warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

24: Nikmat Hakiki Nikmah Hakiki




24: Nikmat Hakiki Nikmah Hakiki




Umumnya apabila manusia itu diberi kesihatan, wang ringgit, kekayaan, pangkat, nama, jawatan, kuasa, rupa paras yang cantik dan segak dan sebagainya, maka ini dikatakan nikmat (ne’mat). Apabila manusia itu menghadapi sakit, miskin, hina, rupa paras yang buruk dan sebagainya maka ini dikatakan kesusahan atau nikmah. Lazimnya nikmat itu dianggap positif dan kesusahan atau nikmah itu dianggap negatif. Nikmat itu disukai dan sangat dicari dan kesusahan atau nikmah itu dibenci dan kalau boleh mahu sahaja dielakkan.

Persoalan yang hendak kita timbulkan di sini betulkah nikmat itu benar-benar suatu nikmat? Dan betulkah kesusahan atau nikmah itu benar-benar suatu kesusahan atau nikmah hingga kita sangat benci padanya? Kalau kita teliti dan amati betul-betul, pada nikmat itu ada susahnya dan pada kesusahan itu ada pula nikmatnya. Kalau tidak dikendali dan ditangani dengan betul maka nikmat itu bila-bila masa boleh bertukar menjadi kesusahan. Kesusahan pula kalau ditangani dengan betul bila-bila masa boleh bertukar menjadi suatu rahmat dan nikmat.

Jadi jelaslah kepada kita bahawa nikmat lahiriah atau nikmat luaran itu tidak semestinya berakhir sebagai nikmat yang hakiki. Begitu juga kesusahan lahiriah itu tidak semestinya berakhir sebagai kesusahan yang hakiki. Nikmat lahiriah boleh bertukar menjadi kesusahan. Kesusahan lahiriah pula boleh bertukar menjadi nikmat.

Setiap ujian itu sama ada ujian nikmat mahupun ujian kesusahan ada tuntutan-tuntutannya. Kalau kita diberi nikmat maka hendaklah kita bersyukur. Kalau kita ditimpa kesusahan, maka hendaklah kita bersabar. Oleh yang demikian, bagaimana kita menerima dan mengendalikan nikmat atau kesusahan itu yang lebih penting. Nikmat atau kesusahan itu sendiri jatuh nombor dua. Kalau kita tidak boleh bersyukur maka nikmat itu akan bertukar menjadi kesusahan dan kerugian bagi kita. Begitu juga dengan ujian kesusahan. Kalau kita boleh bersabar maka kesabaran kita itu berpahala dan menjadi nikmat yang hakiki bagi kita.

Oleh yang demikian, kita perlu ubah ‘mind set’ kita yang cenderung untuk menganggap nikmat itu satu kebaikan dan kesusahan itu satu keburukan. Kita mesti positifkan keduaduanya. Kita mesti menganggap kedua-duanya baik belaka. Kita mesti murnikan hati kita terhadap Tuhan dan berbaik sangka dengan-Nya. Memang hubungan Allah dengan hamba- Nya itu positif kesemuanya dan tidak ada yang negatif. Allah tidak bersikap negatif terhadap hamba-hamba-Nya.

Bila kita menerima nikmat, maka anggaplah ia satu nikmat yang Allah pilih untuk memberi secara terang-terangan. Bersyukurlah kita dan berusahalah menggunakan nikmat tersebut bagi mendapat keredhaan Allah. Bila kita menerima kesusahan pula, maka anggaplah ia satu nikmat yang Allah pilih untuk memberi secara tersembunyi. Maka hendaklah kita bersabar. Sesungguhnya bersyukur itu lebih sukar dan payah dari bersabar kerana dalam bersyukur kita perlu berusaha dan bersusah payah menggunakan nikmat yang Allah beri itu ke jalan Allah. Dalam bersabar, kita hanya perlu menahan perasaan dan berserah kepada Allah. Selain itu ganjaran bagi orang yang bersabar juga besar iaitu ‘bighairi hisab’ (masuk Syurga tanpa Hisab). Anggaplah di dalam hidup ini tidak ada kesusahan. Yang ada hanya nikmat yang Allah beri secara terang-terangan dan nikmat Allah beri secara yang tersembunyi iaitu ujian kesusahan.

Di samping itu, ujian kesusahan mempunyai nilai tarbiah dan didikan yang tinggi. Ia jalan terbaik untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah. Kalau kita diuji dengan kesusahan, itu tanda Allah sendiri mahu mendidik kita. Masakan kita mahu menolak didikan dari Tuhan. Para nabi dan para rasul pun Allah sendiri yang didik dengan ujianujian yang lebih berat lagi.

Ujian kesusahan itu ibarat satu pukulan untuk kita. Tapi ia bukan sebarang pukulan. Ia pukulan dari Tuhan. Tidak seperti kita memukul anak, tujuan kita memukul anak ialah supaya anak itu merasa sakit dan serik untuk berbuat nakal lagi. Tapi bila Allah memukul kita, tanda Dia hendak memberi kita hadiah dan rahmat. Tujuannya supaya dengan pukulan Allah itu kita jadi insaf, rendah diri dan tawadhuk. Bila nanti rahmat dan hadiah Allah tiba, hati kita sudah bersedia untuk bersyukur dan berterima kasih kepadanya. Terselamat kita dari merasa angkuh, megah dan sombong kerana rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan itu.

Kalau kita mahu bertuhankan Allah, maka perlulah kita menerima nikmat dan kesusahan dari Allah dengan cara yang Allah kehendaki. Allah ada berfirman di dalam sebuah Hadis Qudsi yang maksudnya lebih kurang:

Kalau Aku beri kamu nikmat, kamu tidak mahu bersyukur. Dan kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar. Maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Aku ini dan carilah Tuhan yang lain selain Aku.”

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer