warning: Creating default object from empty value in /usr/home/www/hikmah/html/program/lib.php on line 582.

0121 Kesimpulan Dari Kedua-dua Cerita Imam Mahdi Tadi





0121 Kesimpulan Dari Kedua-dua Cerita Imam Mahdi Tadi


Jika diperhatikan kedua-dua cerita tadi, ada beberapa perkara yang amat menarik mengenai kedua-dua pribadi yang dikatakan Imam Mahdi berkenaan. Antaranya disebutkan di sini ialah;

  1. Kedua-dua tokoh yang dikatakan sebagai Imam Mahdi itu dilihat atau diriwayatkan sebagai orang muda. Hal ini mungkin berdasarkan hadis-hadis yang menyatakan demikian.
  2. Ciri-ciri Mahdi pada kedua-duanya adalah menepati dengan apa yang telah disebutkan di dalam hadis-hadis, asar-asar dan juga keterangan para ulama muktabar.
  3. Kedua-dua Imam Mahdi itu berada di alam wali, tidak di alam nyata ini dan sedang memerintah di alam wali tadi. Hanya sekali-sekala sahaja mereka ini menzahirkan diri ke alam nyata, dengan maksud tertentu, untuk masa yang tertentu dan kepada orang-orang yang tertentu pula.
  4. Kedua-duanya berumur panjang. Umur panjang itu adalah lebih baik dalam mencapai kesempurnaan ibadah kepada Allah. Semakin panjang umur seseorang wali itu, semakin sempurnalah kualiti ibadah mereka kepada Allah. Hal ini adalah lebih disukai oleh kebanyakan wali berbanding umur yang pendek.
  5. Kedua-duanya bukan dari bangsa Arab, tetapi keturunan Ajam, yakni bukan dari bangsa Arab. Memang mereka berketurunan Rasulullah SAW dan tergolong dalam Ahlulbait, tetapi sudah jauh Arabnya sehingga dapat pula dikatakan sebagai orang Ajam. Hal ini sangat bersesuaian pula dengan maksud hadis-hadis yang disampaikan oleh baginda SAW kepada kita.
  6. Kedua-duanya membawa wirid-wirid yang bersesuaian dengan zaman berkenaan. Imam Mahdi pertama membawa wirid-wirid yang sesuai dengan zaman dahulu, manakala Imam Mahdi kedua membawa wirid-wirid yang sesuai pula dengan keadaan zamannya sekarang ini. Kedua-duanya juga menurunkan wirid mereka kepada anak murid masing-masing untuk diamalkan.
  7. Setiap zaman memang ada beberapa Mahdi yang diutus oleh Allah untuk menyelamatkan manusia dan bumi ini daripada dihancurkan oleh Allah atas dosa-dosa yang mereka lakukan. Maka, apabila mati seorang Mahdi, akan diutus pula Mahdi yang lain, sehinggalah lahirnya Mahdi sebenar yang dimaksudkan oleh hadis-hadis.
  8. Mahdi pertama tidak menyebutkan bahwa dirinya akan muncul kemudian kelak ke dunia ini, manakala Mahdi kedua memang menyatakan bahwa dirinya akan muncul semula ke dunia ini suatu masa nanti dan menjadi Imam Mahdi yang disebut-sebut itu.
  9. Kedua-dua Imam Mahdi itu memang tidak popular semasa mereka hidup di kalangan manusia, tetapi menjadi popular setelah mereka berada di alam ghaib, yaitu di alam wali. Tiada siapa yang sedar bahwa orang itu adalah bakal Imam Mahdi suatu masa nanti.
  10. Kedua-duanya adalah orang yang sangat banyak ibadat mereka kepada Allah. Ini amat bersesuaian pula dengan kedudukan mereka yang tinggi pada sisi Allah dan mulia pada pandangan seluruh manusia. Sembahyang malam sebanyak lima ratus rakaat adalah amalan para sahabat RA pada zaman Nabi SAW. Kedua-duanya juga menjadi ikutan zahir batin seluruh umat Islam dalam hal-hal yang menyangkut dengan urusan agama mereka.
  11. Kedua-duanya tidak memakai pakaian yang lazim dipakai oleh bangsa Arab pada zaman mereka tetapi memakai pakaian yang lazim dipakai oleh orang-orang Ajam. Ini sesuai dengan makluman hadis-hadis mengenainya. Dan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai sebaik-baik manusia, pakaian mereka juga adalah dari jenis kain yang terbaik yang ada pada zaman mereka. Kain bulu yang dimaksudkan dalam cerita pertama adalah menunjukkan ketinggian kedudukan si pemakainya karena kain bulu lazimnya dipakai oleh golongan atasan pada masa itu. Bukan sebarang-barang orang yang mampu memakai kain dari jenis itu.
  12. Kedua-duanya adalah dari kalangan ahli tasawuf yang gigih dalam amalan tasawuf mereka. Imam Mahdi pertama beramal ibadat sedemikian banyak setiap malam, manakala Imam Mahdi kedua pula mendapat aurad zikirnya secara langsung daripada Rasulullah SAW sendiri, yaitu suatu hal yang dianggap mesti bagi semua guru tarekat sejak zaman dulu-dulu lagi. Maka mereka yang bakal menjadi Imam Mahdi lebih-lebih lagi aula mendapatkannya terus daripada Rasulullah SAW sendiri. Malah, tidak sah dakwaannya itu jika mereka mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi sedangkan wiridnya sendiri diijazahkan oleh orang lain, yang bukannya Rasulullah SAW.
  13. Kedua-duanya boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dan mereka menyebutkannya dengan penuh kepastian, tidak ada ragu-ragu. Yang pertama, menyatakan umur syeikh yang panjang, manakala yang kedua turut mempunyai banyak ramalan yang ternyata adalah betul. Ini sebenarnya adalah karamah dari Allah untuk mereka berdua sebagai Sahibul Zaman bagi zaman masing-masing.
  14. Jika kita keberatan untuk menerima dan mempercayai salah satunya, jangan pula tolak kedua-duanya sekali. Sepatutnya kita mengkaji lebih dalam, berfikir habis-habisan, meneliti betul-betul dan mencari kebenaran sebelum membuat apa-apa keputusan. Sebagai seorang yang berilmu agama yang tinggi dan matang pula dalam soal agama, kita hendaklah bersikap lapang dada. Orang yang matang fikirannya tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain, tidak tergesa-gesa menolak sesuatu pendapat dan berfikir banyak kali. Sebelum bercakap, banyak berfikir karena takut tersalah dalam percakapannya itu. Dia menerima sesuatu pendapat dengan alasan yang jitu dan menolak sesuatu pendapat juga dengan alasan yang jitu, tidak mengikut-ikut sahaja tanpa mendapatkan sebarang kepastian.
  15. Kemungkinan kedua-dua Imam Mahdi itu adalah orang yang sama adalah besar. Ini disebabkan keupayaan Imam Mahdi itu keluar sebelum beliau lahir adalah suatu yang tidak mustahil dan pernah berlaku kepada wali yang lebih rendah tarafnya daripada beliau. Jika ini benar-benar berlaku, itu adalah suatu keramat yang Allah karuniakan kepadanya. Beliau adalah orang yang sangat dikasihi oleh Allah SWT, maka tidak mustahil pula bahwa orang yang diceritakan itu sebenarnya adalah orang yang sama - yang pertama muncul sebelum lahirnya dan yang kedua adalah setelah beliau benar-benar lahir ke dunia ini. Jika seorang wali yang bertaraf wali biasa pun boleh muncul ke dunia sebelum lahirnya lagi, maka bakal Imam Mahdi lebih-lebih lagi aula mendapatkan keistimewaan itu.
  16. Imam Mahdi pertama muncul pada akhir kurun ketiga Hijrah, yaitu masa yang terakhir dari tiga peringkat zaman yang terbaik dalam Islam. Maka bolehlah dikatakan bahwa kemunculan Imam Mahdi pertama tadi sebenarnya adalah untuk mengambil berkat dari zaman yang terbaik itu, untuk dibawa ke zaman kemudian daripada itu. Maka apabila Imam Mahdi sebenar muncul, kemunculannya itu hanyalah sambungan daripada kemunculannya yang pertama dahulu, yaitu dari zaman yang terbaik yang disebutkan oleh hadis. Ini amatlah sesuai dengan maksud hadis yang menyatakan bahwa Imam Mahdi akan mengembalikan zaman kegemilangan Islam, sama seperti yang pernah dibawa oleh baginda Rasulullah SAW sendiri, pada Zaman Kenabian dahulu.
  17. Kedua-dua imam ini adalah imam ghaib. Artinya, konsep imam yang ghaib adalah sesuatu yang diterima baik oleh kalangan ulama besar Ahlus Sunnah, bukan semata-mata wujud di dalam mazhab Syiah. Namun jika kita perhatikan baik-baik, terdapat perbedaan yang amat ketara antara ghaibnya Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan ghaibnya Imam Mahdi puak Syiah. Oleh itu, tidak perlu timbul persoalan bahwa konsep Imam Mahdi yang ghaib adalah berpunca dari ajaran Syiah yang sesat lagi menyesatkan. Tuduhan bahwa percaya kepada imam yang ghaib boleh merusakkan akidah adalah tidak benar dan dibuat berdasarkan ilmu yang amat dangkal dan alasan yang amat lemah.

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer