warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02141 6. Tahun Keluarnya Ialah Sekitar Tahun 1420 Hijrah





02141 6. Tahun Keluarnya Ialah Sekitar Tahun 1420 Hijrah



A. Kata tabiin RH,

“Umat manusia akan berkumpul (pada musim haji di Makkah dan Mina) pada tahun 1204.”

Ramai pengkaji hadis dan ulama zawahir hampir sepakat mengatakan bahawa asar tabiin ini adalah maudhuk kerana menurut pandangan zahirnya, pada tarikh atau tahun yang disebutkan itu Imam Mahdi tidak juga muncul-muncul dan Panji-panji Hitam yang dikatakan itu tidak juga berkibar. Timur yang dimaksudkan itu juga tidak dapat dipastikan oleh sesiapa pun. Hanya orang-orang Syiah yang sempat berkokok seketika menyatakan bahawa Panji-panji Hitam sudah hampir pasti akan berkibar dari arah timur Iran dan akan menuju ke kota Samarra di utara Iraq untuk membangkitkan Imam Mahdi mereka yang sedang tidur lena di dalam guanya itu.

Sayangnya, Panji-panji Hitam yang dimaksudkan itu tidak juga berkibar sehingga ke hari ini walaupun pemimpin revolusi Republik Islam Iran Syiah itu telah lama meninggal dunia. Peristiwa yang dahulunya amat hangat diperkatakan, kini sudah semakin sejuk dan hampir basi semula. Timur yang dimaksudkan oleh mereka itu juga tidak dapat dipastikan sehingga ke hari ini. Hanya dikatakan timur Iran, tetapi tempatnya entah di mana. Pembawa Panji-panji Hitam itu juga tidak diketahui siapa orangnya. Askar-askarnya juga entah siapa dan di mana. Tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat menjelaskan dengan tepat, termasuk kalangan ulama-ulama Syiah sendiri yang telah mencapai taraf Ayatollah sekalipun.

Kalangan puak Wahabi awal-awal lagi menyatakan asar ini maudhuk dan tidak boleh diterima. Selain Imam Mahdi tidak muncul pada tahun yang disebutkan, rawi-rawinya juga dikatakan adalah orang-orang yang tidak dapat dipercayai riwayat mereka. Mereka begitu lekas menghukumkan asar ini sebagai maudhuk tanpa mengambil kira pandangan pihak lain, termasuk ahli-ahli hadis yang telah mencapai taraf Huffaz dan kalangan ahli tasawuf yang rajin mengkaji hadis-hadis mengenai Imam Mahdi ini.

Sebenarnya jika asar ini dinilai menurut penilaian ahli-ahli sufi, mereka tidak akan mengatakannya sebagai maudhuk. Ada beberapa sebab utama mengapa asar ini dianggap sebagai betul, walaupun tidak berlaku.

Kita memang mengetahui bahawa sumber ilmu bagi ahli-ahli sufi ialah kasyaf, laduni, ilham dan firasat. Selain itu, berita-berita ghaib turut memainkan peranan yang besar. Limpahan ilmu daripada guru mursyidnya juga adalah merupakan sumber utama mereka memperoleh ilmu yang tidak tercapai oleh orang awam. Sebahagian besar mereka memperoleh ilmu melalui pengalaman rohani mereka yang mampu menggapai ilmu yang berada di atas langit sana sama ada di atas langit pertama, di Sidratul Muntaha, di atas Arasy atau di atas Al-Mustawa. Tahap keupayaan mereka ini bergantung kepada taraf muqarrabin mereka pada sisi Allah SWT dan dibenarkan mengambil terus ilmu dari sana tanpa sebarang perantaraan malaikat.

Hal ini sebenarnya adalah suatu yang lazim berlaku di kalangan para Sahabat RA, terutamanya sahabat-sahabat besar baginda SAW seperti Khalifah yang Berempat, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Huzaifah dan sekian ramai lagi. Juga lazim berlaku di kalangan para tabiin yang dirahmati oleh Allah, dan tidak ketinggalan di kalangan tabiit tabiin serta kalangan ulama mujtahid awal dalam Islam. Begitu lazimnya hal ini berlaku di kalangan mereka sehingga mereka menganggapnya sebagai suatu perkara biasa dan tidak diperbincangkan lagi.

Para mujaddid sejak zaman awal Islam lagi sehinggalah ke abad kelima belas ini turut dibekalkan dengan keupayaan menggapai alam ghaib ini untuk mendapat sumber ilmu mereka. Lihatlah bagaimana mereka menulis kitab-kitab yang sebegitu tebal dan hebat dalam masa yang amat singkat, sedangkan sumber rujukannya tidak kita ketahui dan ilmunya merupaka sesuatu yang amat baru. Bagi kita yang hidup pada hari ini, yang telah begitu jauh daripada zaman Kenabian, ilmu-ilmu seperti ini amatlah pelik dan ganjil, kalau tidak pun akan dianggap sebagai sesuatu yang amat mustahil. Malah ada di kalangan umat Islam sendiri (termasuk yang mengaku dirinya pandai dalam bidang agama) yang menganggap hal ini pada hari ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh syarak.

Bagi yang memperoleh ilmu dari alam atas ini, ada yang kekuatan rohaninya begitu teguh sehingga mata hatinya dapat membaca dengan jelas setiap huruf yang tertulis di alam atas sana lalu menyalinnya bulat-bulat menurut apa yang mata hati mereka lihat itu. Mereka ini nyata mendapat nikmat yang begitu nyata dan melimpah-limpah, hasil hidayah Allah yang melimpah-limpah menyinari lubuk hati mereka.

Namun, ada juga yang kekuatan rohani mereka kurang teguh kerana beberapa kekurangan yang masih terdapat pada diri mereka. Hal ini tidaklah bermakna mereka itu bersalah atau tersalah. Apa yang mereka cakapkan itu adalah menurut apa yang mereka peroleh, dan mereka memperkatakannya menurut apa yang tersurat itu. Itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Dalam pada itupun, setiap ilmu yang mereka peroleh itu tidak semestinya berlaku menurut apa yang telah tersurat di alam atas sana, kerana lazim pula berlaku, apa-apa yang sudah tertulis di alam atas itu berubah pada saat-saat akhir dan hal ini hanya Allah SWT sahaja yang Maha mengetahui apa-apa yang ditakdirkan-Nya. Maknanya, apa-apa yang dibaca oleh mereka tadi, memang benar-benar tertulis di alam atas sana, dan benar pula semasa mereka mengucapkannya, tetapi Allah jua mengehendaki perubahan pada takdir-Nya pada saat-saat terakhir. Ada kalanya ditangguhkan-Nya dan ada kalanya dibatalkan-Nya terus, menurut kehendak-Nya jua. Dialah yang Maha Berkuasa dan Dialah yang Maha Berkehendak.

Kerana itulah perkara ini perlu benar-benar difahami dan dimengertikan baik-baik, jangan sampai kita menjadi seorang pengutuk terhadap apa-apa yang telah Allah SWT tuliskan pada takdir-Nya, tetapi diubah pada qadar-Nya. Jika ilmu dan pengalaman kita tidak pernah sampai ke tahap ilmu-ilmu berkenaan dan hanya memahami sesuatu menurut yang lahir sahaja daripadanya, maka lebih baiklah kita mendiamkan diri sahaja, ditakuti kelak kita menjadi pengutuk terhadap takdir Tuhan secara tidak disengajakan dan seterusnya menjadi penyebab Tuhan memurkai kita pula. Semua ini boleh berlaku tanpa kita sedari, akibat kelancangan kita sendiri yang suka mempertikaikan itu dan ini tanpa ilmu yang benar-benar yakin dan hakiki.

Atas alasan itu pulalah penulis berkeyakinan bahawa apa yang disebutkan oleh tabiin RH itu adalah benar, yakni benar semasa beliau menyebutkannya dan benar pula periwayatannya, walaupun disangsikan oleh orang lain. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana masing-masing mereka mempunyai kefahaman yang berbeza, ilmu yang berbeza, keyakinan yang berbeza pula dan tanggapan mereka terhadap rawi dan sanadnya juga berbeza. Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Memang pada tahun itu tidak dimunculkan Imam Mahdi yang muntazar itu tetapi Allah SWT tundakannya sehingga ke saat-saat akhir, iaitu selepas tahun 1420 Hijrah. Wallahu A’alam.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer