah melawan nafsu mereka, maka tindak-tanduk dan akhlak mereka tidak semua mencerminkan Al Quran dan Al Hadis. Mereka sedar akan hal ini. Mereka mengaku lemah dalam mengamalkannya.

Namun kalau ada orang yang bertanya mengenai sesuatu masalah, mereka tetap menjawab berdasarkan Al Quran dan Al Hadis. Kerana ilmu itu mereka miliki, mereka tetap bercakap benar sekalipun lemah melaksanakannya. Mereka tetap berasa sedih dengan kelemahan-kelemahan mereka. Mereka selalu bersedih dengan kelemahan-kelemahan mereka. Golongan ini terpulanglah kepada Allah. Allah telah berfirman:
Maksudnya: Allah mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. (Al Baqarah: 284)

3. BELAJAR ATAS DASAR ILMU
Golongan ini golongan yang mempelajari Al Quran dan Al Hadis atas dasar ilmu. Mereka minat dengan ilmu ini atas dasar mental exercise. Apakah ia satu kebenaran atau tempat rujuk yang sebaik- baiknya, mereka tidak dipersoalkan. Yang penting pada mereka ialah ilmu daripada dua sumber itu. Mungkin juga mereka mempelajarinya kerana untuk mencari keuntungan dunia atau mencari populariti.

Dalam segi mengamalkan di dalam kehidupan seharian, mereka tidak pun mempersoal apakah selari atau tidak. Itu tidak penting bagi mereka. Itu bukan matlamat mereka. Pada mereka yang penting ilmunya itu. Mereka ini golongan yang diragui keislaman mereka.

4. BELAJAR, YAKIN TAPI TIDAK MINAT
Golongan ini mempelajari Al Quran dan Al Hadis seperti golongan yang ketiga. Sikap, amalan mereka juga sama. Cuma bezanya ia tetap yakin ilmu daripada kedua sumber ini adalah satu kebenaran dan tempat rujuk. Namun untuk mengamalkannya, mereka tidak berminat. Mungkin mereka merasakan tidak menguntungkan, atau bimbang tidak mendapat kejayaan, merasa malu atau rendah diri untuk mengamalkan. Mereka itu adalah golongan yang fasik atau golongan yang menzalimi diri sendiri. Golongan ini agak ramai juga.

5. MENGAKU MENGAMALKANNYA
Golongan ini mengaku mengamalkan Al Quran dan Al Hadis tetapi mereka tidak mampu untuk terus merujuk kepada keduadua sumber itu kecuali sedikit kerana mereka tidak benar-benar mempelajari Al Quran dan Al Hadis dengan sempurna atau mendalam. Amal ibadah dan tindak-tanduk mereka lebih merujuk kepada pendapat ulama atau mazhab-mazhab di dalam Islam atau merujuk kepada kitab-kitab karangan para ulama. Mereka yakin ulama atau mazhab yang menjadi ikutan dan tempat rujuknya itu tentulah merujuk kepada Al Quran dan Sunnah. Mereka kalau ditanya lebih boleh menjawab dengan memberikan pendapat-pendapat ulama atau mengeluarkan fatwa-fatwa mazhab daripada nas-nas atau dalil-dalil Al Quran dan Al Hadis.

Walaupun begitu, mereka bersungguh-sungguh dalam mengamalkannya. Mereka ini dianggap golongan muqallidin atau golongan orang yang bertaqlid. Ulama berpendapat bahawa jika dari sudut ilmu fekah, seseorang itu dibolehkan bertaqlid kerana tidak semua umat Islam mampu untuk mendalami ilmu Al Quran dan Al Hadis hingga bertaraf pakar, hingga mampu berdiri sendiri tanpa bersandar dengan orang lain. Dengan katakata yang lain tidak mungkin semua umat Islam mampu menjadi mujtahid.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer