warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02047 2. Keadaan Dunia Yang Huru-hara





02047 2. Keadaan Dunia Yang Huru-hara



A. Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Dunia ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan penyelewengan. Ketika itulah seorang lelaki dari kaum kerabatku akan muncul dan memerintah dunia. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan, (tempoh pemerintahannya) selama tujuh atau sembilan tahun.”     (Imam Ahmad)

Huru-hara yang dimaksudkan di sini bukanlah semata-mata peperangan. Huru-hara akibat kerosakan akhlak adalah lebih teruk lagi, dan berpanjangan pula. Sebab itulah dikatakan huru-hara, bukan peperangan. Semua ini berlaku akibat manusianya sudah tidak mengenal Tuhan, tidak sayang kepada Tuhan, meninggalkan Tuhan, sangat haloba akan dunia yang sementara ini, mengejar dunia sungguh-sungguh, berebut-rebutkan dunia ini, dan sangat takutkan mati terutama mati syahid. Kesan daripada itu, timbullah pelbagai masalah dalam diri dan masyarakat, seterusnya merebak ke seluruh negara, dan akhirnya sampai ke seluruh dunia. Dan Allah SWT yang Maha Penyayang tidak akan membiarkan hal ini berterusan. Ketika manusia sedang teruk hanyut itulah diturunkan orang-Nya untuk memulihkan kemanusiaan yang telah hilang, dan mengembalikan semula manusia kepada Tuhan.

Imam Mahdi adalah seorang pemimpin yang berjiwa tauhid kepada Allah SWT. Pemimpin yang sebenar sepatutnya adalah pemimpin yang paling bertakwa kepada Allah SWT berbanding dengan rakyatnya kerana melalui seorang pemimpin yang bertakwa sahajalah pertolongan Allah akan diturunkan secara terus kepada pemimpin berkenaan, seluruh negara dan seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahannya. Rakyat akan terasa benar betapa nikmatnya duduk bernaung di bawah seorang pemimpin yang amat bertakwa.

Seorang pemimpin yang bertakwa juga akan menyebabkan seluruh rakyatnya berusaha mempertingkatkan taraf takwa masing-masing kepada Allah. Ini mudah difahami kerana mereka sudah mendapat contoh yang benar-benar dapat diikuti secara realiti, bukan semata-mata cakap-cakap, kempen-kempen atau slogan-slogan sahaja. Perbandingan paling mudah ialah pada hari ini para pemimpinnya (di mana-mana jua di seluruh dunia) sibuk mencari dan mengumpulkan harta benda sebanyak-banyaknya, maka rakyat jelata juga kita lihat sibuk mencari dan mengumpul harta benda sebanyak-banyaknya. Itulah yang berlaku pada hari ini dan dapat kita saksikan di mana-mana pun dan pada bangsa mana pun.

Seorang pemimpin yang bertakwa akan dimampukan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya. Apabila sang pemimpinnya sendiri adalah orang yang paling baik akhlaknya, maka rakyatnya juga akan berusaha menjadikan diri mereka sebagai orang-orang yang bertakwa. Jika tidak pun mereka akan menjadi orang-orang yang soleh dari segi amalan dan akhlaknya. Paling-paling kurang pun mereka akan menjadi orang-orang Islam yang baik-baik akhlaknya dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada negara dan pemimpin yang memerintah mereka. Masalah sosial yang sedang kronik melanda seluruh negara dan rantau juga akan menjunam grafnya hingga ke taraf zero percent hanya dalam masa yang amat singkat.

Ini semua boleh berlaku dan akan berlaku dikeranakan pemimpinnya adalah orang yang paling baik imannya, paling bertakwa kepada Allah dan paling baik akhlaknya. Maka pada ketika itu, Allah akan campakkan ke dalam hati setiap rakyatnya rasa malu untuk melakukan maksiat, biar pun hanya berseorang diri tanpa disaksikan oleh sesiapa pun. Semakin lama pemimpin yang bertakwa itu memerintah, semakin tebal rasa malu mereka untuk melakukan maksiat itu, yang sebelumnya selalu mereka buat tanpa sebarang rasa malu dan kesal, malah sesetengahnya amat bangga pula kerana dapat melakukannya.

Selain itu, mereka juga akan dihantui rasa bersalah yang amat sangat jika mereka melakukan kesalahan atau maksiat atau penderhakaan. Pada hari ini, rakyat jelata melakukan kesalahan, dosa, maksiat, penderhakaan dan sebagainya tanpa rasa bersalah. Ada yang berasakan mereka wajib menentang pemerintah mereka secara terus terang, berterusan dan dengan cara yang sama zalim. Kononnya mereka mahu menegakkan keadilan, tetapi mereka menggunakan cara yang zalim untuk menundukkan kezaliman. Maknanya kezaliman dihapuskan dengan cara yang zalim atau menggunakan kezaliman untuk menundukkan kezaliman. Apakah itu tuntutan Islam? Siapa yang pernah menggunakan cara itu pada zaman salaf dahulu? Mana ayat al-Qurannya atau hadisnya yang mereka gunakan untuk menghalalkan kaedah itu?

Setiap kali mereka melakukan kesalahan, hati mereka akan merasakan amat bersalah dan selalu dihantui oleh rasa bersalah itu. Semakin lama perbuatan salah dan dosa itu mereka biarkan tanpa bertaubat, akan semakin besar dirasakan kesalahan itu pada hati mereka sehingga mengganggu kerja-kerja harian mereka dan ketenteraman hati mereka. Akhirnya kesalahan yang satu itu akan dirasakan seperti gunung yang sentiasa berasa di atas kepala mereka yang boleh sahaja jatuh menghempap kepala mereka.  Itulah yang dimaksudkan oleh hadis yang menyebutkan demikian.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer