Kebahagiaan Bersama Tuhan(2)

Submitted by admin on Sun, 2006-12-31 11:57

Kuliah Umum


15/06/2006

Setelah difahami apa erti bahagia dan sebab-sebab untuk bahagia, barulah boleh dikupas bahagia yang hakiki iaitu bahagia dengan Tuhan. Bahagia dengan Tuhan tidak seperti pekara yang telah dibincangkan. Oleh kerana dunia ini dikatakan benda yang dekat, maka bahagia dunia iaitu bahagia dengan benda atau perkara yang telah disebutkan tadi menjadi mudah untuk difahami.

Apabila mudah difahami, bahagia itu cepat dirasai. Cuma bahagia itu tidak kekal. la akan dibatalkan oleh keadaan. Sebab itu selalu berlaku orang kaya bunuh diri. Orang berjawatan tinggi pun bunuh diri. Kalau tidak bunuh diri pun mati terhina di hujungnya. Ini banyak berlaku kepada hakim. Disangka bahagia sampai ke hujung rupanya tidak. Untuk merasa bahagia dengan dunia adalah mudah dan cepat tetapi untuk merasa bahagia dengan Tuhan, susah dan tidak cepat berlaku. Jadi, sebenarnya amat payah untuk mencari bahagia dengan Tuhan. Falsafah ini tinggi, agak sukar difahami.

Hendak merasai bahagia dengan Tuhan kalau setakat percaya sahaja yang Tuhan itu ada, memang tidak boleh. Akidah itu hanya setakat cukup makan sahaja. Hanya untuk mengesahkan iman. Ertinya seseorang itu tidak kafir. Kalau hanya paras itu akidahnya yakni dia sudah Islam dan bukan kafir: dia tidak akan dapat merasa bahagia dengan Tuhan. Seperti yang sudah diperkatakan tadi, bahagia ada hubungkait dengan keyakinan. Percaya saja tidak akan membawa kepada rasa bahagia. Yakni hanya percaya tetapi tidak yakin. Kalau hendak merasa bahagia dengan Tuhan tetapi tidak yakin dengan Tuhan, pasti kebahagiaan itu tidak dapat dirasakan.

Sekalipun seseorang itu abid yang malamnya bersembahyang, siang berpuasa. Wirid dan zikir tetapi hatinya setakat percaya. Akidahnya kalau sekadar itu, hanya cukup untuk mengesahkan bahawa dia adalah orang Islam. Dia tidak akan mendapat kebahagiaan. Ini sudah banyak kali terbukti apabila didapati ramai ahli ibadah tidak dapat hidup tenang. Berapa ramai ahli ibadah yang suka marah-marah. Bersifat bakhil, hasad dengki sedangkan kalau tengok ibadahnya, dia seperti seorang wali.

Bahagia hakiki adalah bahagia dengan Tuhan. Bahagia yang kekal abadi di dunia boleh dapat, lebih-lebih lagi di akhirat. Tetapi ia tidaklah semudah mendapat bahagia dunia. Oleh kerana bahagia dengan Tuhan sangat mahal, hendak mendapatkannya payah. Bahagia dunia mudah walaupun tidak kekal. Walaupun rasa bahagia tidak sampai ke hujung tetapi mudah untuk mendapatkannya. Dengan Tuhan tidak mudah. Seperti yang sudah dikatakan kalau akidah hanya setakat cukup makan, tidak akan dapat bahagia. Akidah yang setakat mengesahkan iman saja tidak akan boleh bahagia.

Hendak dapat bahagia dengan Tuhan, di dunia sampai akhirat yang hakiki dan kekal abadi, ada beberapa syaratnya.

1. Kenal betul betul sampai jatuh hati dengan Tuhan hingga rasa takut dan cinta Tuhan.
Maka itu satu tahap. Apabila cinta Tuhan, automatik datang rahmat dan berkat dari Tuhan dan orang pun akan cinta dengan makhluk Tuhan sekalipun binatang. Kalau sudah cinta dengan makhluk Tuhan, sudah tidak prejudis, memang untuk Tuhan.

Bila cinta Tuhan datang cinta sesama makhluk apabila cinta sesama makhluk, ia akan jadi kasih sayang timbang rasa, bertolak ansur dan dapat hiburan di situ. Tapi kalau kita jenis beragama setakat syariat takat Islam tidak sampai cinta kepada Tuhan, tidak dapat rasa indah. Menderma tapi tidak rasa indah. Tolong orang tapi tidak rasa indah.

Sebab itu, orang di zaman dulu membantu orang kerana merasa indahnya. Mereka tidak kaitkan dengan syariat tetapi kaitkan dengan Tuhan. Di waktu susah, Saidatina Aisyah tetap bersedekah setidak-tidaknya sebelah tamar. Itu pun sudah cukup untuk disedekahkan. Kalau dalam satu hari dia tidak dapat bersedekah, dia sangat tidak merasa bahagia. Apabila dapat bersedekah, dia cukup rasa bahagia. Terasa ringan satu hari. Bagi kita pula, kalau tidak bersedekahlah rasa bahagia.

Begitu juga bagi orang yang takut dengan Tuhan, mereka takut hendak berbuat jahat dengan makhluk Tuhan. Itulah kesan daripada rasa takut dengan Tuhan. Apabila tidak takut Tuhan, tidak takut hendak berbuat jahat dengan makhkluk Tuhan. Di situlah tidak ada bahagia. Jika kita bersifat pemarah, adakah akan rasa bahagia? Lebih pulak kalau sifat pemarah itu sudah menjadi budaya. Ada kesan sampingan atau side effect yang sangat flatus yang tidak kita sedari, di mana dalam keadaan tidak marah, di dalam hati menjadi risau. Bila tidak ada masalah pun selalu risau. Itulah side effect sifat pemarah. Orang yang pemarah itu kalau tidak takut dengan Tuhan, kesannya tidak akan bahagia.

Apabila rasa takut dengan Tuhan maka akan rasa takut hendak berhasad dengki. Mengapa orang suka berhasad dengki? Itu kerana hatinya tidak bahagia melihat orang lain senang. Sifat pemarah sudah mencacatkan hati. Bila datang hasad dengki, maka bertambah lagi. Itulah kesan-kesan tidak takut Allah, membuatkan orang tidak takut berhasad dengki. Adakah waktu hasad dengki itu rasa bahagia? Lebih lagi orang yang kita hasadkan lebih istimewa dan lebih maju menyebabkan kita merasa bertambah sakit dan bertambah tidak bahagia. Kita berdendam dengan orang dan tidak takut Tuhan, adakah rasa bahagia? Pasti tidak ada. Berdendam itulah yang merosakkan kebahagiaan, menjadikan seseorang itu tidak merasa bahagia. Itu akibat tidak takut dengan Tuhan. Kalau tidak takut Tuhan maka tidak takut hendak berdendam sesama manusia. Itulah rahsianya tidak bahagia. Tetapi apabila takut dengan Tuhan, tidak pernah berdendam dan berbaik sangka dengan orang, hati rasa bahagia.

Kalau mazmumah itu hasil dari rasa tidak takut dengan Tuhan, walaupun berlaku sekali sekala tetapi ianya banyak, itulah dia memendam tanpa disedari. Akibatnya, waktu tidak ada masalah apa pun, hati rasa risau. Apa lagi waktu ada masalah, mesti menjadi lebih risau. Kesan sampingan dari memendam mazmumah itu rasa tidak tenteram, pemarah dan lain-lain lagi. Sedangkan kalau takut dengan Tuhan, mazmumah itu tidak ada, pasti rasa tenang dan bahagia sebab tidak ada yang menganggu hati. Sifat hasad dengki, sombong, marah dan dendam tidak menganggu. Itu satu tahap bahagia.

Add new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Filtered HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type='1 A I'> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id='jump-*'> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.

PingBack