warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

02006 5. Beliau Berketurunan Sayidina Al-Abbas RA





02006 5. Beliau Berketurunan Sayidina Al-Abbas RA



A. Rasulullah SAW bersabda,

“Al-Mahdi adalah dari keturunan (Sayidina) Abbas, bapa saudaraku.”           (Ad-Daruqutni)

B. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda,

“Ingatlah wahai paman. Adalah aku ini membawakan khabar gembira kepadamu, sesungguhnya keturunan paman adalah orang yang suci-suci. Daripada paman (nanti) akan lahir al-Mahdi pada akhir zaman. Dengannya Allah akan menyebarkan hidayah, memusnahkan kesesatan. Sesungguhnya Allah taala memulakan (pemerintahan dan Islam) ini dengan aku dan akan mengakhirinya dengan keturunan paman.”       (Ar-Rafie)

C. Dari Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,

“Ingatlah wahai Abul Fadhal (Ibnu Abbas RA), saya membawa berita gembira kepadamu, sesungguhnya Allah memulakan agama ini denganku dan dengan keturunanmu nanti Allah akan mengakhirkannya.” (Abu Nuaim)

D.. Dari Ibnu Abbas RA, katanya Rasulullah SAW berdoa,

“Ya Allah, tolonglah al-Abbas dan keturunannya (tiga kali). Wahai pakcikku, ketahuilah, bahawa al-Mahdi al-Muntazar, yang menyayangi dan disayangi itu adalah dari anak keturunanmu.”             (Haisam & Ibnu Asakir)

E. Dari Sayidina Ali RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda,

“Wahai pakcikku, ketahuilah, sesungguhnya Allah memulakan agama ini denganku dan Dia menutupnya dengan keturunanmu.” (Al-Khatib & Ibnu Asakir)

Hadis-hadis ini menjelaskan pula bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Al-Abbas RA, bapa saudara Nabi Muhammad SAW dan maksud yang disampaikan di dalam hadis-hadis berkenaan adalah terang sekali, tidak perlu dihuraikan lagi.

Semua hadis di atas, jika dilihat sekali imbas semua sekali, secara zahirnya memanglah sangat bertentangan. Semuanya jika dibaca sekali imbas, mampu membuatkan kita kalut seketika. Ramai ulama tidak berani memasukkan kesemua hadis di atas secara sekali gus kerana takut akan mengelirukan umat Islam. Dalam banyak-banyak buku dan kitab, hanya disebutkan beberapa buah hadis sahaja, seperti Imam Mahdi itu dari keturunan Sayidina al-Hasan sahaja, atau al-Husain sahaja, atau keturunan Rasulullah SAW, tanpa menyebutkan keturunannya dari al-Hasan atau al-Husain.

Mana tidaknya, sebahagian hadis menyebutkan dengan jelas sekali bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW sendiri, beberapa buah hadis lain menyatakannya dari keturunan Sayidina al-Hasan, beberapa buah hadis yang lain menyebutkannya datang dari keturunan Sayidina al-Husain pula, dan beberapa buah hadis lagi menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu datang dari keturunan Sayidina Al-Abbas, bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang baginda muliakannya.

Ini menyebabkan ramai ulama terkemudian berkerut kening membacanya dan berkerut dahi memikirkannya. Akhirnya dicari-cari jalan supaya sebahagian hadis itu diisytiharkan maudhuk sahaja, untuk memudahkan cerita. Sebahagian yang lain pula berkata, tak usah masukkan hadis-hadis ini sebab jelas berlawanan. Mana satu yang betul pun, wallahu a’alam, katanya. Alasannya, mengikut kaedah ilmu jarah wat takdil, kalau matan hadis-hadis itu sakit, maka sanadnya juga sebenarnya sakit.

Memang jika dilihat secara zahirnya, demikianlah yang berlaku dan yang mudah difahami oleh semua orang. Tapi tidaklah demikian sebenarnya. Mustahil Rasulullah SAW bersabda menyebutkan dua perkara yang amat bertentangan itu dan tidak menyedari maksud kedua-dua ucapannya. Para sahabat RA dan tabiin hanya meriwayatkan apa yang mereka dengar, jadi tidaklah salah apa-apa pada mereka. Dari situ, satu titik pertemuan perlulah dicari agar yang dilihat bertentangan, akan jadi tidak bertentangan.

Hadis-hadis ini jika dicantumkan sekali, akan membawa satu makna yang besar dan tidak sekali-kali bertentangan. Maksud sebenar hadis-hadis ini ialah bahawa Imam Mahdi itu memang dari keturunan orang-orang mulia, keturunan Nabi SAW, dari anak cucu Fatimah RA. Datuk neneknya yang dari pencar Sayidina al-Hasan akan berkahwin dengan pencar dari Sayidina al-Husain, yang seterusnya akan berkahwin pula dengan pencar dari Sayidina Abbas RA. Demikian penjelasan daripada Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Maksud tersiratnya ialah Imam Mahdi itu adalah pengumpul segala kemuliaan keturunan Quraisy, yang mengumpulkan semula keturunan dari Abdul Muttalib yang ramai anak itu pada dirinya. Sesuai dengan itu pula, maka Imam Mahdi itulah orang yang bakal menerima segala keistimewaan, segala kemuliaan, segala kebaikan, segala darjat, segala kedudukan, segala ilmu dan segala kekuasaan yang pernah diperoleh oleh sekalian anak cucu Abdul Muttalib. Selepas itu, tiada lagi orang yang akan menerima apa-apa keistimewaan yang seumpamanya lagi.

Keadaan ini samalah dengan peribadi baginda Rasulullah SAW yang mengumpulkan segala kemuliaan kaum Quraisy pada dirinya sehingga jadilah Baginda SAW itu sebagai semulia-mulia peribadi di kalangan bangsa Arab dan di kalangan bangsa Quraisy, juga semulia-mulia keturunan dari Bani Hasyim dan semulia-mulia keturunan dari Bani Abdul Muttalib.

Baginda SAW juga adalah pengumpul segala kemuliaan para nabi dan rasul sejak dulu-dulu lagi pada dirinya, mulai dari Nabi Adam AS hinggalah kepada Nabi Ibrahim AS, sehingga jadilah Baginda SAW itu semulia-mulia rasul di kalangan sekalian nabi dan rasul yang telah pernah diturunkan oleh Allah ke atas dunia ini.

Daripada sekian banyak hadis, pendapat yang menyatakan bapanya dari keturunan Sayidina al-Hasan adalah lebih lemah, dan pendapat yang lebih kuat adalah pendapat yang menyatakannya dari keturunan Sayidina al-Husain. Ini sesuai dengan maksud sebuah hadis yang menyatakan demikian. Maknanya, keturunan bapanya adalah dari anak cucu Sayidina al-Husain, terus sehingga sampai kepada dirinya, manakala hadis yang menyatakannya dari keturunan Sayidina al-Hasan, bermaksud dari sebelah ibunya. Begitu juga keturunannya yang bercampur tadi (antara anak cucu Sayidina al-Hasan dan al-Husain RA) akan berkahwin pula dengan seorang perempuan yang asal-usul keturunannya adalah dari anak cucu Sayidina Al-Abbas RA. Demikianlah pendapat yang lebih dapat diterima, wallahu a’alam.

Hasil daripada cantuman ketiga-tiga keturunan Ahlulbait itu, akan bercampur lagi dengan penduduk Ajam, yang bukan Arab, sehingga dari keturunan itu, lahirlah seorang pemuda yang asal-usulnya adalah Arab tetapi rupa bentuk, bahasa, adat resam, pemikiran dan gaya bawaannya sudah lebih mirip dan cenderung kepada cara penduduk Ajam yang menjadi tempat tinggalnya itu. Dan untuk akhir zaman ini, Ajam yang dimaksudkan itu, rasa-rasanya tidak lain dan tidak bukan adalah bangsa Melayu ini. Dan di Timur itulah Imam Mahdi dilahirkan, sesuatu yang tidak pernah terfikirkan dan terduga oleh mana-mana pihak pun sebelum ini, malah yang ada pada masa ini juga amat sukar menerima hakikat kenyataan ini. Memang kelihatan mustahil bangsa Melayu akan bangun memerintah seluruh dunia kerana semua orang di dunia ini sudah sedia maklum akan sifat-sifat buruk bangsa Melayu ini. Namun, satu perkara yang pasti adalah kenyataan bahawa di kalangan semua bangsa yang memeluk Islam, bangsa Melayu sahaja lagi yang belum pernah memerintah dunia, sejak kewujudan bangsa itu ke dunia ini. Ini adalah suatu kenyataan dan setiap bangsa lain pada hari ini harus menerima kenyataan ini dengan, sama ada terpaksa atau sukarela, gembira atau risau.

Begitulah hebatnya peribadi Imam Mahdi ini. Siapa yang tidak gecur liur dengan segala kelebihan yang ada padanya itu. Sudah pasti semua orang amat teringin memiliki segala kelebihan yang disebutkan itu. Akibatnya, ramailah yang dengan muka tak malu, mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi. Namun, sifat-sifat Imam Mahdi yang perlu ada pada dirinya, satu pun tidak terpenuh olehnya.

Di sini, penulis ingin menafikan pendapat beberapa orang penulis lain yang menyandarkan pendapat mereka kepada teori beberapa orang sarjana dan cendekiawan reformis terdahulu yang mengandaikan bahawa hadis-hadis mengenai keturunan Imam Mahdi daripada Bani Abbas sebagai hadis-hadis maudhuk dan bertujuan menaikkan nama Daulah Bani Abbasiyah di Baghdad dahulu. Andaian ini amatlah jauh dari kebenaran dan dibuat berdasarkan syak wasangka dan zanni semata-mata, dan dengan penuh kejahilan. Mungkin ada niat jahat yang terselindung di sebalik penyataan sedemikian. Jika mereka ini diminta memberikan bukti yang benar-benar kukuh terhadap andaian dan teori mereka itu, pasti mereka akan gagal membawakannya kepada kita. Yang pasti, memang tidak ada satu hujah pun yang dapat dibawakan untuk menyokong dakwaan mereka itu.

Dakwaan mereka ini sebenarnya didasarkan kepada fakta sejarah yang berlaku pada zaman Bani Abbasiyah dahulu, yang cuba mencari pengaruh rakyat jelata dengan pelbagai cara, termasuk mendakwa keturunan mereka adalah dari kerabat Rasulullah SAW dan dari mereka bakal lahirnya Imam Mahdi kelak. Andaian sebegini jelas adalah dakwaan orang-orang bodoh dan emosional yang tidak perlu diperhatikan.

Mereka yang mendakwa demikian seolah-olah merasakan diri mereka lebih pintar dan bijak daripada Imam  Ibnu Hajar al-Haitami, atau Imam al-Qurtubi atau Imam Jalaluddin as-Suyuti RH. Sepanjang pengetahuan kita, ketiga-tiga Imam umat Islam ini adalah orang-orang yang sangat alim dalam ilmu hadis, alim dalam pelbagai bidang ilmu lain, malah keilmuan mereka diiktiraf sepanjang zaman sebagai yang terbaik antara yang terbaik. Mereka yang menolak hadis-hadis di atas, apakah taraf ilmu mereka? Adakah sama taraf dengan ketiga-tiga Imam itu atau lebih tinggi lagi daripada ketiga-tiganya?

Oleh itu, pendapat mereka dengan mudah pula ditolak oleh sekalian umat Islam, kerana mereka sendiri tidak cukup syarat untuk menolak sesebuah hadis itu, sedangkan hadis-hadis itu diterima oleh pakar hadis dan ulama kenamaan sebagai hadis yang dapat dipegang kebenarannya, dan dimasukkan riwayatnya di dalam buku atau kitab mereka itu. Maka apa alasan lagi yang dapat dikemukakan untuk menangkis hujah para Imam berkenaan? Jika tidak ada hujah, maka benarlah pendapat para Imam berkenaan, dan kita kenalah ikut ijtihad mereka. Sama ada kita suka atau tidak, setuju atau tidak setuju, itu cerita nombor dua atau, belakang kira. Sekurang-kurangnya untuk sementara ini, kita kenalah berpegang kepada pendapat jumhur ulama yang muktabar, jika kita benar-benar mahu selamat. Hanya setelah ada pendapat lain yang lebih berwibawa, dengan hujah yang lebih kukuh pula daripada pendapat para imam yang kenamaan itu, barulah kita dibolehkan ikut pendapat baru itu. Jika tidak, ikutlah sahaja pendapat yang sedia ada pada hari ini.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer