warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02048 3. Banyak Perbalahan dan Gempa Bumi Dahsyat





02048 3. Banyak Perbalahan dan Gempa Bumi Dahsyat



A. Sabda Nabi SAW,

“Al-Mahdi akan muncul bersamaan dengan suasana dunia yang penuh dengan perbezaan pendapat (mengenai pelbagai perkara, termasuk mengenai kemunculan Imam Mahdi itu sendiri, hadisnya sahih atau tidak, benar-benar muncul atau tidak) dan digoncang dengan gempa bumi yang sangat dahsyat.”       (Imam Ahmad)

B. Sayidina Ali KMW berkata,

“Ujian yang menimpa ada empat jenis, ujian kegembiraan, ujian kesakitan, ujian harta benda, kemudian seorang lelaki datang yang berasal dari ahli keluarga Nabi SAW, dan Allah akan membaiki hubungan antara manusia melalui tangannya.”

C. Dari Ali bin Ali al-Hilali RA berkata,

Aku masuk ke tempat Nabi SAW semasa baginda sedang sakit, sebelum baginda wafat dan mendapati Fatimah RA duduk di sisi kepalanya, sedang menangis. Rasulullah SAW membuka matanya dan bertanya, “Wahai Fatimah, kenapa engkau menangis?” Jawab Fatimah, “Aku takutkan kehilanganmu.” Lantas baginda SAW bersabda, “Tidakkah kamu tahu bahawa Allah yang Maha Besar dan Maha Pemurah melihat ke bumi sekali dan memilih bapamu dan mengutusnya dengan membawa agama-Nya. Kemudian Dia melihat sekali lagi ke bumi dan memilih suamimu dan mewahyukan kepadaku agar aku mengahwinkannya denganmu. Wahai Fatimah, kita adalah Ahlulbait dan Allah memberikan kepada kita tujuh kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum ini. Dia mengutuskan aku dengan membawa kebenaran, di kalangan mereka adalah al-Mahdi untuk umat ini. Apabila dunia ini dipenuhi oleh pembunuhan dan penzaliman, bencana bertambah, jalan-jalan disekat, manusia menyerang satu sama lain, yang tua tidak menyayangi yang muda, yang muda tidak menghormati yang tua, (maka pada ketika itulah) Allah yang Maha Besar lagi Maha Pemurah, pada akhir zaman, akan menghantar kepada mereka seseorang yang akan menguraikan segala kekusutan dan membuka hati-hati yang telah termateri dan memperbaharui agama-Nya seperti yang aku lakukan pada awalnya. Dan dia akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan penindasan.”       (Abu Nuaim)

D. Sabda Nabi SAW,

“Aku membawakan berita gembira untuk kamu mengenai Al-Mahdi. Dia akan diutuskan ketika manusia sedang sangat menderita dan banyak berlaku gempa bumi.”

E. Sabda Nabi SAW,

“Pada akhir zaman nanti, ada ujian-ujian berat daripada pemerintah kamu yang akan menimpa umatku, yang ujian itu dahsyatnya tidak pernah kamu saksikan sebelumnya. Bumi yang luas ini menjadi kecil pada mereka, dan bumi ini akan dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman, hinggakan orang-orang yang beriman tidak mempunyai seorang pun pembantu daripada bahayanya. Maka Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Perkasa akan menghantar seorang lelaki daripada ahli keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan, seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman. Seluruh penduduk langit dan bumi akan redha terhadapnya. Bumi ini tidak akan meinggalkan sedikit pun tumbuh-tumbuhan melainkan akan dikeluarkannya. Langit juga tidak akan meninggalkan sedikit pun hujannya melainkan diturunkannya selebat-lebatnya. Dan dia akan hidup di kalangan mereka selama tujuh, lapan atau sembilan tahun, sehingga yang hidup amat berharap orang-orang yang telah mati hidup semula untuk sama-sama menikmatinya. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Perkasa akan menurunkan keberkatan kepada seluruh penduduk bumi pada ketika itu.”

Ada beberapa peristiwa besar yang akan berlaku, sejurus sebelum Imam Mahdi muncul ke dunia ini. Dan tanda-tanda itu sebenarnya merupakan tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi ke dunia. Dan berdasarkan laporan berita di semua media pada hari ini, kita dapati semua tanda yang dimaksudkan oleh hadis itu sedang berlaku, satu demi satu, dan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, bolehlah pula kita katakan bahawa zaman ini sebenarnya adalah zaman Era Mahdi. Sekarang ini, kita hanya menantikan saat kemunculan manusia paling bertuah ini, di hadapan mata kita. Jika kita sempat bertemu dengannya, maka kita sebenarnya adalah orang-orang yang sangat beruntung kerana dapat bertemu dan menjadi pengikut kepada Imam Mahdi.

Oleh itu, marilah kita sama-sama membanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar disegerakan-Nya kemunculan Imam Mahdi yang sangat dinanti-nantikan itu. Ingat, orang-orang Syiah juga banyak berdoa semoga Imam Mahdi mereka segera muncul, walhal kita tahu bahawa Imam Mahdi mereka itu sudah pasti tidak akan muncul selama-lamanya. Maka kita yang percaya dan yakin bahawa Imam Mahdi kita akan muncul, hendaklah sungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT agar Imam Mahdi itu segera muncul.

Daripada empat buah hadis dan sebuah asar di atas, disebutkan sebanyak tujuh belas perkara yang akan berlaku, tidak lama sebelum Imam Mahdi muncul. Rasa-rasanya, sepanjang pengetahuan penulis, semua tujuh belas perkara yang disebutkan itu sudahpun berlaku, di negara kita dan di beberapa buah negara Islam lain. Kerana itu, penulis bertambah yakin akan kebenaran isi hadis-hadis ini, dan bertambah yakin pula bahawa Imam Mahdi itu akan benar-benar muncul.


Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer