02133 36. Tanda-tanda Lain
A. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi tidak akan muncul sebelum kamu semua menyaksikan siang menjadi gelap-gelita.”
B. Kata tabiin RH,
“Sebelum munculnya al-Mahdi, di ufuk sebelah (negara) Timur akan kelihatan bintang berekor (yang besar) yang memancarkan cahaya.”
Satu lagi tanda besar kemunculan Imam Mahdi ialah akan
terjadinya keadaan gelap gelita pada waktu siang dan malam. Siang
yang terang benderang akan diselaputi oleh kegelapan sama ada oleh
jerebu, asap atau awan yang turun terlalu rendah dan seterusnya
menutup pandangan manusia dan menghalang cahaya matahari daripada
memancar terus ke permukaan bumi. Pada masa itu hanya tenaga
elektrik sahaja yang dapat menerangkan hari yang gelap gelita itu
dan manusia dapat meneruskan kegiatan harian mereka dengan
berbantukan cahaya berkenaan.
Satu lagi tanda besar kemunculan Imam Mahdi adalah munculnya
bintang berekor atau komet yang besar melintasi ruang angkasa bumi
yang kebetulan masa lalunya itu di sebelah Timur bumi iaitu tidak
jauh dari kawasan tempat tinggalnya Pemuda Bani Tamim. Masa
berlakunya tidak dinyatakan dengan tepat. Boleh jadi peristiwa itu
berlaku sepuluh tahun sebelum Imam Mahdi muncul dan boleh pula
berlaku berpuluh-puluh tahun sebelum Imam Mahdi muncul. Hal ini
amat mustahak difahami kerana menurut pandangan orang-orang
terdahulu, jarak masa sepuluh tahun atau lebih yang akan berlaku
pada akhir zaman akan dianggap sebagai tempoh yang amat
dekat, bukannya suatu jarak masa yang jauh atau lama. Tempoh
yang lama bagi kita dikatakan sebagai tempoh yang dekat sahaja pada
perkiraan mereka itu.
Kenapa terlalu banyak tanda sebelum Imam Mahdi muncul? Sebenarnya
itulah sesuatu yang menunjukkan bahawa Imam Mahdi itu adalah
seorang yang sangat istimewa pada sisi Allah SWT, merupakan orang
besar-Nya di bumi ini, merupakan wakil mutlak-Nya untuk mentadbir
dunia ini dan sangat dikasihi oleh-Nya. Lihatlah semasa Nabi SAW
diputerakan ke dunia ini, beberapa peristiwa aneh berlaku. Maka hal
yang demikian tidaklah mustahil berlaku pula kepada diri Imam
Mahdi. Memang seperti sudah menjadi Sunnatullah terhadap alam ini,
setiap kali Allah hendak utusi seorang besar-Nya ke dunia ini,
pasti akan disertakan dengan beberapa tanda yang dapat dilihat dan
diketahui dengan jelas oleh orang-orang yang hidup sezaman
dengannya.
Oleh itu, jika kita telah melihat tanda-tanda yang
menunjukkan seorang besar Allah akan diutuskan tidak lama lagi,
maka insya-Allah kita akan dapat melihat dan menemui orang besar
berkenaan. Hanya kita mahu percaya atau tidak mahu percaya akan
kemunculan orang besar berkenaan. Atau kita mahu mengikutnya dengan
sepenuh hati atau kita akan menolaknya dengan sungguh-sungguh. Jika
kita menerimanya, maka kita akan mendapat keamanan daripada-Nya dan
jika menolak, maka kita akan menanggung kerugian yang amat
besar.
Tidak perlulah rasanya dinyatakan apakah peristiwa aneh yang
berlaku semasa Rasulullah SAW diputerakan ke dunia ini. Terlalu
banyak buku sirah yang menceritakannya, dengan bahasa yang
indah-indah dan penuh bererti. Kita juga sudah mempelajarinya sejak
bangku sekolah rendah lagi hinggalah ke peringkat yang
setinggi-tingginya. Juga dari buku yang seringkas-ringkasnya
sehinggalah kepada yang setebal-tebalnya.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik |
- 4070 reads
Post new comment