Berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara Yaqazah: Satu Jawapan Terhadap Artikel Saudara Alitantawi dari Al-Ahkam.Net

Submitted by admin on Sat, 2012-08-25 14:07

Sumber:
- http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/112
- http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/111
- http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/110

Catatan: artikel-artikel tersebut diarsipkan di sini mengingat semua blog di multiply akan dihapus.
=====

Berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara Yaqazah: Satu Jawapan Terhadap Artikel Saudara Alitantawi dari Al-Ahkam.Net (dinukilkan dari weblog saudara MABEN)

Bismillah., dimulai karangan ini dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah s.w.t., Tuhan sekelian alam, segala puji dan syukur buatNya yang saban detik dan waktu, memberi nikmat-nikmat kepada para hambaNya, dan seterusnya memberi hidayah kepada mereka dalam berjalan di atas jalan kebenaranNya.

Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala manusia, yang mana siang dan malamnya antara kehambaan kepada Allah s.w.t. dan khidmat kepada umat Baginda s.a.w.. Selawat dan salam buat Baginda s.a.w. yang mulia serta para ahlul-bait dan para sahabat Baginda s.a.w., seterusnya kepada seluruh mereka yang berjalan di atas jalan Baginda s.a.w..

Amma ba’du…

Risalah ini ditulis sebagai menjawab beberapa persoalan sesetengah golongan manusia yang terkeliru lagi mengelirukan tentang suatu isu yang sebenarnya sudah lama diperbincangkan oleh para ulama’ (boleh jadi ada yang tidak mengetahui tentang perbincangan-perbincangan tersebut), iaitu berkenaan dengan “bertemu Nabi Muhammad s.a.w. secara yaqazah (atau dalam keadaan jaga, bukan dalam keadaan tidur)”.

Risalah ini bersifat umum dari sudut manfaatnya, sesuai untuk mereka yang ingin mengambil manfaat darinya, dan dari sudut yang lain, bersifat khusus untuk menjawab semula suatu artikel yang memperkatakan tentangnya tanpa sandaran ilmu yang kuat, iaitu merujuk kepada artikel: “Yaqazah dan Tarekat, Tidak Dapat Dipisahkan” yang dinukilkan dari nukilan saudara Maben (http://maben.multiply.com/journal/item/38 ) bersanadkan kepada al-akham.net (yang merupakan karangan saudara alitantawi, dan semoga Allah s.w.t. memberi kefahaman dan ilmu kepada mereka dan kita semua, amin…).

Bentuk risalah ini, akan disusun mengikut persoalan-persoalan yang ditimbulkan dalam artikel tersebut, bagi menyelami contoh kaedah perbahasan sesetengah orang yang “suka” mengingkari atau mempersoalkan tentang tarikat dan kesufian, samada secara adil dan ilmiah ataupun secara sambil lewa.

Saudara alitantawi menulis:

“Amat menghairankan apabila kita masih lagi mendengar timbulnya ajaran yang masih menyeru ke arah ‘Yaqazah’.

Apakah yang dimaksudkan oleh saudara pengarang mengenai istilah: “menyeru ke arah Yaqazah?. Adakah maksud yang disampaikan ialah, beliau cuba mengatakan bahawa, golongan tarekat sering menyeru ke arah Yaqazah.

Perkataan menyeru bermaksud: “seseorang mengajak orang lain kepadanya”, sedangkan isu bertemu dengan Nabi s.a.w. di sisi ahli tarekat yang muktabar adalah, suatu kemuliaan kepada seseorang, bukan sesuatu yang perlu dicapai oleh setiap orang.

Adakah saudara penulis tersebut tidak memahami apa itu Yaqazah di sisi golongan tarekat atau tidak memahami pendirian dan ajaran golongan pengamal tarekat itu sendiri. Para ulama’ sufi dan mursyid tarekat tidak pernah mengajar anak-anak murid beramal untuk mencapai sesuatu maqam atau keramat, apataha lagi “menyeru ke arah Yaqazah seperti yang dimaksudkan oleh saudara pengarang.

Wallahu a’lam…

Saudara penulis menulis lagi:

“Amat menghairankan apabila ada syeikh-syeikh tarekat tertentu (tidak semuanya) yang masih menanamkan kepercayaan karut dalam hati anak-anak murid mereka bahawa kononnya syeikh tarekat atau pengasas tarekat mereka pernah bertemu Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’.

Bagi beliau (semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada beliau dan kita semua), konsep bertemu dengan Rasulullah s.a.w. secara yaqazah ialah suatu kepercayaan yang karut! Insya Allah, kita akan ukur konsep ini dengan neraca Sunnah dan perbahasan-perbahasan para ulama’ mengenainya.

Sedikit ta’liq (ulasan) yang ingin dibentangkan di sini buat permulaan, perkataan seorang ulama’ mengenai sikap mereka yang mengingkari masalah berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah ini.

Imam Al-Allamah An-Nafrawi r.h.l. berkata (di dalam bukunya (Al-Fawakih Ad-Diwani, jilid 3, m/s 360):

“Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi s.a.w. itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja?... Adapun mereka yang mengingkarinya, maka hukumnya Haram, kerana kalaulah dia mengingkarinya kerana dia seorang yang mengingkari tentang keramat (perkara-perkara yang luar biasa dari adat) para wali (kekasih Allah s.w.t.), maka untuk berbahas dengan mereka sememangnya sia-sia, kerana dia sendiri telahpun mendustai apa yang dithabitkan di dalam sunnah (samada mengenai karamat para wali atau mengenai bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah)…”

Insya Allah, setelah ini kita akan kupaskan mengenai dalil-dalil golongan yang mempercayai tentang “bertemu Nabi s.a.w. secara jaga” ini. Apa yang pasti, di sisi Imam An-Nafrawi Al-Maliki, hukum mengingkari perkara tersebut adalah Haram.

Seterusnya, saudara penulis menulis lagi:

“ Amat menyedihkan dan membingungkan apabila pengikut mereka menerima bulat-bulat kepercayaan ini tanpa persoalan dan yang lebih mengejutkan dan mendukacitakan apabila ada golongan yang digelar ustaz dan ustazah yang mempercayai ‘yaqazah’!”

Sememangnya ada golongan ustaz dan ustazah yang mempercayai konsep bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut, kerana mereka ada ilmu mengenainya, sedangkan kita yang sibuk membangkang dan mempertikaikannya inilah sebenarnya yang belum cukup ilmu mengenainya. Benarlah kata seorang yang bijaksana: “manusia itu musuh kepada apa yang tidak diketahui olehnya”.

Istilah menerima bulat-bulat tidak timbul, kerana ramai yang menerimanya mengetahui dalilnya dari sumber Sunnah dan sandaran-sandaran agama Islam yang murni. Imam Al-Asqolani, Imam As-Suyuti, Imam An-Nawawi, Imam Al-Ghazali dan ramai lagi para ulama’ menerima konsep: “bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah” tersebut, bahkan menurut Imam An-Nafrawi: “seluruh al-huffaz bersepakat mengenainya”.

Dikhuatiri, orang-orang yang mengingkarinyalah yang mengingkarinya “bulat-bulat” tanpa mengkaji mengenainya terlebih dahulu, lantaran itu berasa dukacita apabila orang yang digelar ustaz dan ustazah mempercayainya. Sepatutunya, dia perlu berdukacita terhadap dirinya sendiri, kerana sudahlah tidak mengetahui sandaran mereka yang mempercayainya, lantaran itu tergesa-gesa dalam mempertikaikan mengenainya “bulat-bulat”.

BAGIAN KEDUA:

Saudara penulis seterusnya menulis lagi:

“Apa itu ‘yaqazah’? Ia adalah satu kejadian ajaib yang menemukan antara syeikh tarekat tertentu dan juga Rasulullah SAW setelah bertahun-tahun malah beratus tahun selepas kewafatan Baginda.

Barangkali, seseorang yang jahil dalam ilmu mantiq akan terpukau dengan takrif “yaqazah” yang diberikan oleh saudara penulis tersebut. Tetapi, kalau kita nilai balik takrif tersebut, ianya tidak bersifat jami’ dan mani’ menurut ilmu pentakrifan sesuatu.

Ini kerana, tidak ada satupun dari kalangan para ulama’ dan ahli sufi yang mengatakan bahawa, yaqazah (atau bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah) tersebut hanya dikhususkan kepada para sheikh tarekat semata-mata. Silalah kiranya, saudara penulis ataupun para penggemar si penulis tersebut mengkaji buku-buku yang menulis mengenainya, hatta dari kalangan ulama’ sufi sendiri, nescaya saudara tidak akan mendapati satupun tulisan mereka yang mengkhususkan perkara tersebut berlaku kepada para sheikh tarekat semata-mata.

Bahkan, seluruh ulama’ menerangkan bahawa, ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang dimuliakan oleh Allah s.w.t., dari kalangan umat Islam, bukan sekadar kepada para sheikh tarekat sahaja.

Hal ini jelas merupakan suatu tuduhan tidak berasas dari saudara pengarang, ataupun suatu fitnah terhadap golongan tarekat dan sufi itu sendiri.

Sesiapa sahaja yang diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t. untuk bertemu dengan Nabi s.a.w. secara jaga, maka perkara tersebut akan berlaku kepadanya, samada dia seorang ahli tarekat mahupun tidak, kerana tidak ada sesiapa yang berhak mengkhususkan nikmat pemberian Allah s.w.t., apatah lagi berhak menuduh sesuatu golongan mengkhususkannya kepada mereka sahaja, tanpa sesuatu pihak yang lain.

BAGIAN KETIGA:

Penulis seterusnya menulis:

“Bertemu maksudnya bertemu secara sedar dan jaga dan bukannya bertemu di dalam mimpi. Contohnya saya boleh bertemu dengan anda di mana-mana kedai makan di sekitar Kuala Lumpur. Begitulah yang didakwa oleh beberapa tarekat tertentu. Mereka mendakwa syeikh mereka pernah bertemu Rasulullah SAW secara sedar walaupun baginda telah wafat beratus tahun dahulu. Inilah ‘yaqazah’.”

Apa yang dilihat dari segi kefahaman beliau tentang “bertemu Rasulullah s.a.w. secara yaqazah juga agak mengelirukan.

Beliau memberi contoh bahawa, bertemu dengan Rasulullah s.a.w. seperti seseorang bertemu dengannya di sekitar Kuala Lumpur…Subhanallah…

Setakat ini, belum pernah seseorang berkata, “saya bertemu Rasulullah s.a.w. di sekitar Kuala Lumpur”. Boleh jadi, kekeliruan beliau tentang “konsep bertemu Rasulullah s.a.w. secara yaqazah ini menyebabkan beliau akhirnya mempersoalkan mengenainya dengan pelbagai kekeliruan-kekeliruan yang bakal dibentangkan selepas ini insya Allah.

Marilah kita nukilkan ulasan-ulasan para ulama’ mengenai perihal “bertemu atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut, kerana kita sememangnya kekurangan ilmu mengenainya. Jadi, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu sebelum sewenang-wenangnya mempertikaikan sesuatu.

Imam Al-Nafrawi Al-Maliki dalam bukunya (yang disebutkan sebelum ini) menyebut:

“Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi s.a.w. itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja? Sebahagian ulama’ berpegang dengan pendapat pertama (di mana seseorang yang bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah melihat tubuh Baginda s.a.w. secara hakiki). Sebahagian ulama’ pula berpegang dengan pendapat yang kedua (iaitu: melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dalam bentuk imej, gambaran seperti pantulan di cermin dan sebagainya, Wallahu a’lam), di antara mereka (yang berpegang dengan pendapat kedua adalah): Imam Al-Ghazali, Imam Al-Qarafi, Imam Al-Yafi’e dan sebagainya.

“Golongan yang berpegang dengan pendapat yang petama berhujah bahawa: Nabi Muhammad s.a.w. umpama cahaya hidayah dan mentari keilmuan, boleh dilihat dari jauh seperti orang boleh melihat matahari dan cahaya dari jauh… Tubuh Baginda s.a.w. tidak meninggalkan kubur, tetapi seseorang yang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dibuka oleh Allah s.w.t. hijab (jarak) antaranya dengan Rasulullah s.a.w. lantaran itu, dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. samada dia berada di timur mahupun barat…

“Ada juga yang berpendapat, seseorang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dengan mata hati, bukan dengan mata kepala, kerana boleh jadi juga, orang yang buta juga diberi anugerah melihat Baginda s.a.w. secara jaga, dengan mata hatinya…

“Ibn Abi Hamzah dan sebahagian daripada mereka (para ulama’) menceritakan bahawa mereka pernah melihat Nabi s.a.w. secara jaga…”

Demikianlah perkataan Imam An-Nafrawi mengenai keadaan melihat Nabi s.a.w. secara jaga (yaqazah) tersebut, di mana hijab jarak dibuka oleh Allah s.w.t. kepada seseorang, lantaran itu dia melihat tubuh Nabi s.a.w. dari jauh, yang mana jasad Nabi s.a.w. tidakpun meninggalkan maqam Baginda s.a.w., bukan seperti sangkaan penulis dan mereka yang berfikiran seperti beliau, di mana seseorang berjumpa Nabi s.a.w. di Kuala Lumpur dan sebagainya.

Hal ini jelas beliau masih belum faham mengenai keadaan bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah, boleh jadi keran belum berpengalaman. Tetapi, rujuklah ulasan-ulasan para ulama’ mengenainya terlebih dahulu, sebelum membuat andaian yang pelbagai, yang hanya berdasarkan prasangka dan khayalan semata-mata.

Tidak sama melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dengan bertemu penulis di sekitar Kuala Lumpur…Maka fahamilah.

Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah menerangkan juga dengan maksud yang lebih kurang sama:

“Boleh jadi, melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dan hakiki itu, ialah melihat Nabi s.a.w. di tempat Baginda s.a.w. di Raudhah Baginda s.a.w. yang mulia, di mana yang melihatnya, melihat Baginda s.a.w. dalam bentuk imej, gambaran dalam alam gambaran, yang merupakan natijah dari limpahan cinta terhadap Baginda s.a.w. dan sentiasa memikirkan tentang Nabi s.a.w…”

Keadaan ini tidak ditolak oleh syariat, jadi tidak layak seseorang mempertikaikannya, kerana Allah s.w.t. Maha Berkuasa dalam mebuka hijab jarak antara seseorang dengan seseorang yang lain di alam yaqazah jika Dia menginginkannya.

Contoh tersebut (pembukaan hijab jarak) juga dinukilkan dalam suatu peristiwa yang berlaku terhadap Saidina Umar r.a., di mana beliau melihat keadaan kumpulan tentera yang dihantar olehnya sedangkan beliau berada jauh di tempat lain (di Parsi) dari kumpulan tersebut, lantaran itu melaungkan perkataan “Ya Sariyah” dan suara itu didengari oleh kumpulan tentera yang berada jauh dari Saidina Umar tersebut. (riwayat At-Tabrani dalam tarikh beliau ( jilid 2 m/s 553), Ibn Hajar dalam buku Al-Ishobah jilid 3 m/s 6 dan Ibn Abdil Bar dalam buku Al-Isti’ab jilid 4 m/s 1605)

Jadi, dari sudut akal mahupun syariat, hal tersebut tidak bertentangan. Jadi, orang-orang yang mengingkarinya samada jahil mahupun sengaja tidak mahu menerimanya, boleh jadi hasad kerana tidak pernah mengalaminya dan sebagainya.

Lihatlah ulasan Sheikh Ibn Al-Haj (dalam buku Al-Madkhal, jilid3 m/s 194):

“Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit untuk diperbahaskan (sukar untuk diperbahaskan). Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walaubagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

Oleh yang demikian, pertemuan dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah menurut para ulama’ besar adalah bertemuan yang tidak dibatasi oleh jarak, kerana ianya menjangkaui sempadan tersebut, dengan kuasa dan izin Allah s.w.t., dan tidak ada penafian mengenainya kepada Saidina Umar r.a. pun pernah mengalami perihal demikian.

Penulis seterusnya berbicara:

“Adakah ini perkara yang sememangnya ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih?”

Adakah persoalan beliau ini berbentuk mengkritik mereka yang mempercayainya, atau sekadar bertanya untuk menghilangkan kejahilan?

Kalau sekadar bertanya untuk menghilangkan kejahilan, maka tidak perlulah mengatakan bahawa: “kepercayaan mengenai melihat dan bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah sebagai kepercayaan yang karut”, kerana kalau rasa diri jahil, bertanyalah terlebih dahulu, bukan mempertikaikan terlebih dahulu.

Walau apapun niat persoalan tersebut, marilah kita nukilkan hadis yang sahih mengenainya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud:

“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah, kerana sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku”

Hadis riwayat Al-Bukhari di dalam kitab Sahih beliau (6/2567), dan Abu Daud dalam Sunan (4/305).

Adakah ini bukan hadis sahih?

Marilah sama-sama kita lihat perbahasan ulama’ mengenainya:

Berkata Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Musnid Sidi Dr. Sheikh Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki (Az-Zakho’ir Al-Muhammadiyah m/s 147):

Tentang hadis tersebut (sahih Al-Bukhari yang dinukilkan sebelum ini), para ulama’ mengatakan bahawa: yaqazah itu bermaksud, di dunia secara qat’ie walaupun ketika hendak mati (sakaratul maut).

Al-Allamah Al-Mufti Dr. Ali Jum’ah juga menjelaskan perihal hadis tersebut:

“…Hadis tersebut menceritakan tentang kebolehan (keharusan) seseorang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah di semasa hidupnya di dunia…” (Al-Bayan m/s161)

Imam Al-Nafrawi juga menggunakan hadis yang sama sebagai sandaran bahawa, melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah hukumnya MUBAH (harus atau boleh) dari sudut syariat, dan sesiapa yang mengingkarinya maka hukumnya HARAM.

Bahkan, jumhur ulama’ menjelaskan keharusan melihat Nabi s.a.w. di dunia ini secara yaqazah terutamanya mereka yang pernah berjumpa dan melihat Nabi s.a.w. di dalam mimpi berdasarkan hadis Sahih Al-Bukhari tersebut. Bahkan, menurut An-Nafrawi juga, ianya (keharusan hukum tersebut) disepakati oleh para huffaz, berdasarkan hadis tersebut.

Begitulah yang dijelaskan juga oleh para ulama’ yang lain seperti As-Suyuti dan sebagainya, mengenai perkara tersebut.

Para ulama’ turut membidas ta’wil sebahagian oranag yang mengatakan bahawa, maksud hadis Al-Bukhari tersebut ialah, melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah di akhirat kelak.

Al-Allamah Syed Muhammad Alawi Al-Maliki mengatakan bahawa:

“Adapun bagi pihak yang mentakwilkannya sebagai melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah di akhirat, maka jawapan para ulama’ terhadap mereka: Sesungguhnya di akhirat, setiap orang yang beriman akan melihat Baginda s.a.w. samada yang pernah mimpi berjumpanya di dunia mahupun yang tidak pernah bermimpi berjumpa dengan Nabi s.a.w, seperti yang dijelaskan dalam banyak hadis-hadis sahih yang lain”

Hal ini menyebabkan, tiada pengkhususan antara mereka yang pernah melihat Nabi s.a.w. di dalam mimpi mahupun tidak, sedangkan di dalam hadis tersebut menceritakan tentang pengkhususan terhadap mereka yang pernah bermimpi bertemu Nabi s.a.w. dengan mereka yang tidak pernah bermimpi berjumpa Nabi s.a.w., iaitu:

“…dia akan melihatku secara yaqazah…”

Oleh yang demikian, Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah (Mufti Mesir) menegaskan bahawa:

“Orang yang mengatakan (mengkhususkan) bahawa, maksud yaqazah dalam hadis tersebut merupakan yaqazah di hari akhirat, amat tersasar dari maksud sebenar kerana dua perkara:

Pertama: Umat Nabi s.a.w. akan melihat Nabi s.a.w. di Hari Kiamat, samada mereka yang pernah melihat Nabi s.a.w. dalam mimpi ataupun tidak, (jadi pengkhususan tersebut kepada mereka yang pernah mimpi berjumpa Nabi s.a.w. dalam hadis tersebut sia-sia sedangkan hadis Nabi s.a.w. tidak begitu).

Kedua: Tidak ada lafaz taqyiid (yang mengikat) makna yaqazah dalam hadis tersebut dengan ikatan “hari Kiamat dan sebagainya”. Maka, pengkhususan (yaqazah hanya di hari akhirat) tanpa yang mengkhususkannya (di dalam hadis tersebut), dihukum sebagai sebaliknya (iaitu yaqazah itu di dunia).”

Rujuk buku Al-Bayan karangan beliau (m/s 161)

Jadi, dari banyak wujuh (sudut), takwilan mereka yang mengatakan bahawa, makna: “…dia akan melihatku secara yaqazah” ialah melihat secara yaqazah di akhirat adalah tertolak dengan hujah-hujah berikut:

Hadis tersebut mengkhususkan “melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah” bagi mereka yang pernah melihat Nabi s.a.w. di dalam mimpi. Jika sekiranya yaqazah bererti, melihat Nabi s.a.w. di akhirat, maka pengkhususan kepada mereka yang pernah melihat Nabi s.a.w. di dalam mimpi itu batil, kerana di akhirat, seluruh umat Islam yang beriman akan melihat Nabi s.a.w. samada pernah bermimpi Nabi s.a.w. ataupun tidak, berdasarkan hadis-hadis yang lain. Maka, jelaslah bahawa, yaqazah yang dimaksudkan ialah di dunia.”

Kedua: Takwil tersebut tidak jelas kerana tidak ada “taqyid” dalam hadis itu yang mengikat perkataa yaqazah dengan bermaksud melihat Nabi s.a.w. di akhirat. Maka, jika tiada taqyiid, pengkhususan yaqazah dengan yaqazah di akhirat menjadi batal.

Ketiga: Perkataan yang digunakan oleh Nabi s.a.w. ialah “huruf sin” pada “sayaroni” bererti akan melihatKu. Huruf sin dalam kaedah Bahasa Arab yang membawa maksud: “akan”, merujuk kepada suatu tempoh masa yang dekat, sedangkan hari akhirat dibandingkan dengan tempoh di dunia, amat jauh. Jadi, makna “sayaroni” (akan melihatku) secara yaqazah di dunia lebih menepati maksud sebenar berbanding di akhirat.

Keempat: Kalaulah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis tersebut, bahawa seseorang akan melihatku secara yaqazah di akhirat, maka Nabi s.a.w. tidak perlu menggunakan istilah yaqazah (secara jaga), kerana lawan yaqazah ialah bermimpi atau tidur, sedangkan di akhirat tidak ada yang tidur atau bermimpi.

Cukuplah kalau Nabi s.a.w. bermaksud: “akan melihatku di akhirat”, jika ingin memberi maksud, melihat Nabi s.a.w. di akhirat. Tetapi, Nabi s.a.w menggunakan lafaz yaqazah (secara jaga) menunjukkan apa yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. ialah, melihatnya secara yaqazah (jaga) di dunia, kerana di dunialah adanya mimpi dan adanya yaqazah, sedangkan di Akhirat tiada lagi mimpi atau tidur, jadi tidak perlu menggunakan istilah “akan melihatku secara yaqazah” jika melihat tersebut di akhirat, kerana semua orang tahu, melihat Nabi s.a.w. di akhirat tersebut sememangnya secara yaqazah. Jadi, perkataan yaqazah dalam hadis itu sendiri menunjukkan apa yang Nabi s.a.w. maksudkan ialah, sesiapa yang pernah bermimpi melihat Nabi s.a.w. di dalam mimpi, bererti akan melihat Baginda s.a.w. secara jaga.

Pada hakikatnya, golongan yang cuba mentakwilkan hadis ini dengan hari Akhirat tidak berasas sama sekali dan tertolak dari pelbagai sudut yang disebutkan sebelum ini.

Apa yang jelas, ada hadis sahih yang menceritakan tentang “melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut, dan jawapan kami kepada penulis, ya…memang ada hadis SAHIH tentang perkara tersebut.

Penulis seterusnya menulis:

“ Adakah perkara ini merupakan perkara yang telah diterima oleh para ulama sejak dahulu hingga kini? Adakah anda boleh mempercayai cerita ini? “

Memang terlalu ramai ulama’ yang menulis mengenainya, dan perkara tersebut diterima oleh ramai para ulama’ sejak dahulu hingga kini. Cuma, golongan yang mengingkarinya sahaja yang syaz (terasing atau sedikit).

Imam As-Suyuti mengatakan (dalam buku At-Tanwir tersebut m/s 10 percetakan Dar Jawamik Al-Kalim):

“Telah banyak yang mempersoalkan mengenai sebahagian ahli rabbani yang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah ini. Adapun suatu golongan yang mengingkarinya pada zaman ini merupakan mereka yang tidak mempunyai latar belakang ilmu (yang cukup dalam bidang agama), sehingga menyebabkan mereka mengingkarinya dan berasa pelik mengenainya sehingga mendakwa bahawa ianya mustahil. Kini saya mengarang penulisan ini mengenai perbahasan tersebut yang dinamakan sebagai “Tanwir Al-Halak fi Imkan Ru’yatu An-Nabi wa Al-Malak”.

Telahpun tertulis di dalam risalah tersebut pelbagai dalil-dalil dan bukti-bukti tentang keharusan (boleh) melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dan mendengar suara Baginda s.a.w. dan para malaikat.

Banyak lagi para ulama’ dari dahulu sehingga hari ini menulis mengenai perkara tersebut, seperti Imam Ibn Hajar dalam syarah beliau terhadap Sahih Al-Bukhari itu sendiri (Fathul Bari) dalam tajuk berkenaan, Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim, Imam Ibn Hajar Al-Haithami dalam buku fatwa beliau, dan begitu juga dengan ramai para ulama’ masa kini yang turut menulis mengenainya seperti Mufti Mesir sendiri, Dr. Ali Jum’ah, Sheikh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki, Dr. Umar Abdullah Kamil, dan sebagainya.

Jadi, sudah tentu kami yang tahu mengenainya boleh mempercayai cerita tentang seseorang bertemu Nabi s.a.w., kerana para ulama’ pun ramai yang membincangkannya dan mengakuinya. Kalau tidak tahu, lebih baik bertanya dari mengkritik atau mempertikaikan, apatah lagi mengenai perkara yang mempunyai sandarannya dari Islam.

Add new comment

Filtered HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type='1 A I'> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id='jump-*'> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.

PingBack