warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02231 9. Rezeki Amat Makmur dan Hidup Sangat Selamat





02231 9. Rezeki Amat Makmur dan Hidup Sangat Selamat


A. Kata sahabat RA,

“Pada zaman al-Mahdi nanti, kambing dan serigala digembala bersekali, kanak-kanak bermain ular dan kala, yang mana ular dan kala itu tidak membahayakan sama sekali. Manusia akan menanam secupak benih dan akan menuai hasilnya sebanyak 700 cupak. Riba, perzinaan dan minuman keras hilang lenyap. Umat manusia berumur panjang, amanah-amanah ditunaikan, perkara-perkara yang keji habis binasa dan orang-orang yang membenci Keluarga Nabi SAW habis binasa.”

B. Kata Abu Nadrah, kami bersama-sama dengan Jabir bin Abdullah RA, lalu dia berkata,

“Akan berlaku (peristiwa) penduduk Iraq tidak menghantar bahan makanan dan dirham mereka.” Kami bertanya, “Dari arah mana?” Jawabnya, “Dari arah bukan Arab, yang menahannya.” Kemudian dia berkata lagi, “Aku syak bahawa penduduk Syam juga tidak menghantar dinar dan mud mereka.” Kami bertanya, “Dari arah mana datangnya?” Jawabnya, “Dari arah Rom.” Kemudian dia diam seketika, lalu berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, “Akan berlaku pada akhir zaman nanti seorang khalifah yang menyebarkan harta benda sebanyak-banyaknya tanpa mengira-ngira.” Aku bertanya kepada Abu Nadrah dan Abul A’ala, “Kami menyangka dia (yang dimaksudkan) itu adalah Umar bin Abdul Aziz.” Jawabnya, “Bukan.”

C. Abu Said Al-Khudri RA menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda,

“Banyak cubaan dan bala bencana akan menimpa umatku daripada pemerintah mereka sebelum dunia ini kiamat. Akan berlaku satu bencana yang sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Terdapat banyak kezaliman iaitu dunia ini dipenuhi kezaliman dan penyelewengan yang akan memusnahkan kebaikan. Orang-orang yang beriman tidak mendapat pembelaan daripada penindasan yang berlaku itu. Pada ketika itulah Allah akan menghantar seorang lelaki dari keturunanku untuk memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan seperti sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Seluruh penduduk langit dan bumi akan meredhai pemerintahannya. Bumi akan mengeluarkan segala isinya, dan langit pula akan menurunkan hujan selebat-lebatnya. Dia akan tinggal bersama-sama mereka selama tujuh atau sembilan tahun. Segala keberkatan dan kemakmuran akan Allah turunkan kepada bumi, sehingga mereka yang masih hidup amat mengharapkan agar orang-orang yang telah mati dapat hidup semula (untuk turut merasai kemakmuran dan keberkatannya pada masa itu).”

Inilah bentuk dunia utopia yang sangat diidam-idamkan oleh filsuf Yunani yang terkenal iaitu Plato. Beliau amat mengimpikan keadaan ini, dan ternyata bahawa apa yang beliau impikan itu rupa-rupanya boleh menjadi kenyataan di tangan seorang pemerintah yang beragama Islam, yang taat beragama, yang sangat soleh dan zuhud iaitu Imam Mahdi. Setiap umat Islam akan hidup dalam penuh sukacita dan bahagia, tidak ada lagi yang perlu dirisaukan dan ditakuti. Mereka sentiasa dilindungi oleh pemimpin mereka yang sangat dikasihi dan gagah perkasa, tangannya amat kuat, keberaniannya memancar dan ketakwaannya terang benderang menembusi hati-hati yang sebelum ini gelap pekat oleh zulmat dosa-dosa yang bertimbun-timbun sehingga jadilah hati itu hati yang suci bersih dan jernih laksana cermin yang baru digilap.

Demikianlah ibarat keadaan umat Islam pada masa itu. Betapa bahagianya mereka kerana mendapat pemimpin yang benar-benar berjiwa pemimpin, bukan sekadar pemimpin yang berjiwa dunia seperti yang ada pada hari ini. Oleh itu, jadilah hidup mereka sangat aman damai dan bahagia sepanjang masa.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer