warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

0123 Sahihkah Hadis-hadis Itu





0123 Sahihkah Hadis-hadis Itu


Masalah inilah yang sebenarnya menghantui pemikiran, pendapat, kepercayaan dan sikap umat Islam umumnya pada hari ini. Bukan sahaja di negara kita Malaysia, malah di seluruh dunia Islam amnya, sejak zaman dahulu lagi hinggalah ke hari ini, tidak kira apa mazhab pun, masalah ini tetap sama sahaja.

Jika ada mana-mana ulama atau orang perseorangan yang cuba membangkitkan masalah yang cukup khilafiah ini, reaksi-reaksi berikut akan dapat dilihat pada orang yang kita ajukan itu.

  1. Menolak serta-merta. Alasan yang diberikannya ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi adalah hadis palsu atau sangat dhaif. Mereka ini lazimnya tidak mengetahui ilmu sanad dan rawi hadis, ilmu jarah dan ta’dil serta tingkatan-tingkatan hadis.
  2. Menolak mentah-mentah serta memandang rendah orang yang menimbulkan masalah ini, kerana katanya mempercayai perkara yang tidak jelas dalam masalah agama. Mereka ini adalah golongan yang banyak dipengaruhi oleh corak pemikiran yang telah diacu oleh pihak penjajah sejak dahulu.
  3. Menolak sebahagian hadis yang berkaitan dengan Imam Mahdi termasuk mengenai Pemuda Tamim, Pemuda Bani Hasyim, Al-Haris Harras dan lain-lain. Hadis-hadis yang ada kelihatan hanya sesuai untuk zaman dahulu sahaja, bukan pada zaman ini. Mereka ini hanya menilai hadis berdasarkan maksud zahirnya sahaja, bukan makna yang tersirat yang ada di sebalik hadis-hadis berkenaan.
  4. Menolak dengan alasan menunggu ketibaan Imam Mahdi tanpa berusaha adalah perbuatan yang sia-sia. Lebih baik umat Islam bangun dan membina kekuatan sendiri dan menegakkan negara Islamnya sendiri tanpa perlu menunggu munculnya Imam Mahdi. Konsep Al-Mahdi itu sebenarnya ada di dalam diri setiap umat Islam dan Mahdi itu adalah sekumpulan umat Islam sendiri yang berusaha membawa kemajuan. Mereka yang berpendapat begini adalah dari kalangan cendekiawan Islam dan para sarjana Islam yang mengaji di universiti luar negeri, terutama di negara Barat.
  5. Menolak dengan alasan sudah lebih seribu tahun, namun Imam Mahdi tidak juga muncul, dan kemungkinannya tidak akan muncul lagi ke dunia ini. Lagipun ini adalah zaman moden, bagaimana Imam Mahdi itu akan muncul pada zaman moden ini? Takkan Imam Mahdi itu nanti naik kuda dan mengacungkan pedang? Inikan zaman moden, tak sesuai sangatlah keadaannya nanti. Mereka ini banyak dipengaruhi oleh logik akal mentah mereka yang pendek semata-mata, tanpa mengetahui bahawa hadis-hadis berkenaan mempunyai maksud tersirat yang sekali-kali tidak mereka ketahui.
  6. Bersikap berdiam diri kerana memang tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu. Mereka adalah dari kalangan orang awam yang tidak mendapat pengetahuan yang mencukupi mengenai persoalan agama, apatah lagi masalah Imam Mahdi yang khilafiah ini. Mereka serba salah hendak menjawab soalan ini.
  7. Tidak menerima dan tidak pula menolak kemunculan Imam Mahdi sambil menyatakan pendiriannya bahawa semua itu mungkin saja ada dan mungkin saja tidak ada. Bersikap pertengahan adalah lebih selamat bagi mereka dan golongan seperti ini memang ramai pada masa ini.
  8. Tidak menolak sepenuhnya, yakni menerima konsep Mahdi tetapi menyatakan bahawa Mahdi itu sebenarnya adalah umat Islam itu sendiri. Oleh itu, mereka perlu bangun dan membina kekuatan ummah melalui jalan politik dan ekonomi, serta dihiasi oleh akhlak yang mulia. Kebanyakan mereka ini adalah golongan pentadbir, ahli politik, teknokrat Islam dan ahli ekonomi Islam yang mendapat pendidikan formal dari Barat.
  9. Menerima konsep Mahdi tetapi bertanya semula, bilakah Imam Mahdi itu akan muncul. Siapa dia Imam Mahdi itu? Sejauh mana ‘modennya’ Imam Mahdi itu nanti? Mereka ini adalah golongan yang banyak tanya tetapi tidak dapat memikirkan lebih jauh daripada itu.
  10. Menerima sepenuhnya, tetapi berbeza pendapat mengenai diri Imam Mahdi itu yang jika dilihat menurut kaedah Ahlus Sunnah adalah tidak tepat sama sekali. Mereka ini adalah golongan yang cuba mengambil kesempatan daripada sesuatu keadaan atau ada niat yang lain.
  11. .Menerima sepenuhnya konsep Imam Mahdi, meyakini semua hadis yang berkaitan dengannya dan menanti-nanti kemunculan Imam Mahdi itu ke dunia ini, dengan penuh harap, penuh kerinduan, penuh kasih sayang, penuh gembira dan kadang-kala seperti tidak sabar menunggu lebih lama lagi. Mereka ini ada dua golongan yang besar iaitu Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan Imam Mahdinya sendiri dan puak Syiah dengan Imam Mahdinya pula, yang jauh berbeza keperibadiannya daripada Imam Mahdi Ahlus Sunnah.
  12. Golongan yang terpinga-pinga untuk menjawab kerana tidak pernah tahu dan tidak pernah ambil tahu. Mereka adalah golongan majoriti orang awam dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Hal ini berbeza dengan Syiah yang amat mengajarkan kepada golongannya akan konsep Imam Mahdi ini. Antara sebabnya ialah Ahlus Sunnah tidak pernah menekankan peri pentingnya Imam Mahdi itu kepada masa depan dan survival umat Islam, seperti yang Syiah ajarkan kepada pengikut mereka.

Kemudian, jika kita lihat dengan lebih teliti dan saksama (jika orang itu memang mahu mencari kebenaran hakiki), akan kita dapati bahawa hadis-hadis yang menceritakan mengenai Imam Mahdi dapat dikategorikan kepada tiga bahagian, iaitu hadis-hadis yang sahih, hadis-hadis yang hasan dan hadis-hadis yang dhaif. Maka yang maudhuk itu tidaklah kita masukkan ke dalam perbicaraan kita ini.

Semua ulama kenamaan dalam mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah bersetuju bahawa hadis-hadis sahih mengenai Imam Mahdi adalah hadis yang sudah boleh dikategorikan sebagai hadis mutawatir maknawi. Hadis mutawatir maknawi adalah sekumpulan besar hadis yang berbagai-bagai matan, rawi dan sanadnya, tetapi semua hadis berkenaan menceritakan satu perkara atau mauduk yang sama iaitu mengenai Imam Mahdi.

Imam an-Nawawi, seorang tokoh ulama terkenal dalam mazhab Syafie dan juga seorang pakar hadis pada zamannya berkata,

Beberapa buah hadis yang tersebut ini, walaupun semua sanadnya dhaif, tetapi kerana satu sama lain saling menguatkan, maka hadis-hadis ini menjadi hadis hasan. Dan hadis yang demikian ini boleh digunapakai sebagai hujah. Pendapat yang seperti ini pada zaman lampau telah dikemukakan oleh Imam al-Baihaqi dan ulama-ulama lain. Sebenarnya nilai kedhaifan hadis berkenaan terletak pada buruknya hafazan, atau tercampur-campurnya hafazan, atau adanya pemalsuan, tetapi rawi-rawinya adalah orang-orang yang jujur dan taat melaksanakan perintah agama. Adapun hadis yang dhaif kerana adanya pendustaan atau menyalahi hadis-hadis yang lain, maka yang demikian itu tidaklah dapat lagi diangkat tarafnya menjadi hadis hasan.”

Grand Muhaddis Abdullah bin Sadek, Ph.D., menyatakan di dalam bukunya, Al-Mahdiyul Muntazar, kira-kira begini:

“Malang sekali, terdapat ramai orang, termasuk yang berpengetahuan percaya bahawa tidak ada al-Mahdi. Ini sebenarnya disebabkan kejahilan mereka terhadap sabda-sabda Nabi SAW yang menyatakan kemunculannya pada akhir zaman nanti.”

Tulisnya lagi pada bahagian Pengenalan bukunya itu,

Adalah sangat mustahil hadis-hadis (mengenai Al-Mahdi) yang telah disahkan sebagai mutawatir oleh Al-Huffaz, (masih) boleh lagi dikatakan palsu (oleh orang ramai).”

Kalangan yang belajar ilmu mustalah hadis amat memahami dan mengakui betapa benarnya ucapan Hafiz kenamaan ini. Tidak ada keraguan lagi padanya.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer