Artikel: Akibat Gagal Membangun Insaniah

Submitted by admin on Sun, 2006-12-31 11:56


28/06/2006

Manusia sememangnya inginkan perubahan dari jahat kepada baik dan lebih baik. Dari bodoh kepada cerdik dan lebih cerdik. Dari jahil kepada berilmu dan menguasai lebih banyak ilmu. Dari mundur kepada maju dan lebih maju. Kalau seorang pemimpin pula suka kalau pengikut mentaatinya, menyayangi serta menghormatinya. Begitu juga ibu bapa juga suka kalau anak-anak mengikut kata. Sejuk hati kalau anak-anak mentaati mereka. Tidak kurang juga guru merasa bahagia jika anak-anak muridnya hormat dan sayang kepadanya.

Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Di mana-mana sahaja di seluruh dunia hari ini pemimpin sudah tidak ditaati malah dibenci, ibu bapa tidak dihormati malah ada anak yang membunuh ibu bapanya. Murid-murid atau pelajar-pelajar lebih-lebih lagi sudah tidak ada perasaan sayang kepada guru, mereka tidak merasakan guru itu berjasa kepada mereka. Guru juga tidak sayang pada murid, mereka menjalankan tugas mengajar hanya sebagai pekerja yang makan gaji.

Jadi di seluruh dunia hari ini sudah tidak ada kebahagiaan, keharmonian dan ketenangan. Para pemimpin, guru atau ibu bapa merasa buntu malah kecewa apabila masalah cuba diselesaikan, bukan sahaja masalah tersebut tidak selesai tetapi timbul pula masalah baru. Walaupun berbagai-bagai kajian dibuat, berbagai-bagai ilmu diajarkan, berbagai-bagai teori dipersembahkan, berbagai-bagai alat kemudahan hidup yang canggih-canggih dicipta, berbagai-bagai kaedah dicuba, namun jalan penyelesaiannya tidak juga ditemui.

Semua orang bingung, bagaimana kepakaran yang dimiliki oleh cerdik pandai tidak dapat menyelesaikan masalah yang semakin kronik. Padahal sama ada pemimpin, guru atau ibu bapa semuanya suka jika mereka dihormati, ditaati, disayangi, disanjungi dan dikasihi oleh orang-orang bawahannya. Mengapa perkara ini berlaku? Mengapa mereka tidak boleh menyelesaikan masalah ini walaupun kepakaran, kehebatan, pangkat, jawatan dan kekuasaan berada di tangan?

Kita lihat cerdik pandai hari ini berjaya memiliki kepakaran dalam berbagai bidang ilmu, tetapi mereka tidak berjaya menahan pergaduhan dan pembunuhan daripada terjadi. Mereka berjaya membina bangunan-bangunan tinggi mencakar langit dan membangunkan kemajuan, tetapi tidak berjaya menahan dari melakukan pengkhianatan dan penipuan.

Mengapa? Mengapa mereka hanya berjaya membangunkan tamadun material dan fizikal, tapi tamadun insaniah dan rohaniahnya punah-ranah? Walaupun berbagai-bagai keselesaan hidup yang luar biasa ditemui tapi dalam masa yang sama budi bahasa sudah tiada. Manusia satu sama lain curiga-mencurigai. Alat-alat perhubungan yang canggih telah dicipta, hingga dunia semakin dekat dan kecil, semua golongan boleh bertemu di mana-mana sahaja di dalam negara bahkan di dunia dalam masa yang singkat. Tapi dengan kemudahan bertemu ini kemungkaran dan maksiat pun cepat merebak. Penyakit-penyakit yang menakutkan seperti AIDS, menyerang dan membunuh manusia dengan dahsyatnya.

Jadi kita lihat cerdik pandai hanya mampu membangunkan tamadun yang tinggi tetapi gagal membentuk manusia yang berakhlak tinggi. Apalah ertinya kita kagum dengan lahirnya graduan-graduan yang cemerlang, tapi pandai pula merompak dan menyamun. Pelajar perempuan sudah berjaya setanding dengan lelaki tapi hilang malunya dan hancur maruahnya. Mereka tidak segan silu berkepit berpimpin tangan bahkan sampai mengajak lelaki masuk ke bilik. Bagi mereka, itu sesuatu perkara yang biasa dan tidak ada salahnya.

Ahli-ahli ilmuan sungguh ramai. Cerdik pandai tidak terbilang. Tapi di waktu inilah manusia khianat dan curang, hingga susah hendak dipercaya pada seseorang. Kemana pergi pun sudah tidak selamat. Rompak-merompak berlaku setiap hari. Rogol, pukul, zina, bunuh sudah jadi budaya hidup manusia. Ditambah lagi dengan kata- mengata, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah di kalangan sesama manusia lumrah berlaku. Demonstrasi berlaku di sana sini. Ada kalanya sehingga menumpahkan darah. Akibatnya dendam kesumat pun membara di dalam hati menjadi mazmumah yang sukar dibendung lagi. Dendam yang membara itu sekali-sekala menyala membakar apa sahaja yang ada, memusnah harta benda. Ia sudah menjadi bom jangka yang jika meledak akan memusnahkan apa sahaja.

Begitulah kroniknya masalah yang di hadapi kini. Walau memiliki akal yang bergeliga dan kemajuan yang luar biasa tapi hati atau jiwa manusia sudah mati atau buta. Inilah akibatnya apabila manusia hanya membangunkan tamadun lahiriah tapi mengabaikan batiniahnya. Batiniah atau hati manusia inilah yang paling utama dibangunkan atau dihidupkan kerana di sinilah sumber kebahagiaan manusia. Hatilah yang akan merasa susah atau senang, bahagia atau derita. Justeru kalau hati sudah penuh bersarang dengan berbagai-bagai jenis penyakit, maka manusia akan hilang kebahagiaan, walaupun lahirnya dia dikelilingi kemewahan dan kesenangan.

Hati yang sakit ini adalah disebabkan ia sudah tidak kenal lagi Tuhan penciptanya. Lantaran itulah manusia hanya kagum dengan bangunan tinggi pencakar langit tapi tidak pernah mengkagumi Pencipta yang mengurniakan akal yang canggih itu. Usahkan hendak berterima kasih kepada Pencipta akal, mengenal-Nya pun tidak. Manusia sudah tidak tahu bagaimana hendak mengenal Tuhan, apalagi hendak rasa berterima kasih kepada-Nya. Rasa bertuhan langsung tidak wujud lagi di dalam hati manusia. Kalaupun percaya adanya Tuhan, tapi tidak kenal siapa sebenarnya Tuhan, apa peranan-Nya dan mengapa manusia perlu kepada-Nya. Selama ini manusia hanya tahu bahawa Tuhan itu hanya mengazab dan menghukum. Kalau berbuat jahat akan dihumban ke Neraka. Setakat itulah sahaja pengenalan manusia terhadap Tuhan. Sebab itu tidak hairanlah mengapa manusia tidak pernah jatuh hati kepada Tuhan. Jauh sekali rasa indah bersama Tuhan.

Sebenarnya inilah punca utama mengapa manusia dibiarkan dengan berbagai masalah yang kronik itu. Tetapi untuk mengeluarkan manusia dari masalah ini, manusia perlu menerima hakikat diri yang lemah. Janganlah kita mendabik dada dengan penuh kesombongan kerana merasakan boleh menyelesaikan apa sahaja masalah. Tapi marilah kembali merujuk kepada Tuhan yang menciptakan segala masalah dan menciptakan pula jalan penyelesaiannya. Tuhan tidak pernah melakukan sesuatu yang sia-sia. Apa sahaja yang berlaku ke atas manusia, ada hikmahnya. Kalaupun nampak seperti menyusahkan kita tetapi hakikatnya itulah kasih sayang Tuhan kepada manusia. Setiap apa yang dilakukan-Nya ada pendidikan dan pengajaran. Tuhan mahu kita kembali kepada-Nya dengan merasakan Dialah Pelindung, Penjaga, Pengawal, Pembela dan Penyelamat. Rasa-rasa inilah yang akan mendorong kita supaya cinta kepada-Nya dan takut untuk membuat sesuatu yang menjadi kemurkaan-Nya. Apa sahaja yang dilarang, kita takut untuk melanggar perintah-Nya. Itulah rasa bertuhan yang perlu disuburkan di dalam diri manusia agar sifat-sifat kehambaan dapat dikekalkan setiap masa. Bila rasa bertuhan subur di dalam jiwa, itulah pengawal dan penjaga dirinya setiap masa dan walau di mana jua ia berada. Bukan sahaja takut untuk melakukan kemungkaran bahkan cemas kalau-kalau Tuhan murka kepada-Nya.

Add new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Filtered HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type='1 A I'> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id='jump-*'> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.

PingBack