Kebahagiaan Bersama Tuhan(1)

Submitted by admin on Sun, 2006-12-31 11:57

Kuliah Umum


14/06/2006

Sebelum tajuk ini dikupas, terlebih dulu dihuraikan erti bahagia. Bahagia sebenarnya bersifat rohaniah. Ia bersifat kejiwaan. Bahagia itu adalah rasa atau perasaan.

Ia tidak bersifat fizikal. Ianya adalah perasaan. Apabila ia dikatakan rasa atau perasaan, maka bahagia itu bertapak pada roh. Bahagia itu bukan pada mata, telinga atau tangan. Dengan kata lain, ia bukan bersifat luaran. Cuma kadang-kadang benda-benda luaran ini menjadi sebab kepada kebahagiaan. Itupun tidak hakiki. Cuma kebahagiaan itu berlaku juga kerana ia membentuk rasa-rasa, walaupun tidak kekal atau hanya berlaku pada masa-masa tertentu saja. Kerana itulah kebahagiaan itu dikatakan tidak hakiki. Sekarang setelah diberikan definisi bahagia, dibahaskan pula tentang kebahagiaan dunia.

Dalam kebahagiaan dunia, perkara atau benda luaran itu membantu juga. Hal-hal pendidikan juga membantu ke arah kebahagiaan itu walaupun ianya tidak hakiki. Kebahagiaan dunia itu tidak hakiki, tidak kekal atau terbatal, maksudnya kebahagiaan itu boleh terbatal disebabkan keadaan-keadaan tertentu. Sewaktu merasa bahagia, dapat dirasakan yang bahagia itu akan kekal. Oleh kerana bahagia itu bukan hakiki, kadang-kadang dibatalkan oleh keadaan-keadaan mendatang. Apabila ada keadaan-keadaan yang mendatang, bahagia pun terbatal. Itulah kebahagian untuk dunia, ianya tidak kekal

Perkara ini perlu difahami betul-betul kerana ianya agak susah kalau hendak dihuraikan semula. lni belum memperkatakan tentang bahagia bersama Tuhan. Di sini, kita dibawa berfikir dulu. Biar perkara ini dipandang secara luas dulu. Di hujungnya nanti baru difokuskan kepada kebahagiaan bersama Tuhan. Sebab ini akan membantu. Sebenarnya, apabila bahagia dikatakan bersifat rohaniah, ia ada hubungan dengan keyakinan sekalipun ianya hal dunia. Keyakinan itulah yang boleh membawa bahagia walaupun tidak kekal atau tidak lama masanya.

Ada beberapa contoh yang boleh diberikan untuk menunjukkan bahawa bahagia itu ada hubungan dengan keyakinan. Katakan terdapat dua orang yang sama-sama sakit. Kalau dengan sakit itu boleh dapat bahagia, kedua-duanya rasa bahagia. Kalau sakit itu tidak membawa bahagia, kedua-duanya tidak bahagia. Tetapi oleh kerana bahagia itu ada kaitan dengan keyakinan, maka yang satu dapat bahagia dan yang satu dapat sakit.

Untuk memperjelaskan lagi, diandaikan kedua-dua orang sakit itu adalah perempuan. Yang pertama sakit hendak bersalin dan yang kedua mengidap sakit barah. Kedua-duanya sakit. Yang mengidap sakit barah tidak merasa bahagia kerana penyakitnya tidak ada harapan. Penyakit barah itu memang tidak ada harapan, hanya menunggu maut sahaja. Sedangkan bagi perempuan yang hendak bersalin, kadang-kadang walaupun sakit tetapi oleh kerana ada harapan hendak mendapat cahaya mata, hilang rasa sakit. Dia dapat rasa bahagia sebab sakit itu adalah kerana hendak mendapat cahayamata dan cahayamata itu adalah rahmat. Dia rasa yakin bahawa sakit itu kerana hendak mendapat anak. Di sini dapat dilihat, untuk kebahagiaan dunia, apabila dua orang mendapat sakit, yang satu bahagia dan yang satu lagi tidak bahagia. Kenapa?

Inilah yang menunjukkan kedua-duanya mempunyai keyakinan yang berlainan. Bagi perempuan yang pertama, rasa bahagia sebab hendak mendapat anak. Lebih-lebih lagi anak sulung pula, mesti terfikirkan bagaimana agaknya rupa anak yang bakal lahir. Pada masa itu, sakit pun tidak terasa sangat. Sakit tetap sakit tetapi ia tidak menghilangkan bahagia. Bagi yang menanggung sakit barah, apalah harapan yang ada bila menghidap penyakit ini? Jadi dia mendapat dua kali sakit. Pertama, sakit barah iaitu fizikalnya sakit. Kedua, sakit jiwa kerana tertanya-tanya bila akan mati. Itu yang membuat dia sakit jiwa.

Itulah contoh dan bukti bahawa bahagia itu ada hubungkait dengan keyakinan. Itu hanya masih bersifat dunia. Anak itu juga kebahagiaan dunia. Apabila lahir anak, bertambah rasa seronok dan hilang rasa sakit. Tetapi apabila anak membesar dan dewasa, dia menjadi derhaka. Pada masa itu rasa bahagia dibatalkan oleh keadaan. Ibubapa hilang rasa bahagia kerana kecewa. Rupa-rupanya, anak yang pada mulanya membawa bahagia tetapi sekarang menghancurkan hati mereka. Dalam hal ini, mereka pernah juga mendapat rasa bahagia sebab ada keyakinan bahawa anak itu membawa bahagia tetapi dalam jangkamasa panjang, rasa bahagia itu terbatal. Ini menunjukkan bahagia dunia itu tidak hakiki.

Setelah ada pengalaman pertama, barulah terfikir bahawa apabila mendapat anak tidak semestinya merasa bahagia. Itu telah dibuktikan setelah mendapat anak pertama. Waktu tidak ada pengalaman dulu, ada keyakinan bahawa anak akan membawa bahagia. Tetapi bila hendak melahirkan anak yang kedua, ada rasa mungkin bahagia mungkin tidak. Kerana setelah melalui pengalaman pertama, keyakinan sudah tinggal separuh. Walaupun waktu itu belum mendapat anak yang kedua dan rasa sakitnya sama dengan kali pertama

Waktu mendapat anak pertama disangkakan bahagia. Apabila anak itu derhaka, rasa bahagia hanya tinggal separuh. Keyakinan pun tinggal separuh bercampur pula dengan bimbang. Pada masa itu mula terfikir kalau-kalau ianya terjadi lagi. Bimbang kalau anak kedua pun akan menjadi jahat juga. Waktu itu rasa cukuplah dengan dua orang anak. Sudah tidak sanggup lagi.

Jadi, begitulah kalau orang bahagia dengan dunia. Ia tidak kekal. Kiaskanlah kebahagiaan dengan benda atau perkara yang lain seperti suami, isteri, harta benda, rumah dan lain-lain. Kebahagiaan itu bersifat kejiwaan atau perasaan. Hal-hal dunia ini akan mengalami beberapa keadaan, maka kebahagian dunia itu pun akan terubah oleh keadaan.

Sebagai contoh, seorang lelaki yang sudah bertunang berjanji akan berkahwin dengan tunangannya. Waktu di dalam alam pertunangan, segalanya indah. Apabila sudah berkahwin, keindahan itu sedikit demi sedikit terhakis. Jelas menunjukkan di sini bahawa kebahagiaan dunia itu terubah oleh keadaan.

Kebahagiaan itu sangat berhubungkait dengan keyakinan. Contohnya, lelaki tadi menerima panggilan daripada tunangnya yang hendak berjumpa di satu tempat pada pukul 2 pagi. Kemudian ada satu lagi panggilan dari orang lain, mahu berjumpa dengannya di tempat dan waktu yang sama. Pada waktu itu rasa bahagia tidak sama terhadap kedua-duanya. Dengan tunangnya, walaupun belum berjumpa tetapi sudah rasa bahagia sehingga hilang rasa mengantuk. Walaupun hendak berjumpa pukul 2 pagi, dia tidak terasa susah kerana ada keyakinan. Yang hendak ditemui adalah tunangnya yang akan dikahwini. Apabila keyakinannya indah, dia rasa bahagia. Ada harapan di situ. Walaupun harapan itu tidak sampai ke mana dan tidak hakiki.

Tetapi dengan orang yang kedua, rasa susah hendak pergi berjumpa dengannya kerana tidak kenal dan tidak yakin. Rasa ragu-ragu, bimbang kalau ditipu. Tertanya-tanya kenapa hendak berjumpa? Kalau keyakinan tidak ada, hati rasa bergelombang.

Add new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Filtered HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type='1 A I'> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id='jump-*'> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.

PingBack