warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

09 Antara Amalan Sufi dan Amalan Khadam





09 Antara Amalan Sufi dan Amalan Khadam



Di dunia ini, ramai dapat kita lihat orang yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang luar biasa. Selalunya kelebihan-kelebihan tersebut berpunca dari amalan-amalan tertentu yang mereka amalkan untuk sekian lama. Kelebihan-kelebihan ini termasuklah kebal, tak lut ditetak parang tajam, pandai mengubat penyakit, boleh ghaib, boleh jalan di atas air, boleh terbang di udara, boleh hidup dalam air, boleh hidup dalam tanah, boleh nampak benda-benda yang lazimnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar, boleh tahu siapa yang akan datang ke rumahnya walaupun orang itu belum sampai dan bermacam-macam lagi perkara-perkara pelik yang mencarik adat.

Umumnya, perkara ini boleh berasal dari dua sumber. Pertama melalui ilmu sihir yang diajar oleh syaitan dan kedua dari sumber yang hak dan benar.

Tentang sihir, jelas kedudukannya adalah haram. Sihir itu bersyarikat dan bersekutu dengan syaitan. Ia tersimpang dari jalan kebenaran. Natijah dari sihir hanyalah kesesatan, kerosakan, kemusnahan dan penderitaan bagi umat manusia.

Tentang kelebihan-kelebihan yang berasal dari sumber yang hak pula ada dua bentuk. Ada yang diperolehi dari amalan-amalan sufi dan ada yang diperolehi dari amalan-amalan khadam. Orang yang mengamalkan sufi ialah orang yang membersih dan menyucikan hatinya, yang bermujahadah melawan hawa nafsunya, yang menghampirkan dirinya kepada Tuhan dan yang beramal khusus untuk menuju kepada Tuhan.

Apabila Tuhan sudah kasih dan sayang padanya, maka diberiNya berbagai kemuliaan pada orang itu sama ada dalam bentuk karamah, maunah atau bantuan. Justeru itu kita lihat ramai orang sufi yang sudah sampai ke tahap Muqarrabin (hampir dengan Tuhan) mempuynai berbagai-bagai kelebihan. Mereka tidak memintanya, tidak berusaha untuk mendapatkannya dan bukan itu matlamat amalan mereka. Matlamat mereka hanyalah untuk mendapat Tuhan. Hanya itu satu anugerah dan kemuliaan yang Tuhan beri kepada mereka.

Ini sangat berbeza dengan orang yang mendapat berbagai-bagai kelebihan melalui amalan khadam. Orang ini beramal juga. Orang ini sembahyang juga, puasa juga, zakat juga dan mengerjakan haji juga. Ditambah pula dengan wirid, zikir dan membaca ayat-ayat Quran yang tertentu sehingga beribu atau beratus ribu kali banyaknya.

Orang ini beramal bukan untuk Tuhan atau untuk menuju kepada Tuhan. Dia tidak juga membersih dan membaiki hatinya. Dia tidak bermujahadah melawan hawa nafsunya. Kalaupun dia tidak terlibat dengan maksiat, itu hanya kerana hendak menjaga pantang larang amalannya supaya amalannya itu tidak rosak atau terbatal. Tujuan dia beramal tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mendapatkan kelebihan dari amalan dan ayat-ayat yang dibaca dan diwiridkannya itu. Dia hendakkan kelebihan. Dia bukan hendakkan Tuhan.

Memang setiap ayat Quran itu ada kelebihannya. Setiap ayat itu juga ada khadam yang menjaganya. Orang yang mengamalkan amalan khadam ini sebenarnya meminta kelebihan dari khadam itu sendiri dan bukan dari Tuhan. Kalaupun diberi, khadam itu akan mempermain dan memperhambakan dia. Khadam itu akan merasa dirinya lebih hebat dan lebih berkuasa dari dia. Khadam itu tidak akan menghormati dia. Bagi orang sufi, Tuhan sendiri yang memberikannya kemuliaan, walaupun kemuliaan dan kelebihan itu tidak dipinta. Justeru itu, para khadam sangat hormat dan akur kepada orang sufi seperti ini kerana dia adalah orang Tuhan dan orang kesayangan Tuhan.

Orang yang mengamalkan amalan khadam, dapat atau tidak dapat kelebihan yang dia cari, dikhuatiri dia terlibat dengan amalan syirik sebab dia beramal kerana selain daripada Allah. Yang susahnya, amalannya nampak macam betul. Dia sembahyang, dia puasa, dia bayar zakat dan dia pergi haji. Malahan segala apa yang dia baca semuanya ayat-ayat Quran belaka. Dalam banyak hal, dia pun seperti orang sufi juga.

Cakapnya pun banyak berkisar tentang hal-hal agama. Kecuali bila menyebut tentang Allah atau Tuhan, dia banyak menggunakan istilah-istilah simbolik seperti “Hak Dia”, “Dia punya”, “Bila Dia kehendak, nanti Dia bagilah” atau “Dia lebih tahu”. Jarang dia sebut nama Allah atau nama-nama Tuhan yang lain secara terus. Dia juga jarang bercakap tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan, hanya tentang kelebihan-kelebihan yang ada pada orang ini dan orang itu yang mereka itu pengamal khadam dan telah dapat sedikit sebanyak kelebihan.

Dia banyak kenal orang-orang yang telah pernah mendapat kelebihan melalui amalan khadam ini. Dia kurang kenal para wali dan orang-orang Tuhan. Kalau berhadapan dengan orang Tuhan atau wali Allah pun dia tak kenal.

Akhlaknya seperti orang biasa. Seperti orang awam. Dia tidak terlibat dengan maksiat secara lahir tetapi hati atau jiwanya tidak halus dan tidak seni. Tidak nampak kesan mujahadah atau tarbiah pada dirinya.

Orang yang terlibat dengan amalan khadam ini perlu disedarkan dan diberi ilmu. Mereka perlu kembali kepada Tuhan dan bergantung harap sepenuhnya kepada Tuhan. Mereka perlu berusaha untuk mendapat rahmat, keampunan dan kasih sayang Tuhan. Kelebihan yang mereka cari itu tidak ada makna apa-apa dan tidak ada nilai di sisi Allah. Bukan itu yang dituntut oleh agama. Adalah lebih baik mereka memperbaiki diri, membersihkan diri, membersihkan hati dari segala sifat-sifat yang keji, bermujahadah mendidik hawa nafsu dan menanam segala sifat-sifat kehambaan dalam hati mereka seperti sifat tawadhuk, sabar, tawakal, bergantung harap dengan Allah, rasa hina, rasa bersalah, rasa berdosa, rasa lemah, rasa kerdil dan rasa jahil di hadapan Tuhan Azza wa Jalla. Itulah sebenarnya jalan kebenaran.

Gambar hiasan. Orang yang terlibat dengan amalan khadam ini perlu disedarkan dan diberi ilmu. Mereka perlu kembali kepada Tuhan dan bergantung harap sepenuhnya kepada Tuhan.

=== sekian ===

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer