warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02239 17. Al-Qahtani Menggantikan Nabi Isa AS





02239 17. Al-Qahtani Menggantikan Nabi Isa AS


A. Kata Mumar RH, sabda Nabi SAW,

"Al-Qahtani tidak jauh berbeza daripada Al-Mahdi"

Jelasnya di sini, pengganti Imam Mahdi yang sebenar adalah Nabi Isa AS. Selepas itu, Al-Qahtani pula memerintah dunia ini dengan adil dan saksama. Seperti yang disebutkan dalam bahagian-bahagian sebelum ini, Al-Qahtani itu adalah seorang yang berbangsa Melayu yang sangat bertakwa. Pemerintahannya adalah adil seperti juga pemerintahan Imam Mahdi dan Nabi Isa AS. Tempoh pemerintahannya kira-kira tujuh atau sembilan tahun juga, seperti Imam Mahdi dan selepas kemangkatan beliau, pemimpin lain naik memerintah tetapi umat manusia sudah mula lemah dan terus lemah. Pada masa inilah muncul tanda-tanda kiamat besar yang lain dan munculnya satu demi satu membawa erti bahawa umur dunia ini sudah benar-benar di hujung. Memang sejak hujung pemerintahan Nabi Isa AS lagi tanda-tanda besar kiamat yang lain sudah pun muncul dan ini telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas dunia ini. Selepas itu, hanya amal soleh sahaja yang bernilai kepada manusia.

Demikianlah beberapa buah hadis dan asar yang dapat dimasukkan ke dalam buku ini. Tidak semua hadis dan asar dapat dimasukkan. Jika dimasukkan juga, akan lebih teballah buku ini jadinya. Penerangan di dalamnya juga agak pendek dan ini mungkin akan menyebabkan ramai yang kurang berpuas hati dengannya. Jika ini berlaku, penulis memohon berbanyak-banyak kemaafan. Penulis telah mencuba sedaya upaya untuk memperjelaskan hal itu. Dan tentu jugalah amat sukar untuk penulis membuatkan masyarakat faham dengan sejelas-jelasnya akan suatu hal yang mereka belum pernah dengar dan ketahui sebelum ini. Ilmu yang sepatutnya dituntut bertahun-tahun dan dikaji dengan sabar, tidaklah akan dapat difahami dengan mudah, semata-mata hanya dengan membaca buku yang setebal ini.

Mungkin banyak perkara yang masih tidak terungkap, yang masih lagi menjadi rahsia Tuhan yang tidak dapat dimasukkan di sini. Hal-hal sebegini biasanya dan segala selok-belok yang berkaitan dengannya dengan mudah dapat difahami oleh golongan tasawuf tulen dan kerohanian, bukan tasawuf teori atau tasawuf kajian. Sebab biasanya ahli-ahli tarekat dan sufi memang tahu dan yakin dengan perkara-perkara seperti ini.

Bagi golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah, persoalan Imam Mahdi adalah perkara furuk sahaja, bukannya perkara iktikad atau rukun iman. Ini berlawanan dengan pendapat golongan Wahabi yang menyatakan bahawa soal Imam Mahdi adalah perkara iktikad, dan mereka akan menjatuhkan hukum sesat kepada yang menentang pendapat mereka, atau hukuman-hukuman lain yang dirasakan sesuai dengan keadaan itu. Sepatutnya soal Imam Mahdi ini hendaklah dibicarakan dengan dada yang lapang, hati yang tenang dan ilmu yang jelas, sebab perkara Imam Mahdi yang dihebohkan itu MEMANG bukannya soal kepercayaan yang wajib diyakini. Persoalan ini hanyalah satu bentuk kepercayaan, tetapi bukan akidah.

Kalau kita telitikan baik-baik dari segala segi, memang persoalan Imam Mahdi adalah benar-benar soal furuk akidah, bukan pokok akidah. Sebab itu dalam kelas-kelas tauhid yang membincangkan tentang rukun iman, tidak pernah disebutkan mengenai kepercayaan kepada Imam Mahdi. Rata-rata umat Islam pada hari ini kalau ditanya percaya atau tidak kepada Imam Mahdi, pasti mereka akan serba salah hendak menjawab. Ini berlaku disebabkan ilmu tentang Imam Mahdi tidak pernah diajar dalam pelajaran tauhid, baik di sekolah-sekolah mahupun majlis-majlis pengajian. Persoalan ini hanya berkisar terutamanya di kalangan ulama-ulama muktabar, dan mereka sejak dahulu lagi telah membahaskannya dengan panjang lebar.

Bagi kita yang hidup pada akhir zaman ini, Imam Mahdi adalah khabar gembira yang dijanji-janjikan untuk kita. Kebangkitan semula Islam dari Timur sudah bermula dan sedang menuju ke kemuncak, maka tanda-tanda Imam Mahdi itu hampir menabalkan dirinya sudah amat ketara dan begitu terasa. Mendoakan agar beliau segera dimunculkan untuk membantu kita yang amat lemah ini, adalah perbuatan yang baik sekali. Lagipun kita dituntut mencari siapa dia mujaddid kurun kelima belas Hijriah ini kerana kita masih lagi berada pada awal kurun Hijrah, dan pemimpin berkenaan masih lagi belum memunculkan dirinya. Jika tidak berkeupayaan mencari orangnya, mendoakan agar Allah segera munculkan orang itu adalah memadai juga, terutama bagi kita yang lemah yang hidup pada akhir zaman ini.

Perbuatan sebahagian pihak yang menyatakan salah jika kita menentukan siapa Imam Mahdi itu, maka eloklah berhati-hati dengan kenyataannya itu. Mereka perlu memikirkan semula apakah nas yang tidak membenarkan kita menentukan secara zanni siapa Imam Mahdi itu. Apa alasan yang hendak diberikan? Tunjukkan nasnya sama ada di dalam Al-Quran atau hadis yang menyatakan sesat kepada orang yang menentuka siapa Imam Mahdi itu. Kemudian, fikirkan pula bagaimana pula dengan ulama muktabar zaman dahulu yang telah menetapkan siapa Imam Mahdi itu, yang antaranya adalah Imam As-Suyuti dan Imam Ibnu Hajar RH.

Sepatutnya kita bertolak ansur dalam hal ini. Kita perlu ingat, kalau satu-satu pihak menolak mengenai Imam Mahdi ini, ada ulama-ulama lain yang lebih hebat ilmunya di dunia ini yang menerima. Ulama-ulama muktabar seperti inilah yang banyak diikuti oleh orang ramai, kerana mereka lebih yakin dengan ilmu mereka dan nama besar mereka itu. Sebab itulah mana-mana pihak pun tidak boleh membidaah atau menyesatkan pendapat pihak yang satu lagi. Kita patut hormat-menghormati pendapat orang lain walaupun masing-masing terus berpegang kepada pendapatnya sendiri, yang dirasakannya lebih sesuai dengan dirinya.

Kita sepatutnya mencari ilmu yang dapat menambah keyakinan kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW serta agama Islam yang kita cintai dan sayangi ini. Carilah ilmu yang benar, yang suci dan dapat menambahkan lagi iman kita kepada Allah SWT. Bagaimana hendak mendapatkan ilmu yang sebegini pada zaman yang sebegini? Hal ini sebenarnya lebih banyak bergantung kepada hati kita, tidak lain. Mulakannya dengan mencari takwa kepada Allah, nescaya selepas itu Allah akan berikan kita ilmu yang yakin, yang tidak pernah kita dapati sebelumnya. Lihatlah nas-nas berikut yang menceritakan mengenai hal ini.

Firman Allah SWT yang maksudnya,

"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan mempermudahkan segala urusannya.”(At-Talak : 4)

Firman Allah SWT yang maksudnya,

Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hidup dan diberikan-Nya rezeki dari sumber-sumber yang tidak terduga.”(At-Talak : 2 - 3)

Firman Allah SWT yang maksudnya,

Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan ajarkan kamu.”(Al-Baqarah : 282)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya,

Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia ketahui, maka Allah akan mempusakakannya dengan ilmu yang dia tidak tahu.”

Dengan ilmu yang yakin sahaja kita akan dapat menentukan mana satu yang benar dan mana pula yang salah. Dengan itu insya-Allah kita akan selamat daripada memperkatakan sesuatu yang kita tidak tahu atau sesuatu yang kita tidak yakin atau sesuatu yang kita tidak pernah amalkannya sebelum ini. Dan dengan ilmu yang yakin itulah juga kita akan diselamatkan di dunia ini dan selamat pula di akhirat kelak.

Diharapkan juga melalui susunan hadis-hadis dan asar-asar yang sedemikian, iaitu menurut tempat letaknya yang sebenar, akan banyak membantu pembaca dalam memahami dengan lebih tepat akan kisah-kisah mengenai Imam Mahdi ini, dan dengan pemahaman yang lebih baik lagi, sekali gus dapat memahami kedudukan hadis-hadis yang kelihatan pada zahirnya berlawanan antara satu dengan yang lain, dan kerana hadis-hadis itu yang sebelum ini  berselerakan itulah yang menyebabkan ramai ulama moden dan cendekiawan Islam pada hari ini dengan tergesa-gesa memasukkan hadis-hadis mengenai Imam Mahdi itu ke dalam bakul sampah sahaja kerana mereka tidak memahami erti tersirat di sebalik yang tersuratnya. Itulah harapan besar daripada penulis dan rakan-rakan.

Begitulah secara serba ringkas dicerita dan dihuraikan beberapa perkara mengenai tiga orang tokoh paling penting pada akhir zaman ini iaitu Pemuda Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS. Ketiga-tiga orang tokoh inilah yang akan memeriahkan semula penghayatan Islam di kalangan seluruh umatnya dan meninggikan Islam ke tempat yang layak untuknya. Dari situ dapatlah kita lihat betapa saling berkaitnya antara satu tokoh dengan tokoh yang satu lagi, bagaikan tiga dalam satu dan satu dalam tiga. Tidak akan muncul salah satu daripada mereka melainkan akan muncul ketiga-tiga mereka secara berturut-turut dan akhirnya bersama-sama memerintah seluruh dunia ini. Itulah juga salah satu maksud sebenar buku ini ditulis, selain dari maksud yang telah dijelaskan pada bahagian Muqaddimah. Sesiapa yang ingin percaya, alhamdulillah; yang tidak mahu menerimanya, tidaklah mengapa pada masa ini. Terimalah buku ini sebagai suatu percambahan pendapat yang menjurus ke arah yang positif.

Penulis tidak bermaksud untuk menambahkan retak yang sedia menanti belah, sedia hancur yang menanti luluh dan sedia berpecah menanti berkecai. Bukan itu maksud penulis yang sebenarnya. Dalam era pemikiran terbuka pada hari ini, kita bebas menyatakan pendapat dan pandangan. Lagi pun apa yang ditulis dalam buku ini adalah suatu yang umum, tidak mengkhusus kepada mana-mana pihak. Penulis hanya melontarkan pandangan penulis yang dirasakan relevan dengan keadaan dan suasana pada masa ini. Oleh itu, sebarang kekurangan, kesilapan, kesalahan dan kejanggalan yang terlalu serius, haraplah dimaafkan sahaja. Yang demikian adalah kerana kelemahan iman penulis sendiri dan jauhnya tautan hati dengan Allah SWT.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer