warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02083 24. As-Sufyani Dikalahkan Oleh Tentera at-Tamimi





02083 24. As-Sufyani Dikalahkan Oleh Tentera at-Tamimi



A. Dari Ibnu Mas’ud RA, sabda Nabi SAW,

“Kemudian Urwah bin Muhammad as-Sufyani menghantar sepasukan tentera berkudanya ke Kufah seramai 15,000 orang, kemudian mengutus pasukan tentera yang lain seramai 15,000 orang juga, yang berkenderaan, menuju ke Makkah dan Madinah untuk memerangi al-Mahdi dan para pengikutnya. Maka pasukan tentera yang pertama tadi sampai ke Kufah, berjaya menawan kota itu, lalu memusnahkan apa sahaja, daripada kaum perempuan dan kanak-kanaknya, di samping membunuh setiap lelaki, merampas segala harta-benda yang ada lalu pulang semula (kepada as-Sufyani). Maka (pada ketika itu juga) datanglah suatu kaum yang gagah berani (sihat)dari arah Timur, yang mana mereka itu mengikut Amir min Umarak dari (keturunan) Bani Tamim yang dikatakan dia itu (adalah) Syuaib bin Saleh. Maka dia datang menyelamatkan setiap yang ada daripada tawanan mereka (wanita dan kanak-kanak tadi) lalu (segera) bertolak pula ke Kufah. Pasukan tentera yang kedua pula, sampai ke kota Madinah Rasul SAW, lalu memerangi dan memusnahkannya selama tiga hari, maka datang kepada (hati) mereka pertolongan daripada memusnahkan terus seluruh penduduk dan anak-anak (penghuni Madinah). Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah, untuk memerangi al-Mahdi dan orang-orangnya. Apabila sampai di al-Baidak, semuanya dihapuskan oleh Allah. Maka itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Kalau kamu melihat ketika mereka terkejut, maka tidak akan luput (dari ingatan), lalu diambil (nyawa) mereka dari tempat yang dekat (dengan Makkah).” (Surah Sabak, ayat 51)

Seperti hadis-hadis sebelumnya, hadis ini melanjutkan cerita tentang perkara yang sama. Walaupun terdapat beberapa perbezaan fakta di dalamnya, semua itu tidak bererti hadis ini maudhuk atau syaz. Sebabnya, perbezaan jumlah yang dikatakan itu, atau perbezaan nama, atau perbezaan keterangan yang diberikan sebenarnya menunjukkan bahawa angka itu boleh berubah-ubah menurut ketentuan Ilahi, tempat yang dimaksudkan itu juga boleh berubah dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan juga boleh banyak atau sedikit. Semuanya adalah menurut ketentuan Allah belaka dan hanya Dia yang Maha Mengetahui hakikat segala yang diciptakan-Nya.

Sebab itulah perbezaan keterangan dan jumlah yang berlaku dalam riwayat yang pelbagai, tidak perlu diambil kira sangat. Jumlah yang disebutkan itu tidak penting kerana yang penting ialah bahawa peristiwa yang dimaksudkan itu benar-benar berlaku, dan ada tempat berlakunya, sesuai menurut tafsiran kita pada zaman ini, bukannya menurut tafsiran pada zaman dahulu. Oleh itu, ada perkara yang perlu diperhatikan sangat-sangat dan ada perkara yang hanya perlu diperhatikan secara sepintas lalu sahaja.

 Dan, kebiasaannya dalam menafsirkan hadis-hadis seperti inilah yang banyak memeningkan kepala para sarjana dan cendekiawan yang mengkajinya, kerana pengetahuan mereka tidak tercapai selok-belok hadis yang amat dalam, berkelok-kelok dan penuh rahsia itu. Jika hanya maksud zahir sahaja yang diambil dan diperhatikan, maka hadis-hadis seperti ini dengan begitu mudah akan dicampakkan ke dalam tong sampah maudhuk sahaja. Dan sebagai akibatnya, tidak hairanlah kalau hadis-hadis seperti ini sentiasa terabai daripada perhatian mereka, kerana mereka menilainya sebagai sesuatu yang tidak perlu diperhatikan, membuang masa sahaja dan sering kali dengan mudah pula mereka memaudhukkannya. Itulah penilaian yang terbaik pada pandangan mereka.

Pasukan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya ternyata amat besar, berjumlah tiga puluh ribu orang dan lengkap pula dengan segala persenjataan tercanggih yang dibawa khusus untuk tujuan itu, disertakan lagi dengan pakar-pakar strategi yang terbaik, di samping mendapat pula bantuan daripada puak Syiah yang katanya mereka lebih layak terhadap Imam Mahdi. Memang puak Syiah amat berhasrat untuk menghapuskan sama sekali golongan Ahlus Sunnah supaya mereka dapat berkuasa pula ke atas seluruh dunia dan umat Islam. Pasukan tentera ini dibahagi kepada dua kumpulan iaitu yang akan menyerang Kufah, yakni Iraq dan yang satu kumpulan lagi akan menyerang Hijaz.

Maka dunia akan menyaksikan sekali lagi negara-negara di Teluk Parsi bermandi darah. Kali ini adalah lebih besar dan dahsyat. Tiada siapa pun dari kalangan umat Islam yang mampu berbuat apa-apa untuk menentang perbuatan biadab musuh-musuh Allah itu. Maka pada ketika itulah Syuaib bin Saleh at-Tamimi akan mendapat kuasa di Timur lalu mendaulatkan Islam ke tempatnya yang tinggi. Beliau dan pasukan tenteranya yang amat terpilih itu amatlah handal kerana mereka dibantu dengan keramat-keramat yang amat nyata. Selain itu, roh-roh sekalian syuhada sejak zaman sahabat RA juga turut datang membantu.

 Hanya dengan bantuan keramat sahajalah seluruh askar dan segala peralatan ketenteraan Amerika Syarikat yang canggih-manggih itu dapat ditundukkan, kerana keramat tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapa pun buat selama-lamanya. Keramat adalah bantuan terus dari Allah, didatangkan melalui tangan para wali-Nya. Maka mustahillah bantuan Allah dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Siapa lagi yang mampu mengalahkan Amerika Syarikat dan segala senjata canggihnya itu kalau bukan dengan berkat keramat para wali Allah? Cuba fikir dan sebutkan negara mana atau pemimpin mana yang dapat berbuat demikian pada hari ini.

Semasa kedua-dua pasukan tentera itu sedang bermaharaja lela di Tanah Arab itu, maka datanglah suatu kaum yang sihat (gagah berani) memerangi Amerika Syarikat dan Syiah itu. Hanya kaum ini sahajalah yang mampu dan berani melawan kekuatan kecanggihan ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang besar dan kuat itu. Jumlah mereka ini tidak disebutkan jumlahnya kerana mereka yang dimaksudkan itu ternyata adalah amat kecil jika dibandingkan jumlahnya dengan jumlah kedua-dua angkatan tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Namun, Allah tidak melihat kepada berapa besar jumlah pasukan yang dilawan itu kerana setiap seorang daripada anggota pasukan itu bersamaan kekuatannya dengan kekuatan dan keberanian seratus orang tentera musuh.

Mereka adalah pasukan yang datang dari Timur dan tidak lain dan tidak bukan ialah pasukan Asoib, yang di dalamnya terdapat sebahagian besar golongan Ikhwan. Selain itu, disebutkan pula bahawa pemimpin kaum yang sihat itu dipanggil dengan gelaran Amir Min Umarak (Raja Bagi Segala Raja), suatu gelaran yang amat tinggi dan amat besar maknanya kepada beliau. Juga amat besar ertinya kepada seluruh umat Islam di serata dunia. Disebutkan juga bahawa Amir Min Umarak itu bergelar Syuaib bin Saleh. Jelaslah berdasarkan hadis ini, Syuaib bin Saleh itu adalah gelarannya dan bukan namanya. Hal ini samalah dengan khalifah pada akhir zaman yang bergelar Imam Mahdi. Imam Mahdi itu adalah gelarnya sahaja sedangkan namanya adalah Muhammad bin Abdullah.

 Sihat yang dimaksudkan itu adalah sihat akidahnya. Ketika umat manusia sedang rosak akidah kerana telah dipengaruhi oleh pelbagai akidah yang menyesatkan, mereka tidak tergugat akidah mereka. Maka di antara segala yang sedang sakit akidah itu, merekalah sahaja yang sihat akidahnya. Maka dikatakanlah bahawa mereka itu sihat. Mereka juga sihat agamanya. Ketika orang lain sedang sakit malah nazak agamanya, mereka tampil dengan amalan agama yang benar dan menegakkan Islam secara keseluruhan seperti pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Maka sesiapa yang mampu menegakkan agama ketika agama sedang rebah, maka dikatakan bahawa mereka itulah golongan yang sihat iaitu sihat agamanya.

Mereka sihat dari segi jihad kepada Allah. Ketika ini umat Islam sudah mati semangat jihadnya. Jika ada yang berjihad pun, tidak benar-benar berjihad menurut apa yang diperintahkan oleh syarak. Maka pada ketika orang lain sedang mati jihadnya, mereka mampu membangunkan jihad seperti yang dikehendaki oleh syarak, maka itulah golongan yang sihat, iaitu sihat jihadnya. Juga sihat daripada pengaruh keduniaan yang sedang amat nyanyuk. Ketika umat manusia sedang turut sama nyanyuk seperti dunia yang mereka gilai itu, mereka berjaya mengelakkan diri daripada turut nyanyuk. Mereka juga membangunkan dunia tetapi menjadikannya sebagai amalan untuk akhirat, bukan untuk dunia semata-mata. Maka dikatakanlah bahawa mereka itu sihat, kerana tidak turut nyanyuk ketika orang lain telah lama dibuai nyanyuk dunia. Juga sihat dari segi kerohanian kerana dengan kerohanian yang kuat yang mereka miliki itulah yang membolehkan mereka mengalahkan musuh dan membangunkan semula Islam seperti yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Mereka juga sihat dari segi kekuatan zahir. Mereka sihat kerana dianggap singa pada waktu siang. Singa amat ditakuti oleh setiap manusia, walaupun singa itu hanya seekor sahaja pada sesuatu tempat. Apatah lagilah jika mereka berkumpulan dan beramai-ramai.

Orang-orang, sama ada dari kalangan ulama atau sarjana Islam, yang menganggap Pemuda Bani Tamim itu bernama Syuaib bin Saleh, sudah melakukan sesuatu kesilapan yang amat besar kerana tidak habis kajiannya dan tidak tepat ilmunya dengan kebenaran yang hakiki. Pernah suatu ketika dahulu iaitu sekitar tahun-tahun 1993 dan 1994, ketika isu Imam Mahdi hangat diperkatakan, beberapa orang ulama dan sarjana menjelaskan kepada orang ramai bahawa Pemuda Bani Tamim itu bernama Syuaib bin Saleh kerana itulah nama yang disebutkan oleh hadis. Mereka tidak sedar bahawa ada hadis lain yang menjelaskan sebaliknya. Oleh itu, sebelum memperkatakan sesuatu yang kita tidak berapa jelas atau tidak khatam mengajinya lagi, eloklah kita memperbanyakkan mutalaah dan bersembahyang istikharah untuk mendapatkan kepastian hakiki. Jangan sampai nanti diketawakan oleh orang-orang kemudian.


Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer