warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

09 Mengembara Ke Alam Jin






09 Mengembara Ke Alam Jin


Jin memang wujud. Orang Islam wajib percaya akan wujudnya makhluk jin kerana ia disebut di dalam Al Quran. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.” (Az-Zariat: 56)

Tuhan ada berfirman bahawa alam yang dicipta-Nya ada dua bentuk. Ada alam ghaib dan ada alam nyata atau alam syahadah. Alam nyata ialah alam yang mata lahir boleh nampak. Alam ghaib, mata lahir tidak boleh nampak tetapi dapat dirasakan oleh hati.

Merasakan wujudnya alam ghaib dengan hati ada dua peringkat. Pertama, terasa akan adanya alam ghaib itu. Iaitu yakin dan percaya tentang alam ghaib semata-mata berdasarkan rasa sahaja. Tidaklah sampai dapat melihat macam mata lahir. Peringkat kedua ialah hati boleh melihat macam mana mata lahir melihat. Bukan setakat rasa sahaja tetapi mata bathin dapat melihat seperti mana mata lahir melihat. Yakni betul-betul nampak.

Bila dikatakan alam ghaib, ia tidak termasuk Tuhan. Tuhan juga ghaib tetapi Tuhan bukan alam. Tuhan itu tersendiri. Maha Suci Tuhan dari menyerupai alam. Alam adalah apa sahaja selain Tuhan. Alam adalah ciptaan Tuhan dan dinamakan makhluk. Tuhan itu Pencipta atau Khaliq. Ghaibnya Tuhan tidak sama dengan ghaibnya alam.

Alam ghaib ini ada beberapa kategori. Yang tertinggi ialah alam malaikat. Kedua alam jin dan ketiga alam ruh muqaddasah. Malaikat diceritakan dalam Quran dan Hadis. Malaikat lebih dahulu diciptakan dari jin. Ia dijadikan dari cahaya manakala jin dicipta dari api. Oleh itu malaikat lebih ringan ciptaannya dari jin kerana cahaya lebih ringan dari api. Sebab itu juga bilangan malaikat lebih ramai dari jin. Nisbahnya pada setiap sepuluh malaikat satu jin. Juga disebabkan malaikat dicipta dari cahaya, perjalanannya lebih laju dari jin.

Jin pula lebih dahulu dicipta dari manusia. Kalau jin dijadikan daripada api, manusia dijadikan daripada tanah. Sebab itu manusia berbentuk jisim yang pejal, lebih lambat pergerakannya. Sebab itu juga jin lebih ramai bilangannya daripada manusia. Nisbahnya setiap sepuluh jin satu manusia. Malaikat lebih ramai dari jin dan jin pula lebih ramai dari manusia dengan nisbah 10:1.

Ruh muqaddasah pula sebenarnya adalah manusia. Muqaddasah itu maksudnya suci. Roh muqaddasah ialah ruh yang suci. Ruh muqaddasah atau ruh yang suci ini peranannya lebih kuat dari peranan jasad. Ruh muqaddasah ini dia mutassarif atau aktif, lebih aktif dari fizikalnya.

Ruh muqaddasah ini pula, ada ruh orang yang masih hidup dan ada ruh orang yang sudah mati. Sebab itu, tidak hairanlah orang yang kasyaf kadang-kadang dapat melihat orang yang masih hidup di suatu tempat sedangkan fizikalnya yang sebenar berada di tempat lain. Ada juga orang kasyaf yang melihat ruh muqaddasah orang yang sudah mati. Oleh kerana umumnya ruh muqaddasah tidak boleh dilihat oleh mata kasar, maka ia dikatakan ghaib juga.

Jadi, ruh muqaddasah ini, walaupun fizikalnya hidup atau mati, ruhnya sangat berperanan. Namun, ruh muqaddasah orang yang sudah mati lebih berperanan dari ruh muqaddasah orang yang masih hidup. Ini kerana orang yang masih hidup masih terikat dengan jasad lahir. Kalaupun ruhnya boleh keluar secara halus, secara mata tidak boleh lihat, dia tetap masih terhubung dengan jasad lahirnya. Ini tidak berlaku kepada ruh orang yang sudah mati. Itu sebab ruh muqaddasah orang yang sudah mati lebih laju dan lebih aktif dari ruh muqaddasah orang yang masih hidup. Contohnya, kalau ada dua orang wali, yang kedua-duanya sudah menjadi ruh muqaddasah , kalau seorang masih hidup dan seorang lagi sudah mati, ruh wali yang sudah mati itu akan lebih berperanan, lebih aktif dan lebih laju bekerja dari ruh wali yang masih hidup.

Berbalik kepada kisah jin, dia ada dua golongan. Ada jin Islam dan ada jin kafir. Jin ini pula macam manusia juga. Dia ada bermacam-macam jenis, bangsa dan etnik. Tabiat bangsa dan etnik jin inipun tidak sama di antara satu dengan lain.

Seperti juga manusia yang banyak bangsa dan etnik, tabiat dan ragam semulajadi antara etnik tidak sama. Bangsa Cina dan Melayu ada watak-wataknya yang tersendiri. Orang Putih ada wataknya yang tersendiri pula. Bahkan etnik dalam satu rumpun bangsa pun wataknya tidak sama. Orang Banjar dan orang Jawa, wataknya berbeza. Malahan orang Melayu yang berlainan negeri pun berbeza wataknya. Orang Melayu Johor dan Melayu Kelantan lain. Mereka ini sedikit-sedikit ada perbezaan watak. Begitu juga jin. Ada yang kasar dan ada yang lembut sedikit. Ada yang garang dan ada yang sederhana. Jin itu watak semula jadinya jahat. Betapalah jenis yang kasar, dia lagi jahat. Sebab itu dikatakan, sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kalau kita pilih seorang manusia yang paling jahat, kalau dia jin, dia adalah yang paling baik.

Namun demikian, jahatnya jin itu ada juga batasnya. Tidak ada jin yang sebegitu jahat sampai mengaku dirinya Tuhan seperti Firaun dan Namrud. Tidak ada pula jin yang sebegitu baik sampai mengatasi baiknya Rasulullah dan para Nabi. Para Nabi dan Rasul tidak diangkat dari kalangan jin. Umumnya jin lebih jahat dari manusia tetapi tidak ada yang ekstrem jahatnya seperti Firaun dan Namrud dan tidak ada yang ekstrem baiknya seperti Rasulullah SAW. Hanya manusia yang ada baiknya secara ekstrem dan jahat secara ekstrem.

Jin dapat melihat Iblis dan bergaul bersama-samanya di alam ghaib. Jin Islam bergaul dengan jin kafir. Mereka makan bersama, bekerja bersama, berniaga bersama, ada yang kahwin antara satu sama lain, sama-sama duduk dalam satu pejabat, sama-sama jadi kerani dan sebaginya. Sebab itu jin Islam lebih banyak dirosakkan oleh jin-jin kafir. Sebab mereka bergaul bersama dan mereka sama jenis. Mereka mudah terpengaruh.

Macam kita manusia juga, kalau bergaul dengan bangsa jahat seperti orang Barat dan Yahudi, habislah kita jadi Barat dan Yahudi. Semuanya boleh bertukar jadi Barat dan Yahudi. Yang tidak boleh bertukar hanyalah warna kulit dan bentuk hidung. Ini kena buat plastic surgery.

Jin kurang berkesan dalam usaha merosakkan iman manusia berbanding iman sesama jin. Ini kerana manusia dan jin berlainan jenis, dan manusia tidak boleh nampak dan tidak boleh bergaul dengan mereka. Itupun banyak manusia yang kafir, banyak yang zalim dan yang fasik. Betapalah kalau jin dan manusia sama-sama boleh bergaul.

Bila jin menjadi kafir, dia dipanggil syaitan. Syaitan itu maksudnya merasuk. Kerja jin kafir atau syaitan ialah merasuk dan menyesatkan orang. Jin Islam tidak boleh dikatakan syaitan.

Kehidupan jin betul-betul macam manusia. Ada kerajaannya, ada masyarakat, ada pejabatnya, ada mahkamahnya, ada nikah kahwin. Tempat tinggal jin pelik dan aneh. Ada yang tinggal di gunung-gunung, hutan-hutan, laut, kawasan sungai dan hulu-hulu sungai. Ada juga jenis jin yang bergaul dengan manusia.

Jin yang duduk di sesebuah negara, biasanya ikut bahasa manusia setempat. Kalau di Tanah Arab, jin berbahasa Arab, kalau di Tanah Melayu, jin berbahasa Melayu. Dia tidak tahu bahasa Arab. Kalau jin yang duduk di Negara China maka bahasanya bahasa Cinalah. Mereka pun belajar dan berguru dengan manusia.

Rupa asal jin sangat hodoh dan buruk. Ia menakutkan. Kalau manusia terlihat jin ini hidupnya jadi huru hara dan ketakutan. Manusia tidak akan aman. Dengan rahmat Tuhan, alam jin dihijab dari pandangan manusia. Tetapi alam manusia tidak dihijab dari pandangan jin. Sehodoh-hodoh manusia adalah secantik-cantik jin.

Walaupun rupa asal jin itu hodoh tapi dia boleh menyerupai berbagai rupa. Dia boleh merupa benda seperti kain, beg, pokok, binatang dan juga manusia, tetapi paling banyak dia menyerupai binatang. Ini termasuklah ular, kala jengking, lipan dan jenis-jenis binatang lain yang berbisa. Kalau dia menyerupai binatang seperti ini, rupanya lebih aneh dan lebih hebat dari yang biasa. Kalau dia dibunuh ketika dia sedang menyerupai binatang, dia akan mati.

Sebab itu Tuhan ajar kita, kalau jumpa binatang berbisa di tengah jalan atau di dalam rumah, kena berhati-hati. Jangan terus bunuh walaupun dalam Islam hukumnya sunat. Halau dua tiga kali dahulu. Kalau dia tidak lari baru dibunuh. Takut89 takut ianya jin yang sedang merupa. Kalau kita terus bunuh dan dia sebenarnya jin yang sedang merupa, mungkin keluarganya akan marah dan akan bertindak terhadap kita.

Ramai orang yang dirasuk dan diganggu oleh jin disebabkan mereka ada buat silap dengan jin. Kalau setelah dihalau dua tiga kali tetap juga tidak pergi maka jelas itu bukan jin. Boleh kita bunuh.

Ada cerita dalam kitab, seorang soleh telah membunuh seekor ular. Maka pada malamnya, dia ditangkap dan dibawa oleh jin ke negeri jin. Di negeri jin itu berjalan hukum Islam. Hakim jin itu pun Islam.

Maka orang soleh dan keluarga jin yang dibunuh oleh orang soleh tadi dibawa ke mahkamah. Bila perbicaraan bermula maka menangislah keluarga jin sambil berkata kenapa ahli keluarga mereka di bunuh. Bila hakim jin bertanya kepada orang soleh tersebut mengapa dia bunuh ular itu, dia menjawab kerana dalam ajaran Islam, sunat hukumnya saya membunuh ular dan binatang-binatang yang berbisa. “Saya buat atas arahan Tuhan dan saya dapat pahala. Yang salah adalah jin itu. Kenapa dia merupa ular. Salah dialah. Saya kena bunuh ular kerana itu sunat hukumnya.”

Hakim jin menghukum bahawa yang salah dalam kes ini bukan manusia tetapi pihak jin. Dia buang kes. Hakim arahkan polis jin supaya menghantar balik orang soleh itu kembali ke alam manusia. Kalau dia bukan orang soleh dan tidak boleh menjawab sudah tentu dia kena hukum. Orang soleh itulah yang menulis kisah ini dalam kitab. Hujah ini hujah yang kuat.

Jangka hayat jin sangat lama berbanding jangka hayat manusia yang lebih kurang 63 tahun. Jin boleh hidup sampai 1500 tahun hingga 2000 tahun. Ada jin yang hidup di zaman Rasulullah SAW yang masih hidup pada hari ini.

Makanan jin adalah wap dari tulang dan tulang som-som binatang. Sebab itulah dalam syariat Islam, makruh kita memakan tulang dan tulang som-som. Ada lagi cerita tentang jin dalam kitab. Sesetengah orang soleh boleh menundukkan jin, mengguna dan memperalatkan mereka. Kita tahu, dalam sejarah, ada sahabat yang hilang unta di padang pasir. Di padang pasir banyak rijalul ghaib. Mereka berkata; “Ya Rijalul ghaib, kembalikan untaku yang hilang.” Maka unta itu dikembalikan. Ini tawassul namanya.

Pernah Rasulullah SAW berjalan-jalan dengan beberapa orang sahabat dan singgah di suatu kampung jin. Rasulullah beritahu para sahabat supaya tunggu dan jangan ikut, sebab dia mahu masuk ke kampung jin untuk mengajar. Cerita ini masyhur dalam sejarah. Para sahabat hanya melihat asap. Sebab adakalanya jin menyerupai asap kerana dia berasal dari api. Tetapi Rasulullah melihat betul-betul jin itu dan mengajar mereka pula.

Ada cerita tentang Nabi Sulaiman di dalam Quran yang hendak membawa istana Balqis dari Yaman ke Palestin yang jauhnya beribu-ribu batu. Antara mukjizat Nabi Sulaiman diarahnya jin untuk membawa istana tersebut. Jin pun bagi tahu dia akan bawa istana itu kepada Nabi Sulaiman selama mana Nabi Sulaiman berubah tempat. Tidakkah itu hebat.

Namun ada lagi yang lebih hebat. Seorang wali Allah yang bernama Asif Barhaya yang turut berada dalam majlis itu berkata saya boleh pindahkan istana Balqis ke hadapan tuan dalam sekelip mata. Maka tercabar jin. Dia hendak ambil hati Nabi Sulaiman dan hendak tunjuk bahawa dia gagah. Tetapi ada manusia bertaraf wali yang mencabar dia.

Rupanya di sini kalau ruh muqaddasah bekerja, jin pun boleh kalah. Rasulullah boleh tundukkan jin. Para wali juga dengan karomah mereka boleh menundukkan jin dengan kekuatan diri mereka sendiri. Tetapi kalau ada murid yang boleh nampak jin atau boleh gunakan jin, dan merasakan itu adalah kerana berkat gurunya, maka dia akan selamat. Yang tidak selamat biasanya orang yang kasyaf, nampak jin dan boleh guna jin tapi tidak ada guru atau ada guru tetapi hatinya telah berubah. Dia rasa bukan berkat gurunya lagi tetapi dia rasa dirinya sudah jadi wali, sudah ada karomah sendiri. Itu yang rosak. Orang yang boleh arahkan jin dan nampak jin dengan berkat gurunya, kalau dia berhadapan dengan jin yang garang sangat atau degil sangat, maka biasanya ruh muqaddasah gurunya turut hadir atau dia jual nama gurunya.

Begitulah rahsia jin. Jin ada disebut dalam Quran dan dalam hadis. Siapa menolak kewujudan jin ertinya dia menolak Al- Quran dan Hadis. Jin macam malaikat juga. Quran kata ada, adalah. Tetapi pelik, tentang malaikat ramai orang terima tetapi tentang jin ramai orang tolak. Yang dikatakan orang Bunian, pontianak, pelesit, toyol, polong, langsui, hantu raya dan berbagai-bagai lagi itu asalnya ialah jin. Oleh kerana etniknya dan perangainya tidak sama maka orang bezakan dengan nama-nama yang berlainan.

Adapun orang yang berhubung dengan jin atas dasar mukjizat dan karomah, maka dia kuat. Jin pun takut dan hormat pada dia. Orang yang boleh berhubung dengan jin atas dasar berkat tuan guru, dia tidak boleh sekali-kali terputus dengan gurunya. Orang yang berusaha untuk berhubung dengan jin, itu dinamakan amalan atau ilmu khadam. Bahaya ilmu dan amalan khadam ini, dia terpaksa tunduk dengan jin. Jin akan bagi syarat buat begitu dan buat begini. Kadangkadang arahan jin itu bertentangan dengan syariat. Ini yang rosak.

Artikel ini adalah bagian dari buku Siraman Minda yang berisi pemikiran dan ilham dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Baru tau nih!!

Baru tau nih!!

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer