warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02036 6. Beliau Adalah Khalifah yang Kedua Belas





02036 6. Beliau Adalah Khalifah yang Kedua Belas



A. Dari Jabir bin Samurah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Setelah peninggalanku nanti akan ada dua belas orang Amir (Khalifah).” Jabir berkata, “Kemudian baginda bercakap sesuatu yang tidak kufahami, lalu aku bertanya kepada bapaku, lalu dia berkata, “Mereka semuanya dari golongan Quraisy.”       (At-Tarmizi)

B. Sabda Nabi SAW,

“Dunia tidak akan lenyap sehinggalah bangsa Arab diperintah oleh seorang lelaki dari kaum keluargaku, yang namanya menyamai namaku.”          (Abu Daud)

Hadis daripada Jabir RA di atas yang bertaraf hasan sahih telah dijadikan ‘alasan terkukuh’ oleh puak Syiah untuk menonjolkan Imam mereka sebagai orang yang dimaksudkan itu. Lalu, ekoran daripada itu, muncullah beberapa banyak ‘hadis’ lagi yang mendakwa bahawa yang dua belas orang itu sudah pun ditunjukkan oleh Nabi SAW akan orangnya satu persatu secara batang tubuh, tanpa khilaf dan terus-terang, disebutkan namanya dengan bin-binnya sekali.

Ahli-ahli hadis dan para sejarawan Islam juga gagal menjelaskan siapa yang dimaksudkan dengan angka dua belas itu, berdasarkan sejarah. Mereka gagal memahami maksud sebenar individu-individu berkenaan. Akhirnya tafsiran sebenar terhadap hadis ini terbiar begitu sahaja tanpa terhurai. Sehingga ke hari ini, tiada siapa yang berani menjelaskan siapa mereka itu dan bila berakhirnya yang kedua belas itu. Memang belum ada mana-mana ahli sejarah atau ahli hadis yang dapat membuat huraian tepat akan maksud angka dua belas itu.

Ruang kosong itu dapat dihidu dengan cepat oleh puak Syiah, lantas mereka mengisinya dengan dalil yang mutawatir, iaitu mutawatir dari segi banyaknya hadis mengenainya, bukan mutawatir dari segi makna yang sebenar di dalam ilmu hadis itu.

Salah seorangnya ialah Syeikh Sulaiman al-Balkhi yang menulis di dalam kitabnya yang terkenal itu, Yanabi’ul Mawaddah, muka surat 447, dalam mendakwakan Imam mereka, kira-kira begini:

“Hadis Imam Dua Belas tidak sesuai jika dimaksudkan dengan Khulafa ur-Rasyidin kerana mereka kurang daripada dua belas (orang). Dan juga tidak sesuai dengan khalifah-khalifah dari Bani Umaiyah kerana mereka lebih daripada dua belas (orang). Semua mereka adalah zalim kecuali (Khalifah) Umar bin Abdul Aziz, dan mereka bukan pula (dari) Bani Hasyim, kerana Nabi bersabda, “Semua mereka mestilah dari Bani Hasyim.” Dan ia tidak sesuai dengan khalifah-khalifah dari Bani Abbas, kerana mereka lebih dari dua belas (orang). Mereka juga menindas anak cucu Rasulullah dan melanggar perintah Al-Quran.

“Oleh itu, satu cara untuk menafsirkan hadis itu ialah dengan menerima bahawa dua belas Imam itu adalah dari Ahlulbait Rasulullah, kerana merekalah yang paling alim, paling takwa, mempunyai sifat-sifat yang paling baik, paling tinggi nasabnya dan lebih mulia pada sisi Allah. Ilmu-ilmu mereka diambil dari bapa-bapa mereka yang bersambung dengan datuk mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.”

Demikian ulasan Syeikh Sulaiman al-Balkhi, seorang tokoh ulama terkemuka dalam mazhab Syiah, yang sama tinggi kedudukannya dengan Imam al-Bukhari bagi penganut Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau mendakwahkan seluruh umat Islam dari semua mazhab agar menerima sahaja bulat-bulat pandangannya itu, tanpa perlu memikirkan benar atau tidaknya lagi. Dan kebetulan pula hingga ke hari ini, masih belum ada buku dari kalangan ulama Ahlus Sunnah yang mengupas secara mendalam pandangan Syeikh Sulaiman itu.

Lihatlah bagaimana mudahnya beliau menolak kepimpinan para Khulafa ur-Rasyidin, sedangkan mereka itu adalah para pemimpin yang sentiasa mendapat petunjuk, telah diredhai Allah, para penghulu di syurga kelak, dan sebaik-baik umat Islam yang ada di bawah kolong langit ini. Memang pun orang Syiah tidak mengiktiraf pemerintahan para Khulafa itu. Mengenai hadis yang didakwanya dari Nabi SAW, bagi kita Ahlus Sunnah, adalah hadis mauduk atau sangat palsu, tidak pernah diucapkan demikian oleh baginda SAW.

Dakwaan bahawa Imam mereka yang dua belas itu adalah orang dimaksudkan oleh hadis, adalah suatu yang menyalahi maksud hadis itu sendiri. Nabi SAW menyatakan bahawa mereka itu adalah pemerintah (Amir), bukan semata-mata Imam, dan dari keturunan Quraisy, tidak semata-mata dari Bani Hasyim. Imam dua belas yang didakwa Syiah itu tidak memenuhi kriteria hadis itu sendiri iaitu tidak semua mereka bertaraf Amir atau Khalifah yang memerintah umat Islam. Dari kalangan Imam Syiah yang dua belas itu, hanya Sayidina Ali KMW dan Sayidina al-Hasan RA yang pernah memegang jawatan sebagai Khalifah. Yang lain tidak diketahui oleh sejarah dunia bahawa mereka pernah menjadi Amir sepanjang hayat mereka.

Bagaimanapun, sebagai menjawab tulisan Syeikh Sulaiman al-Balkhi ini, sebuah kitab Ahlus Sunnah yang bernama Aqaid Nasafiyah menulis dengan katanya (terjemahannya) kira-kira begini:

“Selepas para nabi, yang paling afdhal di kalangan manusia ialah Abu Bakar as-Siddiq, kemudian Umar al-Faruq, kemudian Osman Zunnurain, kerana dia berkahwin dengan dua orang puteri baginda SAW, kemudian Ali, Radhiyallahu ‘Anhum.

“Khilafah mereka mengikut tertib ini, dan khilafah berlangsung selama 30 tahun, selepas itu timbul raja-raja dan amir-amir.

“Hendaklah imam muslimin itu zahir, bukan ghaib dinanti-nanti akan muncul, dan dia hendaklah dari kalangan orang-orang Quraisy; dan dia bukan hanya datang dari keturunan Bani Hasyim dan bukan hanya dari anak cucu Ali.

“Dan tidaklah syarat imam itu seseorang yang maksum, dan tidak disyaratkan dia itu merupakan peribadi terbaik pada sesuatu zaman itu.”

Huraian penulis: Yang dimaksudkan dengan angka dua belas itu, memang bukan daripada Khulafa ur-Rasyidin. Sebabnya mereka hanyalah berempat sahaja. Tetapi mereka tidaklah boleh ditolak begitu sahaja, kerana mereka memang orang pilihan Allah. Juga bukan dari kalangan Bani Umaiyah kerana jumlahnya lebih dari dua belas. Bukan juga dari kalangan Bani Abbasiyah kerana jumlah mereka adalah jauh lebih banyak. Bukan juga dari kalangan Imam-imam Syiah kerana mereka yang disebutkan itu tidak pernah menjadi Khalifah atau memegang tampuk pemerintahan seperti yang dikehendaki oleh hadis di atas. Jadi, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan itu?

Sebenarnya, yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah kalangan pemerintah yang adil, yang naik secara hak dan sepenuhnya memerintah berdasarkan Sunnah Nabi SAW. Mereka mestilah khalifah atau amir yang mendapat petunjuk dalam pemerintahannya. Mereka tidak semestinya dari satu turutan sahaja dan pada satu-satu zaman sahaja. Boleh jadi, mereka itu berjauh-jauh zaman antara seorang dengan yang lain, berbeza-beza keturunan Quraisynya dan berlain-lain dinasti pemerintahannya.

Nabi SAW tidak pernah menyatakan bahawa mereka mestilah datang dari satu-satu kelompok sahaja atau dari satu keturunan sahaja seperti yang lazim kita fahami. Quraisy yang dimaksudkan itu adalah umum, bukan semata-mata milik Bani Hasyim, atau milik Bani Abbas sahaja, atau milik Bani Umaiyah sahaja, atau milik puak Alawiyin sahaja, atau milik Bani Tamim sahaja, atau milik Bani ‘Adi sahaja.

Kesilapan ahli sejarah Islam ialah mereka terlalu dikongkong oleh pemerintah yang berdasarkan urutan naiknya, juga dikongkong oleh pemerintahan bani-bani, sehingga kerana itu, para Khulafa yang nyata-nyata amat adil itupun, turut terkeluar senarai daripada pemerintah yang disebutkan oleh baginda SAW. Akhirnya mereka menyerahkannya kepada Allah kerana mereka tidak mendapat petunjuk dari Allah dalam menentukan peribadi yang dimaksudkan oleh hadis itu. Kalau taraf hadis itu dijadikan ukuran, hadisnya memang sahih. Jadi, tiada siapa yang berani mendhaifkan hadis berkenaan.

Pemerintahan mereka adalah pemerintahan yang adil, kerana jika mereka itu tidak adil, mustahillah Nabi SAW akan menyebut atau memasukkan mereka ke dalam jumlah yang amat sedikit itu. Jika berdasarkan demikian, marilah kita nilai semula pemerintah-pemerintah berikut, yang dirasakan dapat memenuhi kriteria adil seperti yang dikehendaki.

Penulis memasukkan semua nama itu, kerana yang demikian itu ada disebutkan oleh hadis-hadis, atau sekurang-kurangnya oleh para sahabat RA, bukan sekadar andaian semata-mata. Maknanya, nama mereka dan naiknya sebagai pemerintah telah disebutkan oleh Nabi SAW dan para sahabat RA dalam keadaan tercerai-cerai, satu persatu dan hakikat inilah yang gagal ditangkap maksudnya oleh para ulama dan sejarawan Islam itu.

  1. Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA. Baginda adalah khalifah yang pertama dan ditunjuk oleh baginda SAW secara tersirat. Beliau adalah sebaik-baik umat Nabi Muhammad SAW sepanjang zaman. Datang dari keturunan Bani Tamim, iaitu dari kaum Quraisy. Naiknya sebagai pemerintah telah disebutkan oleh Nabi SAW secara umum, dan secara tersirat juga. Umurnya sama panjang dengan umur Nabi SAW.
  2. Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Orang yang paling tinggi ilmu ketuhanannya di kalangan umat Islam dan merupakan Sahibul Zaman untuk zamannya. Datang dari Bani Adi, iaitu salah satu puak dari kaum Quraisy. Pelantikannya sebagai khalifah dibuat oleh sebaik-baik umat Muhammad SAW dan sudah dibayangkan oleh beberapa buah hadis. Umurnya juga sama panjang dengan umur Rasulullah SAW.
  3. Khalifah Osman bin Affan RA. Paling dermawan dan lembut hati kerana Allah. Datang dari Bani Umaiyah yang terkenal sebagai golongan pentadbir di kalangan puak Quraisy. Juga telah disebutkan naiknya sebagai pemerintah dan matinya sebagai syahid juga sudah disebutkan. Beliau adalah salah seorang yang dijamin syurga.
  4. Khalifah Ali bin Abi Talib KMW. Paling alim di kalangan umat Nabi Muhammad SAW. Sepupu Nabi SAW. Semestinyalah dari kaum Quraisy juga. Naiknya sebagai pemerintah memang sudah masyhur seantero alam, walaupun tanpa bantuan dari puak Syiah. Dari keturunan beliaulah lahirnya Imam Mahdi yang selalu disebut-sebut oleh orang ramai itu.
  5. Sayidina Hasan bin Ali RA. Amat minoriti sejarawan Islam yang memasukkan namanya sebagai Khulafa ur-Rasyidin kelima, selepas Sayidina Ali KMW. Tempoh pemerintahannya yang amat pendek itu menyebabkan namanya ‘terkeluar’ daripada senarai Khulafa ur-Rasyidin. Jika dimasukkan juga, masih tidak bercanggah dengan tempoh yang ditetapkan oleh hadis sahih yang menyatakan tempoh pemerintahan Khulafa ur-Rasyidin yang  selama 30 tahun itu.
  6. Sayidina Muawiyah bin Abu Sufian. Merupakan sahabat Nabi SAW, walaupun lambat Islamnya. Diangkat sebagai salah seorang penulis wahyu. Datang dari Bani Umaiyah. Dan Bani Umaiyah itu memang salah satu suku yang terkenal di kalangan kaum Quraisy. Naiknya sebagai khalifah sudah disebutkan oleh Nabi SAW secara tersurat di hadapannya sendiri dengan disaksikan oleh Ummu Habibah RA. Beliau adalah tokoh sejarah yang amat kontroversi dan ramai ahli sejarah yang ‘terluncur pena’ lalu mengutuknya dari segenap penjuru, sedangkan beliau adalah sahabat Nabi SAW juga. ‘Perangainya’ yang kurang dipersetujui oleh ahli sejarah sebenarnya adalah dari segi ijtihad politik sahaja, bukan dari segi agama. Ini perlu dibezakan dan diketahui baik-baik. Sayangnya, perkara inilah yang gagal diperhatikan dan gagal pula difahami oleh sejarawan sehingga mereka menerima sahaja riwayat-riwayat Syiah yang memburuk-buruk dan mengutuknya sehabis-habis hati.
  7. Sayidina Abdullah bin az-Zubair RA. Anak kepada Zubair bin Al-Awwam RA. Anak angkat kepada Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah RA. Pemerintahannya cuma di Makkah tetapi naiknya sebagai pemerintah sudah disebutkan oleh para sahabat RA. Matinya sebagai syahid juga sudah disebutkan oleh mereka. Disayangkan, ramai ahli sejarah Islam dan pengkaji yang turut ‘terluncur pena’ dengan menyatakannya sebagai pemberontak kepada kerajaan Bani Umaiyah. Maka banyaklah riwayat batil mengenai dirinya diambil oleh para sarjana tanpa memeriksa betul tidaknya riwayat itu, dan tanpa mengira siapa peribadi yang mereka kutuk itu. Juga datang dari kalangan kaum Quraisy yang terkenal.
  8. Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Lahir dari pertemuan dua khalifah berketurunan Quraisy iaitu dari keturunan Sayidina Umar al-Khattab RA yang datang dari suku Bani Adi dan dari keturunan Bani Umaiyah yang sedang memerintah ketika itu. Merupakan mujaddid kurun pertama, sekali gus yang memerintah. Itulah yang dikatakan sebagai Sahibul Zaman. Pemerintahannya memang adil walaupun hanya sekejap sahaja dan ini sudah tidak perlu dihuraikan lagi. Kealiman dan kewarakannya amat menakjubkan hati seluruh umat Islam, sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Banyak jasanya yang masih diamalkan oleh seluruh umat Islam di serata dunia hingga ke hari ini, dan ini menjadikan beliau seorang khalifah dan ilmuwan sejati yang mengagumkan. Ahli-ahli sejarah tidak jemu-jemu mengorek rahsia hidupnya, dan rahsia kejayaannya, tetapi mereka masih tidak menemui apa-apa.
  9. Sultan Muhammad al-Fateh. Walaupun bangsa Turkinya tebal, namanya sudah dinyatakan oleh hadis-hadis yang menyebutkan pembuka Kota Konstantinopel adalah oleh sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat. Dikatakan bahawa ibunya adalah datang dari keturunan Quraisy walaupun sudah agak jauh Quraisynya. Beliau adalah raja yang berjiwa sufi, amat taatkan perintah Allah dan amat tawakal kepada Allah, dari segi zahir dan batinnya.
  10. Syuaib bin Saleh at-Tamimi. Beliau adalah Pemuda dari Bani Tamim yang terkenal itu. Tidak syak lagi beliau adalah dari keturunan Quraisy kerana demikianlah yang disebutkan oleh hadis-hadis. Malah dikatakan beliau adalah datang dari keturunan Sayidina al-Hasan RA. Pemerintahannya adalah adil kerana beliau adalah pembuka jalan bagi naiknya pemerintahan Imam Mahdi. Beliau adalah Sahibul Zaman yang bongsu, iaitu penutup bagi sekalian Sahibul Zaman.
  11. Imam Mahdi, Muhammad bin Abdullah. Sebaik-baik manusia pada zamannya dan salah seorang yang dijamin syurga. Memang dari keturunan Ahlulbait kerana telah disahkan oleh hadis-hadis. Naiknya sebagai pemerintah sudah sah, tidak syak lagi, dan beliau amat berhak ke atas jawatan itu atas banyak sebab.
  12. Al-Qahtani, pengganti Imam Mahdi selepas kewafatan Imam Mahdi kelak. Pelantikannya sebagai Khalifah sudah disebutkan di dalam hadis-hadis dan disebutkan juga bahawa pemerintahannya tidak jauh berbeza daripada pemerintahan Imam Mahdi. Pembantu kanannya adalah al-Makhzumi, dari keturunan Bani Tamim juga, sama seperti Imam Mahdi yang pembantu kanannya adalah Syuaib bin Saleh, Pemuda Bani Tamim.

Perlu diingat, Nabi Isa AS tidak boleh dimasukkan di sini kerana beliau bukan dari keturunan Arab, apatah lagi Quraisy. Nabi Isa AS adalah dari keturunan Bani Israel. Namun pemerintahannya memang adil, dan ini sudah dijamin oleh Allah dan baginda SAW sendiri. Sebabnya, Nabi Isa AS adalah seorang yang bertaraf rasul, bukan manusia biasa, malah adalah salah seorang Ulul Azmi, yang nyata amat tinggi tarafnya berbanding rasul-rasul biasa yang lain.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer