Anak Kunci Kepada Pertolongan Dan Bantuan Dari Allah

Submitted by admin on Sun, 2006-12-31 11:56

16/12/2006

Allah SWT berfirman :
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka. (Ar- Rad: 11)

Semua makhluk memang sifatnya sentiasa dan mudah berubah, termasuk manusia. Pada diri manusia pula ada dua juzuk yang sifatnya benar-benar berubah dan membawa kepada perubahan iaitu hati (roh) dan akal (mental).

Anggota lain pula walaupun sifatnya berubah juga tetapi tidak berlaku perubahan mutlak, umpamanya perut boleh buncit atau kempis. Otot-otot boleh menjadi keras, pejal atau lembik. Tetapi perubahan itu tidak menukar perut atau otot-otot kepada sesuatu benda lain.

Allah SWT menjanjikan perubahan kepada mana-mana kaum yang terlebih dulu mengubah apa yang ada dalam diri kaum itu iaitu hati (roh) . Allah SWT menjanjikan kejayaan dan keagungan kepada umat Islam apabila bersungguh- sungguh membuat perubahan pada hati (roh).

Maka perubahan yang terpokok, utama dan yang terpenting ialah membaiki diri iaitu hati. Membaiki diri atau hati itu ialah agar bertambah hampir atau dekat dengan Allah SWT dan sekaligus menjauhi atau memusnahkan segala kekejian (mazmumah) diri hingga benar-benar terbakar hangus dan musnah hingga tiada lagi saki-bakinya yang tertinggal pada diri seseorang.

Untuk membakar hangus segala mazmumah itulah maka perlu memiliki rasa kehambaan yang sangat kuat dan mendalam. Di antaranya rasa takut, malu, cemas, bimbang, hina diri, lemah, dhaif, serba kekurangan, tiada upaya, gementar, gerun, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cuai dan lalai, banyak cacat cela dan sebagainya.

Kesan dari rasa kehambaan inilah hati (roh) akan terhindar dari rasa ketuanan seperti sombong, riyak, sumah, pemarah, hasad, tamak, bakhil, ego, dendam dan lain-lain. Oleh itu tajam dan suburnya rasa kehambaan itu perlu dimiliki setiap masa dan di mana jua.

Serentak dengan itu mesti pula memiliki rasa berTuhan yang benar-benar dihayati dan sebati, terbenam di hati nurani. Rasa itu perlu melekat dan mencengkam di hati. Rasa-rasa itu seperti merasai Allah SWT Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mengetahui, Maha Mendengar, Maha Melihat dan sebagainya.

Manifestasi dari rasa berTuhan ini maka subur segala sifat terpuji atau mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, ikhlas, pemurah, kasih sayang, muraqabah, jiwanya sentiasa hidup dan bersemangat, pengorbanannya luar biasa, kegigihannya luar biasa, kebaikan dan kebajikannya banyak.

Hati terlalu sensitif dengan Tuhan. Rasa berTuhan ini menjadi benteng kukuh daripada dosa, maksiat dan mungkar. Dosa dibencinya, terbuat dosa resah jiwanya dan segera memohon ampun. Biar bagaimana keadaan mereka, tidak lalai atau hanyut oleh harta benda, pangkat, nama dan lain-lain. Mereka tiada sebarang kepentingan diri. Seluruh hidupnya dan apa yang dimiliki hanya untuk Allah SWT.

Rasa kehambaan dan berTuhan inilah anak kunci kepada datangnya perubahan yang Allah SWT janjikan itu .Inilah anak kunci yang mengundang kepada pertolongan dan bantuan dari Allah SWT . Di sinilah terletaknya keunikan dan keistimewaan perjuangan Islam yang hak, di sepanjang sejarah. Bilangannya sedikit, kelengkapannya kurang namun memperolehi kemenangan. Kemenangan pula bukan berlaku setelah pihak musuh punah ranah, bukan setelah runtuh musnah segala bangunan, bukan setelah ramainya orang mati termasuk orang yang tidak berdosa. Kemenangan diperolehi setelah bersungguh-sungguh membaiki diri hingga Allah SWT redha kepada mereka dan Allah SWT redha kepada segala urusan mereka.

Siang hari para pejuang Islam yang hak bekerja bak singa, malamnya merintih sayu umpama rahib. Peribadinya menjadi contoh ikutan, rumahtangganya menjadi pusat motivasi yang menyuburkan jiwa dan akal. Harta bendanya hanya singgah di tangan dan tidak sempat masuk ke hati. Sepanjang zaman, siapa pun dan di mana sahaja di bumi Allah SWT ini kekuatan asas bagi pejuang Islam tidak pernah dan tidak akan berubah. Membaiki diri, keimanan, ketaqwaan, perpaduan dan kepimpinan adalah paling utama, terpokok dan terpenting untuk memperolehi kemenangan dan mencapai keagungan umat.

Maka perkara-perkara tersebut wajib dimiliki tanpa berdolak dalik. Manakala kekuatan tambahan pula boleh berubah mengikut keadaan, tempat, zaman dan keperluan. Sifat kekuatan tambahan itu hanya akan menjadi punca kekuatan setelah memiliki kekuatan asas. Tanpa kekuatan asas, pelengkap atau alat ini tidak berfungsi sebagai menambah kekuatan. Malah selain tidak berfungsi kadang-kadang membawa kesan negatif yang menyusahkan.

Lihat sahaja realiti umat Islam merata dunia. Saban masa sibuk dengan urusan ekonomi, politik, kekayaan, harta benda, kemajuan, pembangunan, ilmu pengetahuan atau penguasaan teknologi. Bukan sahaja tidak menjadi alat untuk membawa Islam kepada keagungan, sebaliknya menjadi punca derhaka kepada Allah SWT, lalai dari agama serta lupa akhirat.

Ditambah pula dengan tercetusnya berbagai krisis, penzaliman, penindasan, jatuh menjatuh, bermusuhan malah peperangan. Lebih-lebih lagi amat dikesalkan dan menyedihkan apabila selama ini aspek kekuatan asas sangat terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan. Malah ada yang sampai ke tahap memperleceh, meremehkan justeru itu lantas menolaknya. Islam adalah agama Allah SWT, milik Allah SWT.

Orang yang benar-benar tepat landasan perjuangannya maka berhak pula dibela, dibantu dan dimenangkan oleh Allah SWT. Allah SWT berperanan bagi pihak pejuang kebenaran dalam menumpaskan musuh. Kerana memusuhi kebenaran bererti memusuhi Allah SWT. Bersungguh-sungguhlah memiliki kekuatan asas serta yakin akan janji Allah SWT, nescaya akan dapat melihat bagaimana Allah SWT memenangkan pejuang kebenaran.

Add new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Filtered HTML

  • Allowed HTML tags: <a href hreflang> <em> <strong> <cite> <blockquote cite> <code> <ul type> <ol start type='1 A I'> <li> <dl> <dt> <dd> <h2 id='jump-*'> <h3 id> <h4 id> <h5 id> <h6 id>
  • Lines and paragraphs break automatically.
  • Web page addresses and email addresses turn into links automatically.

PingBack