02170 6. Galian-galian Keluar Berketul-ketul dan Bergumpal-gumpal
A. Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Bumi akan mengeluarkan ketulan-ketulan emas dan perak dari dalam perutnya seperti tiang-tiang.” Sabdanya lagi, “Lalu seorang pencuri datang (dengan tujuan mahu mengambil harta itu) kemudian berkata (kepada dirinya), “Kerana mencuri inilah tanganku akan dipotong.” Pembunuh datang (dengan tujuan mahu mengambil harta itu) kemudian berkata, “Kerana mencuri inilah aku akan dibunuh.” Pemutus tali persaudaraan datang (dengan tujuan mahu mengambil harta itu) kemudian berkata, “Kerana mencuri inilah aku akan memutuskan lagi tali persaudaraanku.” Kemudian ketiga-tiga mereka meninggalkannya dan tidak mengambil sedikit pun daripadanya.” (Ibnu Majah)
Hadis ini juga adalah penjelasan lanjut terhadap ungkapan yang
disebutkan sebelum ini. Hanya bezanya, yang ini adalah hadis (yang
ternyata keluarnya awal daripada ungkapan tabiin) dan yang
terdahulu sebutnya itu adalah asar tabiin sahaja. Dari segi itu,
diharap tidaklah disalah mengerti. Hanya dari segi tajuk-tajuk
dalam buku ini sahaja yang dikatakan terdahulu dan terkemudian,
bukan dari segi masa keluarnya ucapan atau ungkapan itu.
Manusia pada masa itu sudah menjadi terlalu kaya hati dan kaya
harta benda sehingga pencuri pun tidak mahu mengambil harta yang
berlonggok di tengah jalan lalu dikuisnya sahaja dengan kaki dan
ditinggalkan begitu sahaja. Begitu juga setiap orang yang
lalu-lalang di situ, tidak mahu mengambilnya walaupun hanya sebutir
permata yang kecil sahaja. Masing-masing lebih mengutamakan
keperluan orang lain yang (pada pandangan mereka) lebih memerlukan
harta itu daripada mereka. Juga kerana mereka lebih mementingkan
menjaga syariat, walaupun pada perkara yang kecil-kecil sahaja pada
pandangan kita hari ini. Mereka juga menjadi begitu kerana amat
menjaga hubungan hati mereka dengan Allah SWT walaupun pada ketika
tidak ada orang yang melihatnya, dan kesempatan untuk memilikinya
sudah cukup luas dan terbuka.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 2386 reads
Post new comment