warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

0127 Syiah dan Persoalan Imam Mahdi yang Bernama Muhammad bin Al-Hasan Al-Askari





0127 Syiah dan Persoalan Imam Mahdi yang Bernama Muhammad bin Al-Hasan Al-Askari


Setelah itu, terkenal pulalah Imam Mahdi dalam mazhab Syiah. Jika kita rajin meneliti kitab-kitab Syiah, akan kita temui pula seorang lagi individu yang begitu legenda, yang menurut ajaran Syiah, peribadi itu diyakini sepenuhnya oleh mereka sebagai Imamul Mahdi al-Muntazar. Disertakan pula beberapa banyak hadis yang menurut dakwaan mereka adalah hadis-hadis sahih, yang menceritakan mengenai Imam Mahdi tadi.

Asal-usul bermulanya konsep Imam Mahdi Syiah ini adalah daripada perjuangan kaum Syiah (Syiatu Ali) yang sedang hebat ditekan oleh pemerintah Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah, berusaha memulihkan kuasa khalifah yang didakwa menjadi hak mutlak Ahlulbait, iaitu (menurut Syiah) keluarga Ali bin Abi Talib KMW dengan isterinya Siti Fatimah RA, sesudah wafatnya Rasulullah SAW. Maknanya, munculnya konsep Imam Mahdi bagi Syiah adalah kesan langsung daripada sengketa politik mengenai jawatan khalifah antara dua orang sahabat besar RA.

Menurut Syiah, terdapat lebih seribu buah hadis sahih yang menceritakan tentang Imam Mahdi, sedangkan menurut Ahlus Sunnah wal Jamaah, jumlahnya yang sahih tidak sampai pun seratus buah. Itupun setelah dicampur sekali dengan asar para sahabat RA dan ucapan para tabiin. Begitulah jauhnya beza antara Ahlus Sunnah dengan Syiah.

Bagi kita penganut Ahlus Sunnah wal Jamaah, hadis-hadis yang dikemukakan oleh orang-orang Syiah itu bolehlah dipertikaikan, malah kebanyakan kita akan menganggapnya sebagai palsu semata-mata. Namun, atas dasar ilmu, kita patut juga melihat dan mengetahui dalil-dalil yang dijadikan sandaran oleh penganut mazhab Syiah itu.

Setiap orang yang diberikan hidayah oleh Allah mengetahui bahawa Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu oleh Syiah, sebenarnya tiada dan tidak pernah wujud. Watak Mahdi Syiah itu dongeng semata-mata. Umat Islam di seluruh dunia telah menderita pelbagai kesusahan, tipuan dan halangan serta bala akibat kepercayaan mistik Syiah ini, yang amat hebat mempropagandakan Imam Mahdi mereka.

Seorang ulama terkenal Syiah di Iran, Lutfullah as-Safi Golpaygani, telah mengumpulkan semua hadis yang menceritakan mengenai Imam Mahdi di dalam kitabnya yang bersifat ensiklopedia, Muntakhabul Asar Fil Imamus Sani ‘Asyar, yang menurutnya, beliau telah menggabungkan sumber Ahlus Sunnah dan Syiah. Di dalam kitab besarnya itu, beliau menyalin sebanyak 60 buah hadis daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah berserta sanad-sanadnya sekali dan 90 buah hadis daripada mazhab Syiah berserta sanad-sanadnya, yang tujuannya untuk menunjukkan bahawa perkhabaran mengenai Imam Mahdi bukanlah direka-reka atau tidak mempunyai asas. Berikut adalah senarai penuh yang beliau berjaya kumpulkan:

  1. 91 buah hadis mengenai: “Imam-imam berjumlah dua belas orang, yang pertama adalah Ali bin Abi Talib dan yang terakhir adalah al-Mahdi.”
  2. 94 buah hadis mengenai: “Imam-imam adalah dua belas orang dan yang terakhir adalah al-Mahdi.”
  3. 107 buah hadis mengenai: “Imam-imam adalah dua belas orang, sembilan darinya adalah keturunan Husain, dan yang kesembilan adalah al-Qaim.”
  4. 389 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunanku.”
  5. 214 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Ali.”
  6. 192 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Fatimah.”
  7. 185 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Husain.”
  8. 148 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah keturunan kesembilan dari Husain.”
  9. 185 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Ali bin al-Husain.”
  10. 103 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Imam Muhammad al-Baqir.”
  11. 103 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Imam Jaafar Sadiq.”
  12. 99 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah keturunan keenam dari Imam Jaafar Sadiq.”
  13. 101 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Imam Musa al-Kazim.”
  14. 98 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah keturunan kelima dari Imam Musa al-Kazim.”
  15. 95 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah keturunan keempat dari Imam Ali Ridha.”
  16. 90 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi keturunan ketiga dari Imam Muhammad Taqi.”
  17. 90 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah dari keturunan Imam Ali al-Hadi.”
  18. 145 buah hadis mengenai: “Al-Mahdi adalah putera Imam al-Hasan al-Askari.”
  19. 148 buah hadis mengenai: “Nama bapa Al-Mahdi adalah al-Hasan.”
  20. 47 buah hadis mengenai: “Nama dan nama bapa Al-Mahdi adalah seperti nama dan nama bapa Nabi SAW.”

Bagi kita kalangan Ahlus Sunnah, sebahagian besar hadis Syiah yang dikemukakannya itu tidak dapat diterima, kerana tidak menepati kehendak ilmu hadis dalam ajaran kita, tetapi satu perkara adalah pasti iaitu kedua-duanya sama-sama meyakini dan mempercayai kehadiran Imam Mahdi ke dunia ini sebelum dunia ini kiamat.

Menurut ajaran tauhid Syiah, kepercayaan kepada Imam, terutamanya Imam Mahdi, adalah salah satu rukun iman mereka. Malangnya, menurut pandangan dan kajian para sarjana hari ini, kepercayaan mereka ini dikatakan datang daripada sumber Majusi (Zoroaster) dan Yunani, serta sebahagian daripada sisa-sisa kepercayaan masyarakat zaman jahiliyah. Benar atau tidak dakwaan tersebut, tidaklah dapat dipastikan dan tidak pula menjadi masalah bagi kita yang Ahlus Sunnah ini.

Ahlus Sunnah wal Jamaah meyakini bahawa Imam Mahdi itu adalah orang biasa, dilahirkan oleh seorang wanita biasa, dibesarkan sebagai orang biasa dan menjalani kehidupan sebagai mana orang biasa pada zamannya. Beliau tidak dikandung, dilahir dan besarkan secara rahsia, oleh seorang perempuan yang rahsia, dan tinggal di tempat yang rahsia, serta kehilangannya juga rahsia, seperti yang diyakini dan dipercayai oleh puak Syiah itu.

Maka, pada hari ini, rata-rata puak Syiah mempercayai bahawa Imam Mahdi al-Muntazar itu sebenarnya telahpun lahir, tetapi telah ghaib pula, masih belum mati, kini sedang berada di dalam alam ghaibnya sendiri di atas muka bumi ini dan akan muncul kembali pada akhir zaman kelak, iaitu apabila masanya telah sampai. Yang berbeza pada pandangan mereka, yakni antara firkah dalam mazhab Syiah itu sendiri adalah, siapakah dia individu Imam Mahdi yang bakal muncul itu sebenarnya.

Selain itu, adalah diperingatkan agar berhati-hati dengan kitab-kitab yang menceritakan mengenai Imam Mahdi ini kerana sebahagian kitab yang berada di pasaran adalah kitab-kitab panduan dan rujukan bagi orang-orang Syiah, bukan untuk kita, golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Bilangan kitab-kitab mereka mengenai Imam Mahdi jauh lebih banyak berbanding kitab-kitab terkenal ulama kita mengenainya. Eloklah berhati-hati sebelum membaca apa-apa kitab mengenai Imam Mahdi ini.

Bagi orang ramai yang ingin mengkaji lebih lanjut tentang Imam Mahdi orang-orang Syiah, bolehlah meneliti kitab-kitab masyhur mereka tentangnya seperti yang disenaraikan ini, yang kebanyakannya berbahasa Arab atau Parsi.

  1. Muhammad bin Yaakub Al-Kulaini, Usulul Kafi, Jilid 1.
  2. Muhammad Baqir Al-Majlisi, Biharul Anwar, Jilid 46, Jilid 51 dan Jilid 52.
  3. Muhammad Baqir Al-Majlisi, Hayatul Qulub.
  4. Isbatul Hudat, Jilid 2, Jilid 6 dan Jilid 7.
  5. Saad Muhammad Hasan, Al-Mahdiyah Fil Islam.
  6. Imamul Faqih Abu Muhammad Abdullah bin Muslim bin Qutaibah Al-Bahili Doonavari, Al-Imamah was Siyasah, Jilid 2.
  7. Syeikh Sulaiman Balkhi, Yanabi’ul Mawaddah, Jilid 1 dan Jilid 2.
  8. Naubakhti, Firaqusy Syiah
  9. Muhammad Karim Khurasani, Tanbihatul Jaliyyah Fi Kasyful Asrar al-Batiniyah.
  10. Mir Khwand, Tarikh-I Raudhatus Shafa, Jilid 4.
  11. Zaka’irul ‘Uqbah.
  12. Lutfullah as-Safi al-Golpaygani, Muntakhabul Asar Fil Imamus Sani ‘Asyar.
  13. Taha Husain, Ali wa Farzandanasy.
  14. Subhi Saleh, Nahjul Balaghah.
  15. Muhammad Karim Khan, Irsyadul Ulum, Jilid 3.
  16. Ibnu Babuyah, Kitab Kamaluddin wan Nikmah, Jilid 2.
  17. Sheikh at-Tusi, Kitabul Ghaibah.
  18. Sheikh At-Tusi, Al-Istibsar Fiddin.
  19. Sheikh At-Tusi, Tahzibul Ahkam.
  20. Muhammad bin Saad Katib, At-Tabaqat, Jilid 2.
  21. Jami’ Ahadis as-Syiah, Jilid 1 (Pengenalan).
  22. Isbatul Wasiyah.
  23. Sayid Hashim Bahrani, Tabsiratul Wali Fi Ma Ra’al Qaimul Mahdi.
  24. Matolibus Su’al.
  25. Kifayatut Tolib.
  26. Al-Yawaqit Wal Jawahir, Jilid 2.
  27. Sadaratuz Zahab (edisi Beirut), Jilid 2.
  28. Al-‘Ibar Fi Khabar Min Ghabar (edisi Kuwait), Jilid 2.
  29. Husain bin Muhammad Taqi Nuri, Kasyful Asrar.
  30. At-Tabarsi, Kifayatul Muwahhidin, Jilid 2.
  31. At-Tabarsi, Al-Ihtijaj.
  32. Ibnu Syahr Asub, Manaqib, Jilid 4.
  33. Ilzamun Nasab.
  34. I’lamul Wara’ (edisi Tehran).
  35. Rijal Najasyi, Jilid 2.
  36. Fihris Tusi, Al-Istibsar.
  37. Al-Jazairi, Anwarun Nukmaniyah (edisi Tibriz), Jilid 2.
  38. Rijal Bu Ali.
  39. Rijal Mamqani, Jilid 1, Jilid 2 dan Jilid 3.
  40. Ayatullah Sadr, Kitabul Mahdiy.
  41. Tehrani, Ad-Dhari’ah Ila Tasanifus Syiah, Jilid 5.
  42. Al-Hurrul ‘Amili, Wasailus Syiah, Jilid 11.
  43. Al-Hurrul ‘Amili, Fusulul Muhimmah.
  44. Mustadrak al-Wasa’il, Jilid 2.
  45. Al-Arbili, Kasyful Ghummah, Jilid 3.
  46. Al-Mufid, Al-Irsyad.
  47. Nabil Zarandi, Talkhisi Tarikh.
  48. Ali Muttaqi, Kanzul Ummal.
  49. Ayatollah Ruhollah Khomeini Mosavi, Al-Hukumatul Islamiyah.
  50. Ibnu Abil Hadid Al-Muktazili, Syarah Nahjul Balaghah.
  51. Husain Tabatabai, As-Syiah.
  52. Ali bin Husain Al-Masudi, Murujuz Zahab.

Selain senarai kitab yang diberikan di atas, masih ada banyak lagi buku tentang Imam Mahdi yang telah ditulis oleh ulama-ulama Syiah, terutama di Iran, sejak dari dahulu lagi hinggalah ke hari ini. Oleh itu, sekiranya didapati ada tajuk-tajuk buku, sama ada yang berbahasa Arab, Inggeris atau Melayu mengenai Imam Mahdi, pastikan terlebih dahulu bahawa buku itu bukan buku puak Syiah, dan bukan pula buku-buku karangan pendokong mazhab Wahabi atau Ibnu Khaldun.

Namun, untuk dijadikan sebagai bahan penambah ilmu dan renungan semata-mata, penulis sertakan juga dalam buku ini beberapa perkara yang ada berkenaan Imam Mahdi puak Syiah seperti yang terdapat dalam kitab-kitab dan buku-buku karangan para ulama dan sarjana mereka sendiri.

Perhatikan baik-baik berapa besarnya perbezaan antara Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan Imam Mahdi Syiah ini. Selepas itu, nilailah sendiri sejauh mana kebenarannya berbanding dengan Imam Mahdi kita yang Ahlus Sunnah ini.

  • Jawatan:Imam Maksum yang Ke-12 dan terakhir.
  • Nama:Imam Muhammad bin Imam Al-Hasan Al-Askari.
  • Bonda:Narjis Khatun, bekas abdi berbangsa Rom.
  • Tarikh lahir:Jumaat, 15 Syaaban 255 Hijrah (kata satu riwayat).
  • Tahun 256 Hijrah (kata riwayat lain).
  • Tempat lahir:Kota Samarra, di utara Iraq (hari ini).
  • Gelaran:1)  Al-Mahdi,2)  Sahibul Zaman,3)  Al-Hujjah, 4)  Al-Muntazar,5)  Al-Imamul ‘Asr,6)  Al-Qaim, 7)  Sohibul Amar,8)  Baqiyatullah.9)  Imamul Khafi 10) Imamul Ghaib
  • Kuniyat:Abu Kasim.
  • Salasilahnya:Muhammad Al-Mahdi bin Al-Hasan Al-Askari bin Ali Al-Hadi bin Muhammad Taqi bin Ali Ar-Ridha bin Musa al-Kazim bin Jaafar As-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali bin Sayidina Al-Husain bin Sayidina Ali bin Abi Talib.
  • Tarikh ghaib:Sekitar tahun 260 Hijrah. 264 Hijrah (menurut riwayat lain).
  • Sebab ghaib:
    • 1. Dibunuh menggunakan penyodok yang dihayun pada dahinya oleh seorang wanita tua Yahudi.
    • 2. Ghaib selepas diisytiharkan sebagai Imam Kedua Belas.
    • 3. Ghaib sejurus sebelum diisytiharkan sebagai Imam Kedua Belas dan terakhir.
  • Makamnya:Akan dimakamkan di Karbala, Iraq (Karbala adalah tanah suci ketiga bagi puak Syiah, selain dari Makkah dan Madinah).

Menurut Syiah lagi, Imam Mahdi itu kini sedang ghaib. Ghaibnya itu menurut mereka bukanlah bererti dia berada di dalam gua di Samarra, tetapi berada di alam ghaib di atas muka bumi ini juga. Imam Syiah ini dikatakan bebas berada di mana-mana jua. Yang berada di gua itu hanyalah ‘makamnya’ sahaja. Ada dua jenis ghaib yang dimaksudkan untuk Imam Mahdi mereka ini iaitu:

  1. Ghaib as-Sughra (Ghaib Kecil), yang bermula pada tahun 260 Hijrah (872M) dan berakhir pada tahun 329 Hijrah (939M), berlangsung selama kira-kira tujuh puluh tahun.
  2. Ghaib al-Kubra (Ghaib Agung), yang bermula dari tahun 329 Hijrah (939M) dan akan berlanjutan sehingga ke suatu masa yang dikehendaki oleh Allah untuknya menzahirkan diri.

Sepanjang tempoh Ghaib as-Sughra itu, Imam Mahdi telah melantik para wasitah untuknya berhubung dengan dunia luar, yang lazim disebut sebagai Bab atau Naib. Melalui mereka inilah Imam Ghaib akan menjawab semua persoalan dan memenuhi keperluan para pengikut Syiah kepadanya. Imam Ghaib ini hanya datang melalui para Naib atau Bab, atas sebab-sebab yang benar-benar mustahak sahaja.

Sepanjang sejarah puak Syiah, terdapat beberapa orang yang dikatakan telah dilantik sendiri oleh Imam Mahdi itu sebagai Naib atau Bab, iaitu sepanjang berlangsungnya proses Ghaibat as-Sughra (Ghaib Kecil) ini. Terdapat perbezaan jumlah dan nama Bab atau Naib mereka itu. Namun yang paling terkenal di antara mereka dan paling dipersetujui adalah empat orang sahaja. Mereka berempat yang dimaksudkan itu ialah:

  1. Osman bin Said al-Umri, iaitu salah seorang sahabat bapa dan datuk Imam Mahdi yang sangat dipercayai. Beliau adalah Bab atau Naib yang pertama bagi Imam Mahdi.
  2. Muhammad bin Osman bin Said al-Umri, iaitu anak kepada Osman bin Said, yang dilantik sebagai Bab kedua, menggantikan bapanya.
  3. Abul Qasim Husain bin Roh Nawbakhti, menjadi Bab ketiga dan paling istimewa di antara empat Bab yang ada.
  4. Ali bin Muhammad Simmarri, dilantik menjadi Bab keempat dan terakhir, menggantikan Bab ketiga. Selepas kematiannya, tidak ada Bab yang dilantik lagi hingga ke hari ini.

Selepas kematian Bab keempat dan terakhir itu, tiadalah lagi Naib Imam, pelantikan Naib Imam pun berakhir dan yang terpenting sekali, tahap kedua yang disebut Ghaibat al-Kubra pun bermula, dan akan berterusan hingga ke hari ini dan seterusnya ke hari kiamat, kerana yang sebenarnya, Imam Ghaib mereka ini memang tidak ada, tidak wujud dan tidak akan bangun-bangun ke dunia ini. Peribadinya tidak dapat dibuktikan telah benar-benar wujud. Hanya kata-kata dari Imam Kesebelas mereka sahaja yang dipegang cakapnya, dijadikan sandaran. Tapi tidak boleh benar-benar dapat dijadikan hujah sungguhpun beliau itu adalah ayah kepada Imam Kedua Belas mereka. Selain cakap Imam al-Hasan al-Askari sendiri, sumber lain adalah daripada mak cik kepada Muhammad bin Hasan sendiri (adik kepada ibu Muhammad bin Hasan), yang dikatakan paling banyak menceritakan mengenai anak saudaranya itu.

Kita pun yakin dan tahu bahawa Bab atau Naib itu sendiri sebenarnya adalah jawatan auta sahaja, bukan benar-benar dilantik oleh Imam Mahdi mereka. Dalam Islam, tidak ada suatu jawatan yang dinamakan Bab atau Naib seperti yang difahami dan diamalkan oleh puak Syiah itu. Kita yakin bahawa merekalah yang sebenarnya melantik diri mereka sendiri sebagai Naib atau Bab, dan cakap Imam Mahdi yang dikatakan itu sebenarnya adalah cakap mereka sendiri, cuma disandarkan kepada Imam Mahdi, supaya orang ramai dengar dan taat. Sebabnya Imam Mahdi mereka itu sudah benar-benar mati, tidak lagi berada di alam ghaib, sudah benar-benar di alam barzakh, dan sepastinyalah tidak akan kembali ke dunia ini menjadi Imam Mahdi lagi. Mana mungkin orang yang berada di alam barzakh boleh mengutus surat kepada yang masih hidup, siap dengan cap-capnya sekali.

Imam Syiah yang kedua belas ini kononnya hanya ditonjolkan kepada pengikut Syiah oleh ayahnya semasa umurnya lima tahun, enam tahun, tujuh tahun atau sembilan tahun, iaitu pada tahun dia dighaibkan. Riwayat-riwayat yang banyak bertentangan ini menyebabkan kita lebih keliru. Yang ditonjolkan itu sepatutnya bukanlah budak yang berbadan kecil yang berumur enam tahun, tetapi seseorang yang sudah pun besar panjang. Menurut beberapa buah riwayat yang mutawatir dalam mazhab Syiah, yang pernah dilihat oleh mereka itu adalah seorang budak yang comel. Ini menimbulkan pertentangan yang amat nyata antara dua cerita atau dua riwayat.

Ini berdasarkan riwayat kekeramatan Imam Syiah itu yang antara lain disebutkan, boleh bercakap kepada orang ketika masih di dalam rahim ibunya, membesar dengan pantas, sehingga ketika umurnya baru enam tahun sudah pun macam orang dewasa, dibesarkan oleh burung-burung, boleh memahami bahasa sekalian binatang, boleh mendengar doa orang yang jauh daripadanya, boleh muncul dan hilang pada bila-bila masa dan sebagainya. Sayang, semua cerita ini tidak dapat dipertahankan kebenarannya kerana tiada saksi yang benar-benar diyakini, melainkan cerita daripada pihak kedua atau ketiga ataupun keempat sahaja, bukan sumber aslinya. Demikianlah cerita puak Syiah dengan Imam Mahdi yang mereka percayai dan yakini itu.

Berdasarkan riwayat-riwayat yang amat jauh bertentangan itulah dibuat andaian bahawa, sama ada salah satunya betul atau kedua-duanya tidak betul. Adalah mustahil sama sekali dapat dikatakan bahawa kedua-dua cerita itu betul. Dan pada pendapat kita yang Ahlus Sunnah ini, kedua-dua riwayat itu adalah tidak betul atau diada-adakan. Kedua-duanya tidak dapat dipercayai dan dipegangi sebagai hujah yang kukuh. Kedua-dua cerita mereka tadi hanyalah cerita berdasarkan penglihatan kali pertama, bukan orang yang mereka betul-betul kenali batang tubuhnya. Periwayat-periwayatnya sendiri mengaku bahawa mereka tidak pernah melihat budak kecil itu sebelum ini dan tidak pula pernah melihatnya lagi selepas itu.

Pada hari ini, di pinggir kota Samarra itu, para pengikut Syiah Imamiah setiap hari memanggil-manggil Imam Mahdi mereka supaya segera bangun. Setiap hari, selepas sembahyang maghrib, mereka akan duduk di pintu gua berkenaan beramai-ramai lalu memanggil-manggil nama Imam Mahdi mereka itu supaya lekas bangun. Ini dilakukan berterusan sehinggalah ke pagi hari. Selepas itu mereka akan pulang semula ke rumah masing-masing. Maghrib besoknya, mereka datang lagi dan memanggil-manggil nama Imam mereka itu. Begitulah setiap hari mereka lakukan, dan begitulah dari semasa ke semasa amalan yang mereka lakukan. Sudah beratus-ratus tahun mereka amalkan perbuatan ini, turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer