Kebahagiaan Bersama Tuhan(3)

Submitted by admin on Sun, 2006-12-31 11:57

Kuliah Umum


16/06/2006

2. Seperti yang telah diperkatakan, ramai orang percaya tetapi tidak yakin dengan Tuhan. Sedangkan Tuhan sentiasa berperanan . Mana ada waktu Tuhan tidak berperanan kepada kita walaupun dalam satu detik. Cuma peranan itu ada yang bersifat positif atau negatif. Dalam 24 jam Tuhan mesti berperanan kepada kita. Jadi, kalau setakat percaya dengan Tuhan tetapi tidak yakin dengan peranan Tuhan, apabila Tuhan datangkan sesuatu ujian seperti sakit, miskin, patah kaki dan sebagainya, akan hilang rasa bahagia. Sebab tidak faham dan tidak tahu kenapa Tuhan datangkan ujian sedemikian. Sedangkan kalau yakin dengan Tuhan, apabila menerima ujian, akan mengucapkan alhamdulillah. Moga terhapus dosa-dosa. Terasa ada perhatian Tuhan terhadapnya. Rasa lega kerana tahu dan faham apa maksud Tuhan.

Sebab itulah terjadi, apabila dua orang yang kena musibah yang sama, seorang merasa susah dan seorang lagi merasa tidak susah. Yang satu kecewa dan yang satu lagi gembira. Ini adalah kerana yang seorang yakin dengan peranan Tuhan dan yang seorang lagi tidak yakin, menyangka Tuhan hendak merosakkannya. Inilah rahsia bahagia dengan Tuhan. Ini tahap kedua bahagia bersama Tuhan.

3. Di tahap yang ketiga, apabila Tuhan memberi nikmat , kalau faham peranan Tuhan; ada dua kegembiraan dan kebahagiaan di situ. Yang pertama, tentulah rasa gembira apabila dapat nikmat, itu fitrah. Tetapi kalau rasa gembira dan bahagia itu hanya fitrah saja, ini akan menjadikan seseorang itu rosak dan sombong. Boleh menyalah guna nikmat dan tidak akan bersyukur. Tetapi kalau faham peranan Tuhan, apabila diberi nikmat, itu akan menambah satu lagi kegembiraan. Itulah yang akan menyelamatkannya. Dan seseorang itu akan berbahagia sepanjang masa. Dia tahu rupanya Tuhan memberi nikmat supaya dia boleh berbuat balk. Supaya boleh mendapat pahala yang banyak. Dia akan berterima kasih kepada Tuhan.

Kalau yang pertama tadi, apabila mendapat nikmat, seseorang itu akan merasa gembira sahaja. Itu terjadi secara semulajadi. Kemudian menjadi sombong, megah dan jika tersalah guna nikmat akan menjadi bakhil. Tetapi kalau ditambah lagi iaitu dengan memahami bahawa tujuan Tuhan memberi nikmat adalah untuk membuatkan kita berbuat lebih banyak kebaikan dan menambah pahala. Itulah kebahagiaan yang sebenar. Itu bahagia hakiki. Kebahagiaan yang pertama tadi tidak kekal kerana apabila ujian datang, bahagia itu terbatal. Tetapi kalau ditambah dengan kebahagiaan kedua, apabila sudah faham dan yakin tentang peranan Tuhan, kebahagiaan kedua itu tidak akan terjejas.

Jadi itulah kebahagiaan bersama Tuhan. Yang pertama, mesti kenal Tuhan . Apabila sudah kenal, akan rasa cinta kepada Tuhan . Kemudian takut dengan Tuhan dan faham serta yakin tentang peranan Tuhan . Meyakini bahawa setiap sesuatu yang Tuhan beri adalah tidak sia-sia dan semuanya maksud baik walaupun nampak negatif seseorang yang berkeyakinan begitu tidak kecil hati, berputus asa atau kecewa sebaliknya rasa bahagia.

Itulah yang dimaksudkan bahagia bersama Tuhan. Kalau sekadar percaya dengan Tuhan maka tidak akan dapat bahagia. Seseorang yang cinta, takut dan faham serta yakin dengan Tuhan, dia akan tahu bahawa peranan Tuhan semuanya baik dan tidak ada yang sia-sia. Asalkan ianya boleh difahami dan diterima. Itulah bahagia yang hakiki. Di dunia sudah mendapat bahagia apa lagi di akhirat.

Sekian

Add new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Filtered HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type='1 A I'> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id='jump-*'> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.

PingBack